Rabu, 17 Julai 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan | 17 Julai 2024

17 Julai 2024, Rabu


SOALAN

YB PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan keadaan flat kos rendah :

(a) jumlah flat kos rendah yang belum beralih dari sistem meter air pukal ke meter individu. Nyatakan langkah-langkah Kementerian untuk membantu proses peralihan ini; dan

(b) apakah langkah-langkah untuk memastikan penyelenggaran flat kos rendah adalah self-sustainable pada masa depan. 

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, Kerajaan MADANI berpaksikan teras kemampanan dan kesejahteraan sosial, sentiasa ingin menitikberatkan kualiti kehidupan rakyat yang harmoni berasaskan kepada pengurusan bangunan berstrata yang lebih efektif dan holistik. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus menelusuri dan memberi perhatian terhadap isu-isu yang berlaku di perumahan berstrata terutamanya yang melibatkan pengurusan harta bersama oleh Badan Pengurusan Bersama atau Perbadanan Pengurusan (JMB/MC) dan akses universal dari segi infrastruktur asas seperti kemudahan bekalan air buat rakyat.

Pelaksanaan migrasi meter pukal kepada meter individu telah dikuat kuasakan pada 1 Februari 2014 dan telah diwajibkan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang berada di bawah pemantauan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), seperti yang terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan “Kaedah kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air Dan Pemasangan Paip) 2014”. Menerusi penguatkuasaan warta tersebut, pihak JMB/MC perlu membuat permohonan kepada pihak syarikat air untuk proses migrasi dilaksanakan.

Usaha migrasi meter pukal kepada meter individu membolehkan penghuni berpeluang untuk menikmati kadar tarif air yang lebih rendah dan juga adil dari segi kadar pembayarannya kerana ia adalah mengikut tahap penggunaan masing-masing berbanding meter pukal bagi perumahan berstrata.

Oleh kerana permohonan migrasi dikemukakan secara terus kepada pihak syarikat air yang tertakluk di bawah kawal selia SPAN (di bawah NRES), maka KPKT tidak mempunyai maklumat keseluruhan mengenai jumlah permohonan tersebut dan jumlah flat kos rendah yang belum beralih dari meter pukal ke meter individu.

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat juga, terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan penuh migrasi meter pukal kepada meter individu iaitu:

i. kekangan sumber kewangan oleh JMB/MC berikutan isu pembayaran caj penyelenggaraan dan kumpulan wang penjelas di mana terdapat pemilik-pemilik unit culas atau gagal untuk membuat pembayaran; dan

ii. tunggakan bayaran bil utiliti yang tidak dijelaskan seperti tunggakan air, akan menyebabkan proses migrasi terjejas.

Justeru, KPKT melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB) di setiap PBT, sentiasa memberikan penekanan kepada JMB/MC terutamanya apabila notis migrasi telah dikeluarkan oleh SPAN. KPKT juga sentiasa bekerjasama dengan penghuni serta pengurusan bangunan dalam melaksanakan proses migrasi meter pukal kepada meter individu tersebut melalui program pendidikan dan pemerkasaan komuniti strata.

Berkaitan penyelenggaran flat kos rendah agar perumahan adalah bersifat self-sustainable, untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, KPKT giat berusaha meningkatkan kecekapan dan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat:

i. Penyaluran peruntukan kepada PBT bagi mengadakan Program Pendidikan dan Pemerkasaan Komuniti Strata setiap tahun untuk memberikan pendedahan dan kesedaran akan pentingnya caj penyelenggaraan sebagai tanggungjawab bersama di pembangunan berstrata. KPKT telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM76,810.00 untuk penganjuran 23 program pada tahun 2022 dan RM77,750.00 untuk 21 program pada tahun 2023. Manakala bagi tahun 2024, sebanyak RM80,000 telah diperuntukkan bagi penganjuran melibatkan 22 program pendidikan/pemerkasaan komuniti strata;

ii. Meningkatkan kemampuan sumber kewangan di perumahan berstrata melalui kutipan caj penyelenggaraan dan juga caruman kepada kumpulan wang penjelas untuk mengurus dan menyelenggara perumahan berstrata dengan berkesan. Dalam hal ini, JMB/MC bertanggungjawab untuk membuat perancangan perbelanjaan yang diperlukan bagi menguruskan harta bersama di sesebuah skim strata dan membentangkan dalam mesyuarat agung tahunan kepada penduduk. Berdasarkan perancangan tersebut, JMB/MC perlu menetapkan kadar kutipan caj penyelenggaraan yang wajar dikenakan kepada penduduk/pemilik strata; dan

iii. JMB/MC turut bertanggungjawab meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab pemilik petak untuk membayar caj penyelenggaraan dan juga caruman kepada kumpulan wang penjelas selaras dengan seksyen 52 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] yang menyatakan “setiap pemilik hendaklah membayar caj dan caruman kumpulan wang penjelas kepada perbadanan pengurusan bagi penyelenggaraan dan pengurusan bangunan atau tanah yang dipecah bahagi dan harta bersama di dalam suatu kawasan pemajuan.”

KPKT melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB) di PBT akan sentiasa memastikan kerjasama erat dengan JMB/MC dalam perkara ini agar masing-masing melaksanakan peranan yang lebih proaktif dalam memastikan pengurusan perumahan berstrata, termasuk di flat kos rendah yang efisien.

Sekian, terima kasih.