Sabtu, 24 Mac 2018

Bayangan Malaysia Baru Bab 5: Pendidikan ke Arah Masa Depan yang Lebih Baik


BAB 5

PENDIDIKAN KE ARAH MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK

“Education is the most powerful weapon you can use to change the world.” 

                                                                                                                       – Nelson Mandela 

Semasa saya masih remaja, saya sering bertanya kepada bapa saya mengapa kita tidak boleh menikmati kehidupan baik yang sama dengan sepupu saya (orang tuanya jauh lebih kaya berbanding keluarga kita), bapa saya selalunya akan membalas dengan, “Belajar bersungguh-sungguh Bee Yin, pendidikan akan mengubah nasib perjalanan hidup kamu”. 

Memang benar, pendidikan telah mengubah nasib hidup saya serta adik beradik dan rakan sepermainan saya yang membesar bersama di Batu Anam, satu desa kecil di Segamat, Johor. Pendidikan telah membuka banyak ruang dan kemungkinan yang sukar dibayangkan oleh kami sebagai anak-anak dari sebuah desa yang kecil. 

Seperti ramai yang selatarbelakang dengan saya, sukar bagi saya untuk berbahasa Inggeris sebelum zaman universiti. Semasa cuti sekolah, apabila bapa saya ingin membawa kami ke KL untuk melawat adik-beradiknya, saya selalu teruja dengan lawatan itu. Namun pada masa yang sama, saya berasa takut kerana penduduk di KL selalunya berbahasa Inggeris. Setiap kali mereka berbahasa Inggeris dengan saya, saya akan berasa malu apabila saya tidak mampu membalas perbualan tersebut. Saya tidak pernah bayangkan dua puluh tahun kemudian, saya akhirnya menjadi seorang penggubal undang-undang, dimana konsitituensi saya adalah salah satu konstituensi bilangan jumlah kecil di Malaysia yang mempunyai komuniti berbahasa Inggeris yang agak luas.


Berhampiran dengan pusat khidmat saya di Damansara Uptown Petaling Jaya, saya mempunyai seorang rakan sepermainan sejak kecil yang bernama Lam Jia Chuen, di mana bapanya menjual pau di kopitiam semasa zaman kanak-kanak kami. Namun kini, beliau mempunyai firma guaman sendiri yang kian berkembang pesat. Kembali ke zaman lampau, saya masih ingat pada suatu petang, kami berdua sedang duduk di meja berdekatan dengan ruang kereta rumah saya selepas peperiksaan SPMnya, untuk berbincang sama ada dia sepatutnya mengejar impiannya sejak kecil dalam bidang guaman. Jia Chuen juga sukar untuk berbahasa Inggeris. Amat mengagumkan apabila saya dapat melihat anak seorang penjual pau, Jia Chuen akhirnya dapat merealisasikan impiannya sejak kecil.

Kisah-kisah seperti ini adalah sangat biasa bagi generasi saya dan sebelumnya. Saya pasti anda sendiri boleh terfikir beberapa contoh yang sama, malah, mungkin hidup anda merupakan salah satu contoh daripadanya. Walaupun kita tidak kaya, ramai di antara kita mampu menikmati hidup yang lebih baik berbanding dengan generasi orang tua kita.

Ini boleh terjadi disebabkan oleh pendidikan awam yang tersedia untuk kita semasa kita di zaman persekolahan dan juga disebabkan oleh para guru serta para mentor yang bagus dan sentiasa menolong kita pada ketika itu. Pendidikan mampu untuk mengubah dan meningkatkan kualiti kehidupan, malah kadang-kadang dapat melebihi jangkauan pemikiran kita.

Pendidikan bukan sahaja penting pada tahap individu, malahan, ia merupakan salah satu faktor penentu kejayaan sesebuah negara, dimana pendidikan mampu menyediakan generasi seterusnya untuk mendorong roda ekonomi dan pembangunan negara. Satu negara yang bebas, demokratik, membangun dan makmur setentunya memerlukan pemimpin dan tenaga kerja yang dinamik dan berpendidikan.

Oleh kerana didikan dan asuhan keluarga saya, pendidikan telah menjadi satu isu polisi yang begitu dekat di hati saya. Saya begitu ingin melihat setiap anak-anak di Malaysia mampu mempunyai peluang yang sama rata bagi mencapai impian serta cita-cita mereka dengan sepenuhnya tanpa perlu mengira bangsa, agama, geografi dan latar belakang keluarga.

