Selasa, 2 Julai 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Pendidikan | 2 Julai 2024

2 Julai 2024, Selasa


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan apakah kelayakan minimum dari segi keputusan SPM/matrikulasi/CGPA (dalam pendidikan tinggi) dan lain-lain kriteria dalam pengambilan guru ke maktab guru. Dalam pengambilan guru terkini, berapa peratus yang mencapai 7A ke atas di SPM dan CGPA 3.0 dan ke atas.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam melaksanakan pengambilan guru. KPM menawarkan latihan praperkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Setakat ini KPM telah mengeluarkan iklan permohonan PISMP bagi lepasan SPM, STPM, Matrikulasi dan STAM. Permohonan dibuka bermula 14 Mac hingga 15 April 2024.

Syarat kelayakan minimum bagi:

a) SPM

i. LULUS SPM dengan memperoleh gred CEMERLANG dalam mana-mana lima mata pelajaran.

ii. Memperoleh sekurang-kurangnya gred KEPUJIAN dalam tiga mata pelajaran berikut di peringkat SPM iaitu Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; dan Sejarah.


b) Matrikulasi (Mulai 2024)

i. LULUS SPM dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred KEPUJIAN dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Kepujian Bahasa Melayu SPM Ulangan boleh diambil kira.

ii. Memperoleh sekurang-kurangnya gred LULUS dalam mata pelajaran berikut di peringkat SPM iaitu Bahasa Inggeris dan Sejarah.

iii. LULUS program Matrikulasi dengan memperoleh sekurang kurangnya PNGK 3.5.


c) STPM (Mulai 2024)

i. LULUS SPM dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred KEPUJIAN dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Kepujian Bahasa Melayu SPM Ulangan boleh diambil kira.

ii. Memperoleh sekurang-kurangnya gred LULUS dalam mata pelajaran berikut di peringkat SPM iaitu Bahasa Inggeris; dan Sejarah

iii. LULUS STPM dengan memperoleh sekurang-kurangnya PNGK 3.5.


d) STAM (Mulai 2024)

i. LULUS SPM dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred KEPUJIAN dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Kepujian Bahasa Melayu SPM Ulangan boleh diambil kira.

ii. Memperoleh sekurang-kurangnya gred LULUS dalam mata pelajaran berikut di peringkat SPM iaitu Bahasa Inggeris; dan Sejarah.

iii. LULUS STAM dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred JAYYID JIDDAN.


Selain dari kelayakan akademik, calon juga hendaklah melepasi Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG), temu duga dan Ujian Kecergasan Fizikal (UKF). Calon yang melepasi semua syarat akan dipilih berdasarkan skor merit untuk ditawarkan pengajian di IPG Kampus.

Berdasarkan data ambilan tahun 2023, peratus yang mencapai 7A ke atas dalam SPM adalah sebanyak 66%.

Sekian, terima kasih.