BAB 3
PEMBERDAYAAN ANAK MUDA
Apakah
perkara pertama yang terlintas dalam fikiran anda apabila kita berbicara
tentang anak muda Malaysia pada hari ini? Mereka yang beratur berjam-jam, hanya
untuk membeli sebuah iPhone terbaru di pasaran ataupun tiket konsert K-pop?
Anak muda yang sentiasa mencari peluang untuk membeli tiket Air Asia yang murah
untuk percutian yang seterusnya? Anak muda yang boleh mengambil gambar dengan
pantas dan sempurna dari setiap sudut? Anak muda yang tidak tahan dengan
tekanan? Ada juga di antara kita yang melihat golongan anak muda Malaysia
dengan sangat berbeza, dimana mereka dilihat kreatif, berani dan ageresif
dengan idea permulaan yang begitu kreatif sehingga tidak dapat ditandingi oleh
generasi sebelumnya.
Tidak kira apa pandangan anda terhadap golongan anak
muda Malaysia, satu fakta penting iaitu, pemberdayaan anak muda (youth empowerment) merupakan satu agenda
perdana dalam pembinaan negara untuk Malaysia. Bagaimana pembangunan anak muda
dari segi ekonomi dan prefesional bagi generasi ini, akan membawa impak yang
signifikan untuk pembangunan secara seluruh di dalam negara ini.
Ini
sebabnya.
Berdasarkan populasi semasa dan populasi ramalan di
Malaysia, akan adanya jumlah penduduk yang lebih banyak menyertai tenaga kerja
berbanding dengan penduduk yang meninggalkan tenaga kerja dari sekarang
sehingga dua ke tiga dekad berikutnya. Institut Penyelidikan Khazanah
melaporkan bahawa jumlah nisbah dependensi di seluruh Malaysia, di mana nisbah
penduduk dalam lingkungan umur bekerja per bilangan nisbah penduduk tanggungan,
akan stabil pada 45% sekurang-kurangnya sehingga 2040.
Dalam
erti kata lain, dalam dua dekad yang seterusnya, kadar populasi produktif akan
lebih tinggi berbanding dengan kadar populasi tidak produktif. Oleh sedemikian,
Malaysia boleh bermanfaat dari “dividen demografi” dan memasuki satu era di
mana akan adanya peluang yang cerah bagi produktiviti yang lebih tinggi dan
pertumbuhan ekonomi yang lebih besar.
Kini,
kita sedang berada di permulaan era “dividen demografi”. Dalam tempoh masa 20
sehinggga 30 tahun, tenaga kerja anak muda sekarang (20 – 35 tahun) akan
berumur 40 sehingga 65 tahun, umur dimana kebanyakkan mereka ini akan menguasai
posisi kepemimpinan di dalam bidang dan organisasi masing-masing.
Dengan
struktur populasi sebegini, generasi anak muda kini akan menjadi pemimpin bagi
populasi bekerja terbesar di Malaysia pada (dengan harapan) zaman yang
mengelembong (booming period) ini.
Masalah pekerjaan anak muda
Pemimpin
jenis apa yang akan terlahir pada generasi anak muda ini akhirnya bergantung
kepada peluang jenis apa yang dapat mereka perolehi pada ketika ini dalam
pembangunan peribadi dan kemajuan kerjaya. Dalam bab ini, kita akan berbincang
tentang cabaran prefesional yang dihadapi oleh anak muda hari ini dan
masalah-masalah struktur yang tertimbul.
Pengangguran
Cabaran utama yang dihadapi oleh anak muda hari ini
adalah untuk mencari kerja. Kadar anak muda yang menganggur adalah lebih tinggi
berbanding dengan kadar purata pengangguran nasional. Sejak 2015, 1 dalam 10
anak muda tidak mempunyai pekerjaan berbanding dengan sekitar sebanyak 3.1
dalam 100 pekerja pada semua peringkat umur; pengangguran anak muda adalah 3
kali ganda berbanding dengan purata nasional. Malah, anak muda berumur dari 20
– 24 tahun dan 25 – 29 tahun bertanggungjawab ke atas peratusan sebanyak
masing-masing 40% dan 20% dari jumlah pengangguran di dalam Malaysia.
