Isnin, 15 Julai 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air | 15 Julai 2024

15 Julai 2024, Isnin


SOALAN

Puan Yeo Bee Yin [ Puchong ] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan langkah-langkah penambaikan polisi tenaga boleh baharu (TBB) :

(a) apakah status penyediaan draf rang undang-undang third party access (TPA) bekalan elektrik; dan

(b) adakah Kementerian ada rancangan untuk menambah baik polisi untuk sell-consumption (SELCO) dan solar-atas-bumbung (kelulusan secara berpukal) untuk projek perumahan baru.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan sedang dalam usaha untuk menyediakan kerangka pelaksanaan akses pihak ketiga atau third party access (TPA) untuk bekalan elektrik hijau, yang akan membolehkan syarikat korporat yang memerlukan bekalan elektrik hijau mendapatkannya secara terus daripada pemaju/penjana elektrik TBB dengan menggunakan sistem rangkaian pembekalan elektrik syarikat utiliti. Kerajaan akan mengenakan caj rangkaian yang ditetapkan setimpal dengan kos sebenar untuk pengoperasian dan kawal selia TPA. Kerangka pelaksanaan ini dijangka diumumkan pada Julai dan mula dilaksanakan pada September 2024.

2. Mengenai sama ada Kementerian bercadang untuk menambah baik dasar program self-consumption (SelCo) dan pelaksanaan solar atas bumbung bagi membolehkan kelulusan secara berpukal untuk projek perumahan baru, perkara ini sedang dilakukan bersekali dengan proses menambah baik dasar, kerangka pelaksanaan dan kawal selia semua inisiatif TBB yang dilaksanakan Kementerian ini. Penambahbaikan secara berterusan ini penting bagi memastikan keberkesanan dan daya maju program berkenaan selaras dengan perkembangan teknologi terkini dan permintaan pengguna semasa.

Sekian, terima kasih.