Selasa, 9 Julai 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air | 9 Julai 2024

9 Julai 2024, Selasa

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan apakah perkembangan pengeksportan tenaga boleh baharu (TBB) :

(a) adakah Kementerian akan mengkaji mekanisme lain seperti third-party- access (TPA) atau tripartite contract (TPC) selain daripada Enegem untuk memudahkan eksport TBB; dan 

(b) adakah Kementerian terbuka dengan cadangan pembinaan undersea cable oleh pihak swasta selain TNB.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah menetapkan mekanisme ENEGEM sebagai kaedah untuk mengeksport TBB merentas sempadan setelah mengambil kira manfaat nilai ekonomi serta menjaga kepentingan pemain industri tenaga dan negara dalam urusniaga yang akan dilaksanakan, berbanding kaedah lain termasuk TPA dan TPC.

2. Pendirian ini berdasarkan dapatan perbandingan yang telah dilakukan Kementerian ini semasa membangunkan dasar dan rangka kerja ENEGEM, di mana penjualan tenaga menerusi kaedah ini akan memberikan manfaat yang optima kepada negara.

3. Manakala mengenai keterbukaan Kementerian dengan cadangan pembinaan undersea cable oleh pihak swasta selain TNB, Kementerian sentiasa terbuka dengan apa-apa cadangan yang berdaya maju, tidak menyebabkan kenaikan tarif pengguna yang ketara serta tidak menjejaskan keselamatan dan keterjaminan bekalan serta infrastruktur bekalan elektrik negara.

Sekian, terima kasih.