Sudah
tentu, kebanyakkan akan mengatakan yang anak muda di Malaysia hanya boleh
salahkan diri sendiri. Apatah lagi, menurut tinjauan Jobstreet.com dengan para
majikan, apabila ditanya mengapa susah bagi graduan baru untuk diterima kerja,
antara lima sebab-sebab utama adalah i. graduan baru meminta gaji dan faedah
yang tidak realistik (68%), ii.
penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah (64%), iii. Bersikap terlalu
memilih pada kerja ataupun syarikat (60%), iv. kemahiran berkomunikasi yang
lemah (60%) dan v. perangai, sikap dan personaliti yang kurang bagus (58%).
Juga
terdapatnya masalah struktur yang tersorok di sini.
Pemerhati
Ekonomi Bank Negara Malaysia – Ke Arah Masyarakat Kelas Menengah melaporkan
bahawa firma-firma di Malaysia secara konsistennya telah menyenaraikan
‘penggalian bakat” sebagai salah satu cabaran utama bagi perniagaan mereka
kerana adanya jurang kemahiran seperti kemahiran nombor dan bahasa yang asas,
serta kemahiran insaniah seperti pemikiran analitik, komunikasi, dan kemahiran
penyelesaian masalah.
Sementara
para majikan sedang bergelut dalam menggali bakat, 1 dalam 4 pelajar yang telah
tamat belajar kekal menganggur selama 6 bulan selepas pengijazahan, pada tahun
2015. Ini menandakan bahawa institusi tinggi kita tidak mampu menghasilkan
tenaga kerja yang dikehendaki oleh pasaran. Ini juga bermaksud terdapatnya
ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan dalam tenaga kerja.
Statistik
yang telah saya kongsikan di atas bukanlah sekadar fakta lunak. Ianya wujud dalam
kehidupan sebenar ramai anak-anak muda. Ia merupakan satu masalah yang nyata.
Biarlah saya menceritakan satu kisah disini.
Saya
telah menganjurkan pelbagai program anak muda sejak saya dipilih sebagai wakil
rakyat pada tahun 2013, dan saya telah mengenali ramai anak-anak muda
universiti. Pada suatu hari, semasa saya hendak berurusan ke bank, saya
terdengar seseorang yang sedang memanggil saya “YB!”. Oleh itu, saya
memusingkan kepala dan mengenali pelajar ini sebagai salah seorang anak muda
yang telah menyertai salah satu program anak muda anjuran saya yang terawal.
Dia sedang menjual pakej mobil untuk satu syarikat telekomunikasi di luar bank.
Di samping program kepemimpinan belia,
pejabat kami juga telah menganjurkan program yang dinamakan Lawatan Anak Muda
sejak tahun 2015, di mana kami membawa belia untuk melawat Parlimen dan Dewan
Negeri Selangor supaya mereka dapat melihat bagaimana dasar dan keputusan
penting dibuat di negara kita.
Oleh
kerana terlalu ramai anak muda yang pernah menyertai program di bawah anjuran
saya sebelum ini, saya mengambil sedikit masa untuk mengimbas kembali memori
saya terhadap anak muda ini. Selepas itu, saya teringat bahawa anak muda ini
merupakan seorang pelajar daripada salah satu universiti tempatan, yang telah
menyertai kem kepimpinan anak muda kita yang pertama.
Saya
masih ingat pelajar ini menunjukkan prestasi yang agak baik di kem tersebut.
Dia merupakan seorang pemain berpasukan, pandai mengkomunikasikan idea-ideanya
dan bagi terpilih dalam kem kepimpinan anak muda, dia perlu mempunyai
pencapaian akademik yang cemerlang. Oleh itu, saya agak terkejut apabila
pelajar ini bekerja sebagai penjual pakej mobil selepas tamatnya pengajian (Untuk menjual pakej khidmat telefon bimbit, seseorang itu tidak memerlukan
ijazah universiti).
Menurut
pelajar ini, memang sangat susah baginya untuk mencari kerja yang berkaitan
dengan kursus yang diambil olehnya di universiti. Dia telah tamat
pengajian selama dua tahun dan akhirnya terpaksa untuk menerima kerja ini pada
enam bulan yang lepas. Menurutnya, lebih daripada separuh rakan sekelasnya
masih tidak berpeluang untuk mendapatkan kerja tetap.
