Isnin, 4 Ogos 2025

Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Ke-15 Tahun 2025 (5)

 4 OGOS 2025 (ISNIN)

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI EKONOMI menyatakan syarat bagi syarikat untuk mengakses ke Intellectual Property (IP) ARM. Adakah had jumlah IP yang boleh digunakan oleh sesebuah syarikat. Apakah sasaran Kementerian bagi jumlah penggunaan IP setiap tahun dalam tempoh 10 tahun ini dan sila huraikan lebih butiran berkenaan dengan ARM.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan Malaysia telah memeterai dua instrumen Kerjasama dengan ARM Limited dalam industri semikonduktor pada 3 Mac 2025 seperti berikut:

   (i) Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Syarikat ARM Limited dalam Ekosistem Semikonduktor ditandatangan oleh Kementerian Ekonomi; dan

  (ii) Perjanjian Kerjasama dalam Industri Semikonduktor antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Syarikat ARM Limited.

2. Nilai komited bagi kerjasama ini adalah sebanyak USD225 juta di bawah Perjanjian Kerjasama dalam Industri Semikonduktor antara MIDA dan ARM Limited.

3. Secara dasarnya syarat yang akan dikenakan bagi syarikat untuk mengakses ke Intellectual Property (IP) ARM adalah berdasarkan kriteria kelayakan melibatkan perkara-perkara utama berikut:

(i) Keupayaan teknikal dan ketersediaan operasi;

(ii) Keperluan komersial; dan

(iii) Penyelarasan strategik dengan objektif nasional

4. Permohonan syarikat akan dinilai oleh tiga peringkat jawatankuasa bagi Pelaksanaan Kerjasama Strategik antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited dalam Industri Semikonduktor. Keanggotaan jawatankuasa tersebut adalah Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Kewangan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi-agensi berkaitan iaitu Pihak Berkuasa Koridor Utara, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST), MIMOS Berhad, Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation Sdn. Bhd., ARM Limited dan pihak industri.

5. Tiada had jumlah IP ditetapkan yang boleh digunakan oleh sesebuah syarikat.

6. Di bawah Perjanjian, akses token adalah bagi dua jenis IP ARM iaitu sebanyak tujuh IP jenis CSS dan 25 IP di bawah program AFA. Sasaran minimum kelulusan jumlah akses IP yang ditetapkan bagi setiap tahun dalam tempoh empat tahun perjanjian adalah seperti berikut:

   (i) minimum satu capaian IP CSS dan 5 capaian IP AFA bagi tahun 2025;

   (ii) minimum dua capaian IP CSS dan 6 capaian IP AFA bagi tahun 2026;

   (iii) minimum dua capaian IP CSS dan 7 capaian IP AFA bagi tahun 2027; dan

   (iv) minimum dua capaian IP CSS dan 7 capaian IP AFA bagi tahun 2028.

7. ARM Limited atau lebih dikenali sebagai ARM Holding PLC adalah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1990 hasil usaha sama Acorn Computers, Apple Inc., dan VLSI Technology. Ia merupakan syarikat reka bentuk IP semikonduktor dan perisian yang berpangkalan di Cambridge, England. Perniagaan utamanya adalah dalam reka bentuk teras unit pemprosesan pusat (CPU), unit pemprosesan grafik (GPU), alat pembangunan perisian serta sistem dan platform System on-chip (SoC). ARM tidak menghasilkan cip sendiri, tetapi melesenkan reka bentuknya kepada pengeluar cip lain,membolehkan inovasi dan kepelbagaian produk dalam ekosistem yang luas.

8. Aktiviti ARM tertumpu kepada pembangunan platform pengkomputeran yang cekap tenaga dan berprestasi tinggi, khususnya untuk aplikasi AI dari edge hingga cloud, automotif, kesihatan, dan IoT. Penggunaan reka bentuk IP ARM adalah dominan dalam pasaran pemprosesan di dunia, terutamanya dalam telefon pintar seperti iPhone dan telefon Android seperti Samsung Galaxy dan Xiaomi; tablet seperti iPad dan Samsung Galaxy Tab; serta peranti mudah alih lain seperti jam tangan pintar Apple Watch dan Samsung Galaxy Watch; alat realiti maya seperti Meta Quest (Oculus), Pico VR; dan komputer riba seperti Apple MacBook Air (Apple Silicon) dan Chromebook ARM. Teknologi ARM digunakan oleh syarikat teknologi terbesar seperti AWS, Microsoft, Google, Meta, NVIDIA, Samsung, Qualcomm dan Intel. Teknologi Arm juga digunakan dalam industri automotif khususnya untuk pembangunan cip dan teknologi pemprosesan kenderaan pintar serta berautonomi untuk pelbagai aplikasi automotif yang digunakan oleh Mercedes Benz, Tesla, BMW, Ford, General Motors, Hyundai dan Volkswagen.

Sekian, terima kasih.