Selasa, 9 Julai 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam | 9 Julai 2024

9 Julai 2024, Selasa

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan berapa panjang tempoh perbicaraan sehingga keputusan mahkamah dibuat bagi kesalahan-kesalahan yang melibatkan Akta Kualiti Alam Sekeliling. Apakah langkah-langkah Kementerian untuk menyingkatkan tempoh perbicaraan. Apakah pendirian Kementerian terhadap kewujudan environmental court.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah berpengalaman dalam mengendalikan perbicaraan kes-kes pencemaran alam sekitar. Berdasarkan Arahan Amalan Bil. 7 Tahun 2015, kes-kes tuntutan alam sekitar (sivil) hendaklah diselesaikan dalam tempoh sembilan (9) bulan dari tarikh ia mula-mula didaftarkan di mahkamah tersebut, manakala bagi kes jenayah alam sekitar hendaklah diselesaikan dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh tertuduh pertama kali dituduh di mahkamah selaras dengan Arahan Amalan Bil. 3 Tahun 2012. Namun begitu, tempoh perbicaraan akan dipanjangkan sekiranya kes tidak dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut bergantung kepada prosedur-prosedur tertentu bagi sesuatu kes dan juga pihak-pihak termasuk mahkamah, pendakwa raya dan peguambela.

2. Environmental Court sememangnya telah wujud menerusi penubuhan Mahkamah Sesyen Khas yang mengendalikan kes berkaitan jenayah alam sekitar selaras dengan Arahan Amalan Ketua Pendaftar Bil 3/2012 manakala Mahkamah Alam Sekitar bagi kes sivil ditubuhkan melalui Arahan Amalan Ketua Pendaftar Bil 7/2015 bagi tujuan menyegerakan kes tuntutan sivil alam sekitar. Menerusi amalan ini, beberapa Mahkamah Tinggi, Sesyen Dan Majistret tertentu telah dipilih untuk mengendalikan prosiding tuntutan sivil alam sekitar.

3. Mahkamah ini mempunyai kepakaran khusus dalam undang-undang alam sekitar serta memastikan kes-kes berkaitan alam sekitar ditangani dengan lebih cekap dan adil. Di samping itu, Mahkamah Alam Sekitar juga akan dapat mempercepatkan penyelesaian kes-kes alam sekitar dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di negara ini.

Sekian, terima kasih.