Adakah
anda berpendapat bahawa situasi tidak mampu mencari kerja ini kesilapan pelajar
ini? Mungkin. Tetapi cuba bayangkan jika dia berjaya mengambil satu kursus yang
dapat melengkapi dirinya dengan kemahiran ataupun ilmu pengetahuan yang
benar-benar diperlukan oleh pasaran kerja. Seingat saya, dia mempunyai
keupayaan intelek dan kemahiran berkomunikasi antara manusia yang boleh diasah
bagi menceburi bidang kerja yang berproduktiviti tinggi, dimana dia boleh
mendapat gaji yang setentunya lebih tinggi daripada menjual pakej mobil.
Pada
hari ini, ramai di antara para graduan kita yang mengalami nasib yang sama.
Mereka semua memegang sebuah ijazah yang mungkin hanya mempunyai sedikit atau
tiada nilai permintaan langsung dalam pasaran kerja. Kebanyakan mereka penuh
dengan potensi tetapi sistem pendidikan tinggi kita telah gagal untuk membentuk
mereka sebagai sumber manusia yang produktif bagi pasaran kerja. Apa yang lebih
kronis, universiti-universiti awam tidak celik dalam melengkapkan para graduan
dengan kemahiran boleh pindah (transferable
skills) dan juga kemahiran insaniah (soft
skills).
Masalah
pengangguran anak muda bukan sahaja memberi kesan kepada anak muda secara individu,
malah ia juga menjejaskan produktiviti perniagaan-perniagaan, apabila mereka
mendapati agak sukar bagi mereka untuk mengisi kekosongan di dalam
syarikat-syarikat mereka dengan bakat yang berkelayakan.
Kurang
peluang pekerjaan
Semasa
membesar, kita selalu dinasihatkan bahawa ijazah universiti merupakan tiket
bagi mengubah nasib hidup ke arah sesuatu yang lebih berjaya ataupun
sekurang-kurangnya lebih baik berbanding dengan orang tua kita. Keadaan kini
berbeza. Ramai di antara anak muda hari ini tidak memperolehi pendapatan yang
cukup untuk mengatasi tekanan kos sara hidup, apatah lagi jika mahu memiliki
sebuah rumah walaupun sesudah bekerja sebanyak sepuluh tahun.
Walaupun
saya percaya bekerja keras dan inisiatif seseorang individu perlu dalam
menentukan aras pendapatan, terdapat satu kelemahan sistem dan struktur yang
perlu kita perbetulkan – iaitu jenis pekerjaaan yang dihasilkan oleh ekonomi
kita. Bank Dunia mendapati Malaysia tidak menunjukkan peningkatan dalam
mewujudkan pekerjaan berkemahiran tengah ke tinggi (iaitu pekerjaan
berpendapatan tinggi) sejak tahun 2001.
Peratusan
bagi jumlah pekerjaan berkemahiran rendah, tengah dan tinggi adalah
masing-masing 10.6%, 65% dan 24.3% bagi tahun 2001, serta 13.8%, 60.7% dan
25.5% masing-masing bagi tahun 2015. Jumlah bilangan pekerjaan telah meningkat
dalam secara keseluruhan, tetapi ekonomi kita telah mewujudkan pekerjaan
berkemahiran rendah dengan kadar yang lebih pantas berbanding dengan pekerjaan
berkemahiran tinggi (2.2% berbanding 1.2% peningkatan dalam peratusan tenaga
kerja) dan kita sedang menghadapi kekurangan pekerjaan berkemahiran tengah.
Dalam erti kata lain, dalam dua dekad setengah yang lepas, ekonomi Malaysia
telah gagal untuk menghasilkan pekerjaan berkemahiran tengah dan tinggi yang
membenarkan golongan anak muda menjana lebih banyak pendapatan.
Peratusan
pengambilan pekerjaan berkemahiran tinggi hanya meningkat sedikit dan pekerjaan
berkemahiran tengah telah mengecut walaupun tahap pendidikan tenaga kerja
Malaysia telah meningkat sebanyak 27.6% daripada tenaga kerja yang telah
mencapai tahap penggajian tinggi pada tahun 2015 berbanding kepada 15.4% pada
tahun 2001.
