Khamis, 31 Julai 2025

Perbahasan RMK13 - Krisis Malnutrisi & Prasekolah Kanak-kanak

Perbahasan RMK13 - Krisis Malnutrisi & Prasekolah Kanak-kanak  | 31 Julai 2025


1.    Seterusnya, Puchong ingin mengalih ke dua isu berkenaan dengan kanak-kanak.

2.    Puchong ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini bahawa selama ini kerajaan memberi bantuan makanan hanya selepas anak-anak pergi sekolah.

3.    Tetapi kita juga hadapi masalah stunting, iaitu bantut, di kalangan kanak-kanak bawah 5.

4.    Kanak-kanak yang bantut mengalami kelewatan dalam perkembangan kognitif, termasuk kesukaran dalam pembelajaran, ingatan, dan penyelesaian masalah. 

5.    Ini boleh menjejaskan pretasi mereka di sekolah dan dunia pekerjaan.

6.    Menurut Our World in Data, kadar bantut di Malaysia adalah ke-empat tertinggi di ASEAN pada 24.3% selepas Laos, Philipines dan Mynmar. 

7.    1 daripada 4 kanak-kanak di Malaysia adalah bantut.

8.    Negara jiran dengan GDP per capita yang lebih rendah daripada kita telah merekodkan kadar bantut yang lebih rendah - Thailand pada 12.3% sahaja (iaitu 50% lebih rendah daripada kita),Vietnam 19.2%, Cambodia pada 22% dan Indonesia 22.6%.

9.    Apa yang membimbangkan Puchong ialah apabila kita meninjau trend kadar bantut negara-negara ASEAN, Malaysia adalah satu-satunya negara di ASEAN yang mengalami peningkatan dan bukan penurunan kadar bantut dalam tempoh 20 tahun ini. 

10. Peningkatan kadar bantut di Malaysia bermula pada tahun 2010. Pada masa itu, kadar bantut kita adalah 17.8% tetapi ia meningkat setiap tahun sehingga sekarang hampir 1 per 4 sekarang.

11. Bukan sahaja masalah bantut, 11% kanak-kanak di Malaysia adalah “wasted”, di mana berat mereka terlalu rendah untuk ketinggian mereka akibat daripada kekurangan zat makanan yang kronik.

12.     Ini adalah krisis malnutrisi.

13.    Macam mana kanak-kanak kita boleh berjaya dalam sekolah dan kerjaya mereka apabila mereka tidak dapat bertumbuh dengan sempurna? 

14.     Dua tahun yang lalu, Puchong telah buat saringan di kalangan kanak-kanak di kawasan saya untuk mengenalpasti mereka yang stunted dan wasted.

15.    Seterusnya pejabat saya mengadakan satu projek intervensi Kiddo Foodbank, di mana setiap bulan kanak-kanak ini mendapat susu formula, susu segar dan multivitamin percuma.

16.    Pada masa yang sama, sukarelawan akan mengukur tinggi dan berat dan menggunakan satu app untuk merekodkan data-data ini sehingga sekarang. 

17.    Dengan kerjasama pakar nutrisi dari klinik kesihatan, ibu-bapa juga diajar berkenaan dengan zat makanan dan pemantauan pertumbuhan.

18.     Untuk pengetahuan dewan yang mulia ini, mengikut data yang kita kutip, kira-kira 65% penerima Kiddo Foodbank telah menunjukkan peningkataan height-for-age z-score, iaitu ukuran bagi stunting.

19.     Dengan sumber dan punca kuasa yang terhad, kami hanya boleh fokus pada pemakanan dan tidak dapat mengatasi faktor seperti kesihatan ibu semasa hamil, sanitasi dan kebersihan.

20.    Dengan kekangan-kekangan ini pun kita boleh nampak terdapatnya penambahbaikan apabila terdapatnya intervensi.

21.    Oleh itu, Puchong sangat percaya bahawa jika adanya program intervensi kerajaan yang sistematik dan holistik, kadar bantut boleh diturunkan dengan signfikan. 

22.     Puchong telah pun dijemput ke satu sesi libat urus oleh Health Transformation Office (HTO) dari KKM untuk membincang Inisiatif 1,000 Hari Pertama untuk menangani masalah bantut. Saya sangat mengalu-alukan usaha KKM ini.

23.    Puchong berharap apa jua rancangan dan cadangan HTO berkenaan dengan Inisiatif 1000 Hari Pertama boleh mendapat sumber dan sokongan padu dari semua jentera KKM mahupun kerajaan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif ini adalah efektif.

24.    Secara keseluruhannya, Puchong menyeru kerajaan untuk memasukkan Inisiatif 1,000 Hari Pertama menjadi salah satu agenda Rancangan Malaysia.

25.    Seterusnya, Puchong ingin mengalih ke isu kedua berkenaan dengan kanak-kanak, iaitu prasekolah. 

26.    Puchong mengalu-alukan tekad kerajaan untuk memastikan kadar enrolmen murid prasekolah dan menengah mencapai 98% dan usaha kerajaan bergerak ke arah mewajibkan prasekolah bermula umur 5 tahun.

27.    Untuk makluman Tuan Speaker, Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat akan membentangkan satu penyata dan memberi syor-syor kepada kerajaan berkenaan dengan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak dalam sesi ini. Harap kami diberi masa untuk membahas penyata ini.

28.    Untuk hari ini, apabila kita membincang Rancangan Malaysia, Puchong hanya ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini dengan apa yang dipanggil Heckman Curve.

29.    Heckman Curve dinamakan atas nama James J. Heckman, seorang pemenang Nobel dalam ekonomi dan seorang pakar dalam ekonomi pembangunan manusia.

30.    Heckman telah membuat analisis empirikal pelaburan dalam pembangunan manusia dan pulangan yang diperoleh, return on investment, ROI.