Pada bahagian buku ini, saya ingin berbicara isu berkaitan tentang pendidikan yang pada saya, amat mustahak – pertama sekali, peningkatan ketidaksamaan dalam akses kepada pendidikan yang berkualiti; kedua, dua faktor yang paling penting dalam reformasi pendidikan; dan yang ketiga, pendidikan dan masa depan bagi pekerjaan-pekerjaan kita.

Kerajaan pusat telah menghabiskan RM 20 juta bagi komisen firma perunding McKinsey untuk menghasilkan Blueprint Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (bagi prasekolah hingga menengah) dan Cetak Biru Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 -2025 (bagi pengajian tinggi). Walaupun saya tidak yakin perkhidmatan perunding sebegini adalah berbaloi dengan harga yang dibayar, sesetengah penemuaan dan cadangan oleh cetak biru itu adalah masih berfaedah untuk penilaian kita, dan akan dirujuk dalam perbincangan seterusnya.  


Pendidikan awam dan ketidaksamarataan

Dunia ini memang tidak adil.

Dengan kelahiran yang rawak, sesetengah dari kita mungkin bertuah untuk mempunyai titik permulaan yang lebih baik berbanding yang lain. Anak-anak lelaki yang lahir sebagai anak kepada para nelayan tradisional di Tanjung Karang setentunya tidak akan memperolehi asuhan atau didikan yang sama seperti anak-anak lelaki yang lahir sebagai anak kepada para jurutera atau para peguam yang tinggal di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Anak-anak perempuan kepada para pekerja kolar biru, yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di bandar, tidak akan menikmati persekitaran pembelajaran yang sama seperti anak-anak perempuan kepada para pekerja kolar putih, yang tinggal di dalam kondominium, rumah-rumah teres dan rumah-rumah banglo di bandar. 

Pendidikan awam yang bagus adalah satu mata penyamaan yang hebat bagi menyediakan lebih banyak peluang yang sama rata untuk semua anak-anak kita, tidak kira daripada keluarga yang berada ataupun tidak. Pendidikan awam boleh menjadikan dunia yang tidak adil ini, lebih adil.

Taraf pendidikan awam di Malaysia

Walau bagaimanapun, sistem pendidikan awam kita bukan dalam keadaan yang baik.

Malaysia secara berterusan telah berada di tangga satu pertiga paling bawah bagi Program Penilaian Pelajar Internasional (Program for International Student Assessment, PISA), satu penilaian yang diselenggarakan tiga-tahunan terhadap remaja berumur 15 tahun, dalam matematik, pembacaan dan sains. Malaysia telah menyertai PISA sejak tahun 2009 dan kita telah memperolehi skor bawah purata global sejak mula, dan berkedudukan 55 daripada 74 negara pada tahun 2009 dan berkedudukan 52 daripada 65 negara pada tahun 2012.

Dan apabila kita sangka kita hampir mencapai sedikit kemajuan pada tahun 2015, apabila kita mencapai skor 446 dalam matematik, 431 dalam pembacaan dan 443 dalam sains berbanding dengan 421, 398 dan 420 masing-masing pada tahun 2012, PISA mengumumkan bahawa mereka tidak mengiktiraf keputusan tersebut kerana kadar data maklumbalas Malaysia tidak menepati piawaian PISA iaitu 85%. Kita hanya mencapai 51%. Akibatnya, Malaysia telah menjadi satu-satunya negara di antara 72 negara-negara lain yang telah mengambil bahagian dalam PISA tetapi digugurkan daripada kedudukan rasmi.

Ini jelas menunjukkan hampir semua sekolah-sekolah yang menyertai PISA adalah terdiri daripada sekolah-sekolah yang berprestasi tinggi sahaja, dan ini menimbulkan kesangsian bahawa kerajaan Malaysia cuba menggunakan helah bagi memperolehi skor PISA yang lebih tinggi. Lebih menghibakan, dengan hasil keputusan palsu sebegini, kita masih tertinggal di belakang berbanding dengan skor purata global iaitu 490 dalam matematik, 493 dalam pembacaan dan sains.  