Kadar
peningkatan pekerjaan berkemahiran tinggi tidaklah sepantas kadar peningkatan
tenaga kerja di tahap penggajian tinggi. Selepas tahun 2012, jumlah mutlak
bilangan tenaga kerja yang telah mencapai tahap penggajian tinggi adalah lebih
tinggi berbanding dengan jumlah bilangan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Ini
bukan sekadar satu penanda aras ekonomi.
Bagi
generasi sebelum ini, tenaga kerja muda berpeluang untuk mendapat kerja yang
membenarkan mereka untuk “memanjat ke atas” berbanding dengan tahap pendidikan
mereka (bilangan pekerjaan-perkerjaan berkemahiran tinggi lebih banyak
berbanding dengan bilangan pekerja-pekerja yang telah mencapai penggajian
tinggi) manakala pada generasi kini, tenaga kerja muda mengharungi pelbagai
cabaran untuk mencari pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan dan asipirasi
mereka, malah sesetengah daripada mereka perlu bergerak ke bawah (tenaga kerja
yang telah mencapai tahap penggajian tinggi lebih banyak berbanding dengan
jumlah pekerjaan-pekerjaan berkemahiran tinggi).
Masalah
ini terus menular dengan bekalan para lepasan siswazah daripada universiti yang
tidak sepadan dengan permintaan pasaran kerja dan juga kekurangan kemahiran
insaniah pada para lepasan universiti kita.
Semua
ini telah menyumbang kepada dua situasi yang sering dilihat.
Pertama
sekali, gaji permulaan bagi lepasan universiti tidak dilihat mempunyai
peningkatan signifikan berbanding dengan sedekad yang lalu. Saya masih ingat
sepuluh tahun dahulu apabila saya masih seorang graduan baru, gaji permulaan
umum bagi seorang jurutera adalah dalam linkungan RM 1,800 sehingga RM 3,000,
di mana lingkungan gaji ini berada dalam tahap yang masih setaraf ataupun hanya
meningkat sedikit pada zaman kini. Namun, kos sara hidup telah meingkat
sebegitu tinggi!
Kedua, kita dapat melihat peningkatan bilangan lepasan
graduan dari pengajian tinggi yang terpaksa akur menerima pekerjaan yang hanya
memerlukan kelayakan sekolah menengah dan justeru itu, menerima bayaran yang
sebegitu; sama seperti graduan universiti yang menjual pakej mobil di hadapan
Maybank, yang disebut sebelum ini oleh saya. Malahan, sekitar 45% graduan
universiti berpendapatan lebih kurang daripada RM 1,500 sebulan sejak 2013. RM
1,500 sepatutnya gaji peringkat minimum! Sejak 2015, 54% daripada graduan baru
memperolehi pendapatan kurang daripada RM 2,000.
Graduan
muda pada hari ini sedang melakukan pekerjaan yang tidak setaraf dengan
kelayakan dan aspirasi mereka. Ahli ekonomi mempunyai satu perkataan khusus
untuk menggambarkan keadaan ini dan ia disebut sebagai “underemployment” (pekerja berkemahiran tinggi tetapi bergiat dalam
pekerjaan berkemahiran rendah).
“Underemployment” membawa impak negatif
kepada negara kerana pulangan yang dibawa oleh pendidikan berkurang. Bayangkan
jika satu negara telah menghabiskan sumber terhadnya sebagai peruntukan bagi
pengajian tinggi, supaya kita dapat menghasilkan lebih banyak para graduan,
tetapi mereka tidak dapat menjana pendapatan yang setimpal dengan kelayakan
pendidikan mereka. Pada tahap individu, “underemployment” menghalang seseorang
individu daripada memperolehi perkembangan karier yang sepatutnya membolehkan mereka mencari pekerjaan yang lebih baik di masa depan.
Seperti
yang disebut sebelum ini, generasi muda zaman ini akan menjadi pemimpin untuk
populasi bekerja (produktif) terbesar dalam masa 20 hingga 30 tahun, dan negara
kita perlu mencari satu solusi bagi mengatasi masalah struktur yang wujud pada
isu pengangguran anak muda dan senario-senario “underemployment”, bagi memaksimumkan pembangunan dan kemajuan anak
muda apabila mereka masih berada di peringkat awal kerjaya mereka.
Bengkel Mencari Pekerjaan - menulis resume
dan persediaan
untuk temu duga kerja yang dianjurkan oleh pejabat saya.
untuk temu duga kerja yang dianjurkan oleh pejabat saya.
