1. Seterusnya, Puchong ingin mengalih ke isu pintu masuk ke
Malaysia.
2. Sudah banyak kali Puchong perhatikan sendiri apabila
mendarat dari luar negara di KLIA: barisan di lorong autogate passport mengular
panjang, tetapi deretan autogate QR di sebelahnya tiada barisan dan lengang.
3. Apabila saya berbual dengan petugas di sana, Puchong
diberitahu bahawa fenomena ini berlaku setiap hari, terutamanya pada waktu
kemuncak apabila banyak pesawat berbadan besar mendarat serentak dalam tempoh
yang singkat.
4. Untuk kita di sini yang pernah menggunakan kedua-dua autogate, sudah tentu perasan bahawa autogate QR adalah jauh lebih cepat daripada autogate passport.
5. Apabila seorang penumpang tiba di autogate pasport biasa,
mereka perlu membuka sarung pasport, meratakan halaman biodata pada kaca
pengimbas, dan menunggu sistem membaca pasport tersebut.
6. Jika muka surat berkedut, cip lemah, mesin akan gagal
membaca.Kadang-kala kena cuba 2–3 kali atau berpindah ke kaunter manual,
menyebabkan barisan terhenti.
7. Walau tiada apa-apa kesulitan, dari mula meletakkan passport
sehingga imbasan wajah selesai, satu transaksi mengambil masa 15-25 saat bagi
setiap individu.
8. Bagi autogate kod QR pula, senang sahaja, login MyBorderPass
/ MyNIISe untuk dapatkan QR terkini, scan, pintu buka, kamera menangkap
biometrik wajah pintu keluar terbuka, selesai. Purata masa untuk proses satu
orang: 5-7 saat.
9. Ini adalah 3 kali ganda lebih cepat dari autogate
passport.
10. Tambahan lagi, kod QR tidak bergantung kepada cip
fizikal; ia menggunakan kod kriptografi digital yang dibaca sekelip mata oleh
pengimbas optik, oleh itu autogate QR jarang jika ada masalah kesulitan bacaan.
11. Pendek kata, kod QR bukan sekadar pilihan tambahan; ia
adalah capacity multiplier yang paling berkesan meningkatkan kapasiti dewan
ketibaan KLIA tanpa perlu merobohkan dinding atau menambah keluasan lantai
dewan imigresen.
12. Dengan ini, Puchong cadangkan KDN untuk bekerjasama
dengan MAHB dan Kementerian Pengangkutan untuk mengalih lebih banyak trafik
dari autogate passport ke autogate kod QR.
13. Beberapa langkah praktikal boleh dilaksanakan
serta-merta.
14. Untuk rakyat Malaysia dan mereka yang layak, kerajaan
boleh meletakkan lebih ramai petugas khas di koridor pelepasan/ketibaan bagi
menunjukkan mereka bagaimana untuk mendapatkan QR.
15. Walaubagaimanapun, bagi pelawat dari 63 negara yang layak
masuk melalui autogate passport, ramai di antaranya adalah pelawat kali
pertama, di mana sekarang mereka perlu menggunakan autogate passport kerana
data biometrik mereka belum didaftarkan terlebih dahulu dalam sistem Malaysia.
16. Bagi membolehkan mereka untuk mendapatkan kod QR,
kerajaan boleh mengubahsuai aplikasi yang sedia ada untuk membolehkan bacaan
data pasport DG1 dan DG2 mengikut standard ICAO 9303.
17. Seterusnya, kerajaan boleh wajibkan syarikat penerbangan
(seperti Malaysia Airlines, AirAsia, dan Batik Air) menyepadukan pendaftaran
Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) dan penjanaan kod QR.
18. Kerajaan juga boleh mewajibkan tayangan video panduan
pendek atau pengumuman kabin 45 minit sebelum mendarat bagi mengingatkan rakyat
tempatan dan pelawat yang layak bahawa mereka boleh keluar dalam masa bawah 10
saat menggunakan kod QR. Dengan ini, lebih ramai penumpang akan boleh
menggunakan autogate QR.
19. Selain itu, kerajaan juga boleh meretrofit autogate
passport ke multi-modal gates dengan izin, untuk meningkatkan bilangan QR
autogate tanpa perbelanjaan yang besar.
20. Secara keseluruhannya, semua langkah-langkah yang saya
cadangkan tadi boleh menambah kapasiti imigresen memproses kemasukan pelawat
dan meningkatkan mutu pengalaman pelanggan tanpa melibatkan perbelanjaan CAPEX
yang signifikan.