1. Seterusnya, Puchong ingin menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pembentangan Lemon Law bagi membela nasib jutaan pembeli kenderaan di tanah air.
2. Puchong menyambut baik komitmen YAB Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2026 untuk memperkenalkan elemen Lemon Law melalui pindaan ke atas Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).
3. Namun, selepas satu tahun, sekarang kita sudah dalam perbincangan Belanjawan 2027, KPDN masih belum lagi membentangkan RUU yang berkenaan.
4. Kita tidak boleh terus terperangkap dalam fasa kajian dan sesi libat urus yang berpanjangan sedangkan rakyat di luar sana menanggung beban kewangan setiap hari.
5. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, pembelian kenderaan adalah antara komitmen kewangan terbesar dalam kehidupan mereka.
6. Baru-baru ini, seluruh negara dikejutkan dengan insiden kereta baharu yang tercabut keseluruhan rear axle ketika sedang dipandu di atas jalan raya di Johor Bahru.
7. Tindakan JPJ menggantung serta-merta Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi model tersebut adalah tepat.
8. Namun persoalannya, di manakah perlindungan untuk pemilik yang mengalami perkara yang sama walaupun mungkin tidak seserius cabutnya rear axle?
9. Bayangkan kereta baru dibeli tetapi mengalami kecacatan dan tersadai di bengkel, tetapi pengguna terpaksa terus membayar ansuran bulanan bank.
10. Inilah kenapa kita perlu Lemon Law sekarang.
11. Justeru, Puchong ingin mendapatkan jawapan bilakah RUU Pindaan Akta 599 ini akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan yang mulia ini?
12. Adakah kementerian akan menetapkan kriteria undang-undang yang jelas—seperti had maksimum 3 hingga 4 kali cubaan pembaikan, atau tempoh kenderaan tersadai melebihi 30 hari secara kumulatif—sebelum pengguna layak mendapat hak penggantian kenderaan baharu atau pemulangan wang (buyback) secara automatik?
13. Secara keseluruhannya, kita perlukan Lemon Law yang “menggigit”, yang benar-benar melindungi hak pengguna di Malaysia.
14. Tan Sri Speaker, dengan ini Puchong menyokong usul Belanjawan 2027 ini.