Kerja yang lebih baik untuk anak muda
Kita
tidak punya jalan pintas; kita perlukan lebih banyak pekerjaan berkemahiran
tengah dan berkemahiran tinggi supaya rakyat boleh dibayar dengan pendapatan
yang lebih lumayan.
Secara
umumnya, gaji hanya boleh ditingkatkan apabila produktiviti pekerja
meningkat. Dalam dunia globalisasi ini,
tenaga kerja hanya boleh dibayar lebih apabila mereka mengeluarkan lebih banyak
hasil ekonomi untuk jangkamasa bekerja yang sama. Sejak dekad lalu, kadar
peningkatan produktiviti pekerja Malaysia hanyalah berada pada tahap purata,
dengan peningkatan sebanyak 2% setahun. Oleh itu, gaji para pekerja dilihat
meningkat secara perlahan, berbanding dengan kos sara hidup.
Bagi
meningkatkan produktiviti pekerja, kita perlu memangkinkan industri kita supaya
melabur kepada jenis jentera dan kelengkapan yang betul, meningkatkan kecekapan
dan kemahiran pekerja dalam bidang kerja mereka, serta meningkatkan keseluruhan
faktor produktiviti, dimana ia akan menjadi satu fungsi perubahan dalam
teknologi, ilmu pengetahuan, organisasi dan kecekapan.
Mungkin
ini kedengaran terlalu abstrak, oleh itu, dibawah ini saya sertakan cadangan
saya, sebagai satu langkah konkrit ke arah bagi melahirkan pekerjaan-pekerjaan
yang lebih banyak dan baik untuk anak muda kita.
Pertama
sekali, sudah tiba masanya bagi industri Malaysia supaya tidak terlalu
bergantung terhadap buruh asing yang murah. Jumlah para pekerja berkemahiran rendah dalam komposisi pekerja
sebenarnya telah meningkat daripada 10.6% pada tahun 2001 sehingga ke 13.8%
pada tahun 2016. Bagi industri yang boleh mengadopsi teknologi bagi
mengurangkan penggunaan buruh murah (tidak semua industri yang mampu berbuat
demikian), kerajaan kita memerlukan satu sistem lobak-dan-ranting (carrot-and-stick) yang komprehensif
bagi memudahkan adopsi teknologi, dengan mengehadkan kemasukan buruh asing dan
pada masa yang sama menawarkan insentif kerajaan yang menarik bagi pemain
industri - industri ini supaya mereka akan melabur dalam teknologi.
Kedua,
kerajaan perlu menyelesaikan masalah ketidaksepadanan penawaran dan permintaan
dalam tenaga buruh dan kemahiran.
Peruntukan
biasiswa serta jumlah bilangan pengambilan untuk kursus yang berbeza di dalam
universiti, sekolah vokasional dan juga program-program peningkatan kemahiran (upskilling program) sepatutnya
menggambarkan apa keperluan ekonomi pada jangkamasa sederhana selama 2 sehingga
4 tahun. Kurikulum dalam kursus di institusi pengajian tinggi juga
sepatutnya lebih berpandukan industri. Kita seharusnya mempunyai
program-program peningkatan kemahiran yang lebih agresif bagi membantu dalam
pelatihan semula para graduan yang sedang menganggur, dimana mereka
“tersangkut” akibat keadaan ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan.
Pendidikan
dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sepatutnya melakukan penjenamaan
semula bagi menjadikan TVET satu pemilihan yang menarik untuk lepasan sekolah
menengah, sama dengan negara-negara seperti Jerman. Pastinya lebih baik untuk
menjadi lepasan TVET yang berbekalkan kemahiran yang menjadi permintaan tinggi
(serta gaji) oleh pasaran, seperti mekanik aeronautikal dll, daripada menjadi
seorang graduan universiti yang tidak mempunyai prospek kerja.
Bagi
mengurangkan jurang kemahiran para graduan dalam terma kekurangan teknikal dan
kemahiran insaniah, adalah penting bagi para menteri, agensi dan jaringan
akademik untuk bekerjasama dengan persatuan-persatuan dan pemain-pemain
industri dengan cara latihan amali ataupun jenis-jenis kerjasama yang lain.
