Khamis, 7 Ogos 2025

Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Ke-15 Tahun 2025 (6)

 7 OGOS 2025 (KHAMIS)

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan status Kolam Takungan Dwi-Fungsi Sungai Klang dan Sungai Rasau. Adakah status ini mengikut rancangan dan bilakah ia akan siap serta apakah langkah yang diambil Kementerian untuk memastikan projek siap mengikut garis masa.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Projek Kolam Takungan Dwi-Fungsi Bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sg. Klang-Sg. Rasau, Selangor terbahagi kepada Pakej A - di bawah Jabatan Bekalan Air (JBA), manakala Pakej B di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

2. Projek Kolam Takungan Dwi-Fungsi Bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sg. Klang-Sg. Rasau, Selangor (Pakej A – Reka & Bina) telah diluluskan sebagai Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi dalam Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

3. Tarikh tutup tender Projek Kolam Takungan Dwi-Fungsi Bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sg. Klang - Sg. Rasau, Selangor (Pakej A – Reka & Bina) adalah pada 15 Julai 2025 dan dijadualkan siap pada 2029.

4. Kementerian melalui JBA sentiasa komited dan berusaha untuk memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan dan sentiasa berhubung dan membuat engagement dengan pemegang taruh dari semasa ke semasa.

5. Kolam Takungan Dwi-Fungsi Sungai Klang dan Sungai Rasau (Pakej B) yang melibatkan kawasan Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Klang telah bermula pada 22 Julai 2024 dan dijangka siap 20 Oktober 2031. Kemajuan fizikal semasa adalah 1.21%. 

Sekian, terima kasih.