31.    Heckman Curve menunjukkan bahawa pelaburan dalam penjagaan dan pendidikan awal, menghasilkan ROI yang tertinggi berbanding pelaburan dalam pendidikan di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, atau latihan pekerjaan, di mana ROI menjadi semakin rendah.

32.    Secara keseluruhannya, sistem penjagaan dan pendidikan awal yang berkualiti akan menghasilkan kos kebajikan sosial dan kadar jenayah yang lebih rendah dan hasil cukai yang lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

 

33.    Apabila kita membincangkan Rancangan Malaysia, dewan yang mulia ini perlu sedar bahawa kita mempunyai sumber yang terhad, di manakah kita melabur pada masa 5 tahun akan datang sepatutnya mengikut ROI. 

34.    Kita perlu sentiasa tanya perbelanjaan manakah yang akan mencipta kebaikan yang paling tinggi untuk rakyat?

35.    Puchong mengalu-alukan usaha kerajaan dalam mempertingkatkan akses ke prasekolah, tetapi ingin menarik perhatian kerajaan bahawa taska dan penjagaan kanak-kanak kurang daripada 5 tahun, juga adalah penting.

36.    Secara keseluruhannya, bagaimanakah kita tahu bahawa pelaburan kita dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak adalah mencukupi?

37.    Puchong telah membuat satu analis yang kasar dan mendapati bahawa kerajaan membelanja kurang daripada RM2 billion setiap tahun dalam sekotor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, iaitu lebih kurang 0.1% daripada KDNK kita.

38.    Sebagai rujukkan, negara OECD membelanja secara purata 0.8% daripada KDNK untuk pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, iaitu 8 kali ganda lebih tinggi daripada perbelanjaan Malaysia.

39.    Perbezaan antara negara-negara OECD adalah besar, dengan jumlah perbelanjaan mencecah sebagai setinggi 1.6% daripada KDNK di Sweden dan 1.7% di Iceland manakala kurang daripada 0.5% di Colombia, Costa Rica, Ireland, Portugal, Türkiye dan Amerika Syarikat.

40.    Walaubagaimanapun, tiada negara OECD yang belanja kurang daripada 0.3% daripada KDNK mereka. 

41.    Ini menunjukkan pelaburan Malaysia dalam sektor penjagaan dan pendidikan awal adalah sangat tidak mencukupi.  

42. Kita perlu meningkatkan perbelanjaan dalam sektor penjagaan dan pendidikan awal secara drastik, sebanyak 3 hingga 8 kali ganda.  

43. Untuk makluman Tuan Speaker, kerajaan membelanja kira-kira RM 25 billion dalam pendidikan rendah, RM 25 billion pendidikan menengah dan RM 15 billion pendidikan tinggi serta lebih daripada RM10  billion bagi job training. 

44. Kenapa penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak tidak mendapat perhatian yang sewajarnya?

45. Dengan ini, Puchong menggesa kerajaan untuk merombak semula pelaburan kita dalam pembangunan modal insan dan mengagih sumber terhad kita mengikut ROI kepada masyarakat. 

46.    Peruntukkan yang mencukupi dalam sektor penjagaan dan pendidikan awal bukan sahaja dapat membangunkan modal insan negara dengan baik, malah ia juga dapat menghasilkan kesan sampingan yang baik.

47.    Seperti ramai yang tahu di sini, penjagaan kanak-kanak merupakan beban kewangan kepada ramai keluarga.

48.    Kini, yuran bulanan penjagaan kanak-kanak sepenuh hari di Lembah Klang adalah dari RM 650 hingga lebih daripada RM 2,000 setiap anak.

49.    Perbelanjaan penjagaan kanak-kanak telah menjadi beban yang meningkat kepada ramai keluarga muda.

50.    Dengan adanya sumber yang mencukupi, subsidi boleh diberi kepada keluarga-keluarga muda ini.

51.    Kita juga tahu bahawa sekarang hanya mereka yang berkemampuan sahaja yang mampu menghantar anak mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak yang berkualiti baik.

52.    Dengan kata lain, anak-anak golongan berpendapatan tinggi dan rendah akan  mempunyai titik permulaan yang berbeza. Ini akan menyumbang kepada kitaran ketidaksamaan sosial.

53.    Dengan sumber yang mencukupi, lebih banyak pusat penjagaan dan pendidikan awal yang berkemampuan dan berkualiti boleh diwujudkan.

54.    Akhir sekali, jika kerajaan dapat memberi sokongan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak kepada keluarga yang tidak berkemampuan, ini akan membolehkan lebih ramai wanita yang sebelum ini terpaksa tinggal di rumah untuk jaga anak untuk keluar bekerja.

55.  Ini akan membantu untuk meningkatkan pendapatan keluarga kerana isi rumah beralih dari pendapatan single income kepada dual income. 

56. Wanita yang berhenti dari tenaga kerja merupakan kerugian ekonomi kepada negara, memandangkan wanita kita semakin berpendidikan, malah lebih tinggi berbanding lelaki, di mana pendaftaran ke pendidikan tinggi kini kira-kira 60% wanita dan hanya 40% lelaki.

57. Sehingga kini, Malaysia mempunyai salah satu kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang terendah di Asia Tenggara.

58. UNDP menjangka bahawa peningkatan kadar penyertaan wanita kepada 70% akan meningkatkan KDNK Malaysia sebanyak 2.9%. Ini adalah angka yang besar.

59. Dengan itu, Puchong menyeru kerajaan untuk meningkatkan peruntukkan bagi sektor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak dengan drastik pada RMK13.

60. Pelaburan ini boleh membangunkan insan, meringankan beban keluarga, memperkasa wanita dan sekaligus merancak ekonomi negara.