1. Seterusnya, Puchong ingin mengalih ke dasar net-energy-metering (NEM).
2. Dasar NEM sememangnya amat dekat di hati Puchong. Semasa saya diberi amanah menerajui kementerian tenaga pada tahun 2018, kita telah menstrukturkan semula dasar NEM lama tidak mendapat respon baik dari pasaran kepada dasar NEM 2.0 yang memastikan projek solar atas bumbung adalah commercially viable, bankable, dan scalable, dengan izin.
3. Industri solar bumbung tempatan berkembang pesat sejak itu, disusuli dengan inisiatif berterusan seperti NEM 3.0 dan skim ATAP. Namun kini, sudah tiba masanya kita melakukan satu lagi anjakan paradigma dasar bagi meneroka sempadan baharu.
4. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pemasangan loji solar berskala besar (LSS) konvensional di atas tanah sering kali mencetuskan konflik guna tanah dengan sektor pertanian dan penternakan.
5. Kita sering diletakkan dalam dilema untuk memilih antara sekuriti tenaga dengan sekuriti keterjaminan makanan.
6. Justeru, Puchong mencadangkan Kementerian PETRA dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk merangka satu skim khusus iaitu "NEM Agro" bagi memacu pembangunan agrivoltaik—iaitu integrasi penjanaan solar fotovoltaik dwiguna bersama aktiviti pertanian, perikanan, atau penternakan di atas tanah yang sama.
7. Kerajaan wajar memperluas kerangka NEM sedia ada kepada sektor pertanian untuk membenarkan penolakan bil bagi operasi tapak seperti pam air dan sistem pengudaraan kolam, di samping memperkenalkan mekanisme virtual aggregation.
8. Menerusi kaedah ini, pengusaha yang menjana tenaga solar di kolam ternakan atau ladang luar bandar dibenarkan memindahkan kredit tenaga tersebut secara maya menerusi bil utiliti bagi menolak kos elektrik gudang sejuk beku (cold chain storage) mereka di pusat logistik seperti di Shah Alam atau Pelabuhan Klang.
9. Ini akan menurunkan kos logistik rantaian sejuk secara langsung dan membantu meredakan tekanan inflasi harga makanan rakyat di pasaran.
10. Tiga subsektor berimpak
tinggi yang boleh memanfaatkan skim NEM Agro ini meliputi:
a. Akuavoltaik di Kolam Ternakan: Pengusaha kolam udang dan ikan air tawar di Perak, Selangor, dan Sabah menggunakan tenaga elektrik yang besar 24 jam sehari untuk menjalankan kincir pengudaraan (aerators). Pemasangan solar terapung atau solar bertiang di atas kolam bukan sahaja menjimatkan bil elektrik, malah mengurangkan suhu air serta mengehadkan pembiakan alga berbahaya.
b. Tanaman Teduhan Bernilai Tinggi: Struktur panel bertiang tinggi menyediakan ruang penanaman bagi tanaman separa teduh bernilai tinggi, sekali gus melindungi hasil tani daripada fenomena gelombang haba melampau (heat stress) akibat perubahan iklim.
c.
Integrasi
Pastura dan Ternakan Ruminan: Kawasan bawah panel di ladang ternakan lembu dan kambing
menghasilkan rumput ragutan yang lebih segar kerana tanah terlindung daripada
kekeringan matahari terik, sementara ternakan mendapat zon teduhan yang
mengurangkan tekanan haba dan meningkatkan produktiviti.
11. Secara keseluruhannya,
Kerajaan hanya perlu menyediakan kerangka kawal selia dan insentif pemula
menerusi NEM Agro, dan biarlah daya cipta pasaran dan industri yang menentukan
jenis integrasi pertanian terbaik untuk dimajukan.