Bagaimanakah kita mahu menjadi satu negara yang membangun jika kebanyakan anak-anak kita belajar di bawah satu sistem pendidikan yang berkedudukan paling bawah di tahap antarabangsa dan kerajaan kita pula sanggup menipu untuk memaparkan seolah-olah adanya kemajuan dalam situasi ini.

Anda mungkin merasakan tidak adil untuk membandingkan skor PISA kita dengan negara-negara yang lain kerana kita masih tergolong dalam negara yang sedang membangun. Mengikut trend antarabangsa, skor PISA sesebuah negara adalah berkait secara positif kepada KDNK per kapita, di mana negara-negara yang mempunyai KDNK per kapita yang tinggi akan mencapai  skor PISA yang lebih tinggi. Gambar rajah di bawah jelas menunjukkan Malaysia terkeluar jauh daripada garisan normal pada korelasi positif ini. Prestasi kita jauh lebih teruk berbanding dengan tahap KDNK per kapita kita.

Ini menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan ibubapa apabila mereka risau yang generasi muda kita mungkin tidak dapat menandingi rakan sejawatan mereka daripada negara-negara lain dalam segi daya saing. Akibatnya, kita menyaksikan peningkatan dalam kalangan ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta, malah semakin bertambah bak cendawan tumbuh selepas hujan di bandar-bandar Malaysia.

Samasa zaman persekolahan saya, semua kanak-kanak di kota saya akan dihantar ke sekolah kebangsaan yang sama, termasuklah mereka yang berasal daripada keluarga kaya-raya (kecuali sesetengah kanak-kanak yang terlampau kaya). Begitu juga dengan generasi sebelum saya.  Pernah ada sekali seseorang memberitahu saya yang dia pernah pergi ke sekolah yang sama dengan salah satu ahli politik veteran Gerakan yang membesar sebagai anak orang kaya. Dia bergurau bahawa semua pelajar-pelajar ketika itu berjalan kaki, namun ahli politik veteran itu dihantar menggunakan kereta. Walaupun ini seolah-olah tidak adil kerana kekayaan keluarga ahli politik veteran itu, namun sekolah kebangsaan pada masa itu masih boleh berfungsi sebagai penyamaan peluang bagi setiap insan.

Namun kini, walaupun ibubapa hanyalah dari golongan kelas pertengahan, mereka turut menghantar anak-anak mereka ke institusi pendidikan swasta. Sesetengah daripada keluarga ini terpaksa mengubah gaya hidup mereka supaya mampu berbuat demikian. Bagi ibubapa yang tidak mampu menanggung pendidikan swasta, mereka sanggup mengikat perut supaya sekurang-kurangnya mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas pusat tuisyen swasta. 

Semakin ramai ibubapa yang mengambil keputusan bagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa. Sebagai satu negara berpendapatan tengah, sekolah antarabangsa Malaysia sebenarnya menduduki tempat ke-8 sebagai sekolah antarabangsa paling mahal di seluruh dunia mengikut kajian Expat Finder! Walaupun dengan harga yang sedemikian mahal, bilangan sekolah antarabangsa tetap meningkat dengan pesat pada kadar pertumbuhan lebih daripada 20% setahun.

Dalam sejarah Malaysia buat pertama kalinya, anak-anak kita telah dipisahkan mengikut kelas sosial.

Siapakah yang akan paling terkesan?

Apabila pendidikan awam kita mencapai tahap yang baik, setiap orang akan menderita. Tetapi, golongan yang paling terkesan dengan perkara ini adalah anak-anak nelayan tradisional, para petani, para penanam, para pekerja kilang, para juruwang, para pembersih, para pedagang kecil, para penjawat awam berpangkat rendah dan semua yang hidup dalam lingkungan gaji minimum. Ibubapa anak-anak ini tidak mampu membayar lebih selain daripada menghantar mereka ke sekolah-sekolah biasa. Malah, ada yang terpaksa berhutang setiap kali apabila sekolah dibuka. 

Tambahan pula, di antara mereka yang telah menyertai pendidikan awam, juga terdapatnya ketidaksamarataan dalam memperolehi akses kepada pendidikan yang baik di antara kalangan pelajar-pelajar daripada kelas sosial yang berbeza. Biarlah saya menunjukkan buktinya. Gambar rajah di bawah merupakan graf yang menunjukkan pengagihan sekolah-sekolah berdasarkan prestasi di mana Band 1 merupakan sekolah berprestasi tertinggi dan Band 7 merupakan sekolah berprestasi terbawah. Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) merupakan bantuan dana yang diberikan kepada para pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.