Oleh
kerana kita hidup di satu dunia yang bergerak pantas, akan adanya
pekerjaan-pekerjaan yang masih belum wujud pada hari ini tetapi akan adanya
keperluan untuk memenuhkannya dalam masa beberapa tahun. Walaupun dalam
jangkamasa 10 tahun yang pendek, pasaran kerja akan menjadi sangat berbeza.
Forum Ekonomi Dunia telah menyenaraikan 10 pekerjaan yang tidak wujud pada
tahun 2006, tetapi telah menjadi sangat biasa pada hari ini, termasuklah pemaju
aplikasi, pengurus media sosial, penganalisis data besar, jurutera kereta
tanpa-pemandu dll. Pada masa yang sama, akan adanya pekerjaan-pekerjaan yang
akan lenyap apabila ianya digantikan dengan automasi dan kecerdasan buatan.
Oleh
sebab pasaran pekerjaan telah menjadi semakin dinamik dan berkembang pesat,
institusi pengajian tinggi kita perlu membekalkan para graduan dengan
keupayaan untuk pembelajaran secara pantas dan berdikari, boleh mengadopsi
tekonolgi baru, serta kemampuan untuk berfikir secara analitik dan kritikal
untuk menerima jenis kerja yang baru.
Keupayaan untuk berbahasa Inggeris
adalah penting, kerana ia merupakan bahasa perniagaan dalam sektor swasta.
Di samping itu, berbaloi untuk diingatkan bahawa pemahaman bahasa Cina telah
menjadi satu kemahiran yang semakin penting bagi tenaga kerja, lantaran China
telah menjadi fokus perhatian sebagai kuasa ekonomi dunia dan telah melakukan
lebih banyak pelaburan di Malaysia.
Saya amat yakin bahawa selain beberapa profesion seperti
doktor, peguam dan akauntan, institusi pengajian tinggi bukanlah satu tempat paling penting
untuk mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan yang khusus tetapi lebih kepada
sebuah tempat untuk mempelajari bagaimana kita boleh belajar dan memupuk bakat
serta karakter, dan membina kemahiran yang dapat digunakan merentasi pelbagai
jenis industri seperti kemahiran berkomunikasi dan kepimpinan.
Saya mempelajari bidang Kejuruteraan Kimia untuk kedua-dua
ijazah sarjana muda serta ijazah sarjana dan tidak pernah menyesal untuk
mengambil kursus tersebut berbanding dengan sains politik, dimana ia dilihat akan
lebih membantu dalam kerjaya saya sebagai seorang ahli politik. Kemahiran yang
telah saya pelajari di sekolah kejuruteraan, terutamanya kemahiran analitik
terhadap nombor dan angka juga termasuk kemahiran komprehensif, telah membantu
saya untuk memahami, melihat dan menganalisis polisi-polisi serta mempraktis
politik secara berbeza. Saya mempunyai ramai kawan yang juga mempelajari
Kejuruteraan Kimia dan kini sedang bekerja sebagai jurubank pelaburan,
konsultan, peniaga dan lain-lain, di mana tidak mempunyai kaitan dengan bidang
kejuruteraan.
Perkara yang penting bagi institusi pengajian tinggi adalah
kemahiran yang diperolehi mestilah boleh digunakan pada bidang yang
berbeza-beza. Oleh itu, pada zaman yang bergerak pantas ini, melengkapkan para
pelajar dengan kemahiran boleh pindah (transferable skills) seharusnya
dijadikan sebagai salah satu keutamaan oleh institusi pengajian tinggi ataupun
program-program peningkatan kemahiran oleh kerajaan (government reskilling
programs).
Ketiga, anak muda sepatutnya diperkasakan untuk menceburi
bidang keusahawanan. Hanya 2% daripada para graduan dalam negara yang sedang
menjalankan perniagaan sendiri selepas tamat pengajian, salah satu peratus
yang paling rendah berbanding dengan negara-negara serantau. Perusahaan kecil
dan sederhana telah mewujudkan lebih daripada 70% pekerjaan di
Malaysia; lebih banyak pekerjaan boleh diwujudkan bagi anak muda apabila anak
muda yang lain memulakan perniagaan mereka sendiri. Oleh itu, kita seharusnya
mempunyai program insentif khas bagi golongan usahawan anak muda. Kita perlu
memanfaatkan kreativiti dan tenaga generasi muda dalam bidang keusahawan untuk
kebaikan ekonomi.