Selasa, 2 Julai 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Pendidikan | 2 Julai 2024

2 Julai 2024, Selasa


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan trend sekolah swasta di Malaysia :

(a) berapa sekolah rendah dan sekolah menengah swasta (termasuk homeschool) dari 2000 hingga 2024; dan 

(b) berapa jumlah pelajar sekolah rendah dan menengah swasta dari 2000 hingga 2024.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Sekolah swasta seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 74 Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] ialah sekolah yang dimiliki oleh pihak swasta serta melaksanakan kurikulum kebangsaan. Pengoperasian sekolah swasta juga selaras dengan peringkat pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan yang turut merangkumi pendidikan rendah dan menengah.

Terdapat dua kategori utama dalam sekolah swasta iaitu sekolah akademik dan sekolah agama. Sekolah akademik ialah sekolah yang melaksanakan kurikulum kebangsaan manakala sekolah agama ialah sekolah yang melaksanakan kurikulum kebangsaan beserta kurikulum agama Islam yang dikawal selia oleh pihak berkuasa agama negeri masing masing.

a) Sehingga suku pertama 2024 terdapat 133 buah sekolah rendah swasta yang terdiri daripada 68 buah sekolah rendah akademik dan 65 buah sekolah rendah agama. Berdasarkan data sekolah swasta dari tahun 2010 hingga 2024, bilangan sekolah rendah swasta menunjukkan trend peningkatan 43 peratus.

Bagi sekolah menengah, terdapat 109 buah sekolah menengah swasta yang terdiri daripada 68 buah sekolah menengah akademik dan 41 buah sekolah menengah agama. Trend bilangan sekolah menengah swasta juga menunjukkan peningkatan dengan peratusan iaitu 21 peratus.

b) Bagi enrolmen di sekolah swasta pula, sehingga suku pertama 2024 terdapat 41,610 murid sedang mengikuti pendidikan di peringkat rendah dengan pecahan di sekolah rendah akademik seramai 14,474 murid dan sekolah rendah agama sebanyak 27,136 murid. Secara perbandingan dengan data enrolmen murid di sekolah rendah swasta pada tahun 2010 dengan 2024 menunjukkan trend peningkatan sebanyak 53 peratus.

Enrolmen murid yang sedang mengikuti pendidikan di peringkat menengah sehingga suku pertama 2024 adalah seramai 24,718 orang dengan 14,866 di sekolah menengah akademik dan 9,852 di sekolah menengah agama. Berdasarkan data enrolmen tahun 2010 hingga 2024, terdapat trend peningkatan bagi murid yang mengikuti pendidikan di sekolah menengah swasta namun peratusan peningkatan hanya 7 peratus sahaja.

Sekian, terima kasih.