Kita dapat melihat di sini bahawa para pelajar miskin, iaitu mereka yang menerima KWAPM, lebih kerap akan diletakkan untuk menghadiri sekolah berprestasi rendah – hanya 7% sahaja sekolah daripada Band 1 dan 2 yang mempunyai lebih dari dua per tiga populasi pelajar yang menerima KWAPM, berbanding dengan 19% secara purata daripada sekolah yang tergolong dalam Band 3, 4 dan 5 serta 52% sekolah berprestasi rendah daripada Band 6 dan 7. Situasi ketidaksamarataan ini lebih serius dalam kalangan anak-anak orang asli, di mana saya akan terangkan di bab yang akan datang di dalam buku ini. 
Jadi apakah kesannya pada anak-anak yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, yang lebih berkemungkinan untuk mendaftarkan diri ke sekolah berprestasi rendah, dan ibubapa anak-anak ini tidak mampu untuk menghantar mereka ke pusat tuisyen? Jawapannya adalah keciciran. Instituti Demokrasi dan Hah Ehwal Ekonomi (IDEAS) mendapati bahawa 90% daripada anak-anak yang tercicir dari sekolah adalah berasal daripada keluarga golongan berpendapatan 40% terbawah mengikut taburan peratus pendapatan.
Ramai berpendapat bahawa para pelajar miskin yang tercicir dari sekolah adalah kerana mereka sendiri tidak suka untuk belajar ataupun ibubapa mereka tidak mahu mereka ke sekolah; ini merupakan satu kesimpulan umum yang tidak adil.
Pada akhir tahun 2013, saya telah memulakan satu pusat tuisyen percuma di Damansara Bistari, satu rumah pangsa kos rendah di bawah konstituensi saya, bagi menyediakan peluang tuisyen percuma untuk anak-anak yang ibubapa mereka tidak mampu menghantar mereka ke pusat tuisyen swasta. Apabila saya memulakan projek pusat tuisyen ini bersama-sama dengan 15 cikgu-cikgu sukarelawan pada tahun 2013, saya tidak pasti berapa lama projek ini mampu berjalan, ataupun meninggalkan sebarang keberkesanan. Adakah para pelajar ini akan hadir secara konsisten? Adakah ibubapa mereka akan menghantar mereka ke sini? Dan paling penting, adakah projek ini benar-benar dapat membantu pelajar-pelajar ini? 
Kini, berdasarkan pengalaman saya hampir empat tahun, saya yakin ini merupakan strategi yang berkesan dan yang paling penting, dengan cikgu-cikgu yang bersemangat, anak-anak ini akan hadir ke kelas, meningkatkan prestasi mereka, malah ada yang boleh mencapai keputusan yang sangat bagus.

Saya telah mengupah seorang penyelaras bernama Loyis Uding, untuk menyelaraskan inisiatif pusat tuisyen percuma ini sebaik sahaja projek ini dijalankan. Dengan bantuannya untuk menyelaraskan cikgu-cikgu sukarelawan dan para pelajar, projek tuisyen percuma berjaya menjalankan lebih daripada 20 kelas setiap minggu. Kita mempunyai kelas daripada Darjah 1 sehinggalah Tingkatan 5 bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik (dan Sains bagi kelas yang berperingkat lebih tinggi).


Program tuisyen percuma kami untuk murid-murid dari keluarga berpendapatan rendah.

Kadang-kadang Loyis juga akan menganjurkan program-program bukan akademik seperti lawatan ke zoo dan pusat sains, dan tujuan program-program ini adalah supaya kita boleh mengekalkan minat dan memotivasikan para pelajar ini supaya menghadirkan diri di dalam kelas. Sebulan sebelum UPSR setiap tahun, Loyis akan mengaturkan kelas intensif bagi pelajar-pelajar Darjah 6. Bagi pelajar-pelajar yang mencapai lebih daripada 90% kehadiran ke kelas, mereka berpeluang untuk pergi ke Sunway Lagoon selepas UPSR, ditaja sepenuhnya oleh pusat khidmat saya. 


Loyis Uding (pertama dari kiri) dan guru sukarelawan Carissa (keempat dari kanan) dengan 
pelajar di Sunway Lagoon selepas menamatkan peperiksaan UPSR mereka.


Anda mungkin terkejut untuk mengetahui lawatan ke Sunway Lagoon yang disertai oleh cikgu-cikgu yang bersemangat ini, sebenarnya boleh memberikan dorongan motivasi kepada pelajar-pelajar UPSR untuk hadir ke kelas dan bekerja keras kerana adanya sesetengah cikgu yang sanggup melakukan segala-galanya bagi membantu pelajar-pelajar ini mencapai keputusan yang cermerlang dalam pelajaran mereka.

Beratus-ratus pelajar berjaya memperoleh manfaat daripada projek tuisyen percuma ini sejak ianya dimulakan. Sehingga hari ini, walaupun projek ini telah hampir berjalan selama empat tahun, masih ada ibubapa yang datang kepada saya semasa di sesetengah acara majlis komuniti dan berterima kasih kepada pusat khidmat kami untuk inisiatif ini. Tiada apa yang boleh memberikan saya lebih kepuasan berbanding melihat perubahan hidup yang berlaku kerana sumbangan kecil seperti ini yang telah kita lakukan.

Walaubagaimanapun, tidak cukup jika kita hanya membawa perubahan hidup kepada sekumpulan kecil manusia sahaja. Kita memerlukan perubahan polisi di peringkat nasional supaya anak-anak kita daripada pelbagai latar belakang mampu untuk mendapat akses kepada pendidikan yang bagus dari sekolah yang mereka hadiri.

Mungkin juga, anda tergolong daripada keluarga kelas menengah ataupun kelas atas dan tertanya-tanya mengapa anda perlu mengambil berat tentang ketidaksamarataan dalam akses kepada pendidikan yang bagus untuk kanak-kanak yang berasal daripada piramid bawah. Lagipun, anda mampu untuk membayar kelas tuisyen dan pendidikan swasta untuk anak-anak anda.

Selain daripada ketidakadilan, jawapan yang praktikal adalah ketidaksamarataan adalah buruk dan ia akan mengakibatkan kesan negatif, bukan sahaja terhadap orang miskin, tetapi terhadap semua orang, sebagai contoh, ketidakstabilan sosial dan ekonomi yang lebih buruk.

Kolam bakat merupakan sebahagian besar daripada ekonomi yang maju. Apabila pasaran kerja dipenuhi oleh orang yang mempunyai latar belakang pendidikan yang bagus dan telah terlatih dengan baik, maka ekonomi kita akan berkembang disebabkan oleh produktiviti pekerja yang lebih tinggi. Dan mungkin nanti akan terlahirnya anak lelaki atau anak perempuan yang berasal dari keluarga di lapisan bawah piramid tetapi mampu mengikut jejak kaki Jack Ma, seterusnya menghasilkan beratus ribu pekerjaan untuk negara, hasil daripada pengembaraan keusahawanan mereka? 

Pendidikan asas membolehkan seseorang yang miskin menjadi kaya dari segi tahap individual, juga membawa produktiviti pekerja yang lebih tinggi dan mewujudkan pekerjaan-pekerjaan di tahap makro. Bila adanya pendidikan awam yang bagus, semua pihak akan mendapat manfaat, tanpa mengira sama ada mereka adalah pemanfaat utama daripada pendidikan awam ataupun tidak.

Oleh itu, reformasi pendidikan perlu diletakkan sebagai senarai teratas dalam agenda pembangunan negara kita.


Reformasi pendidikan

Dengan pilihan raya yang kian hampir, haruskah kita mengeluarkan satu lagi cetak biru pendidikan jika berlakunya pertukaran kerajaan? Sama sekali tidak. Kerajaan Malaysia tidak kekurangan laporan konsultan, cetak biru, dan pelan induk. Apa yang kita kekurangan adalah kehendak kita bagi melaksanakannya secara cekap dan bijak.

Apalagi, RM 20 juta yang telah kita habiskan pada cetak biru pendidikan itu juga satu kos tenggelam. Malah tidak mungkin ada pelan yang sempurna untuk diikuti, oleh itu kita sepatutnya melaksanakan apa-apa cadangan yang munasabah, belajar daripada apa-apa kesilapan sekiranya ada, dan membuat pembetulan dan perubahan terhadap kesilapan-kesilapan tersebut.

Sekumpulan daripada kami telah melawat Datuk Bandar Taipei, Profesor Ko Wen-Je, di pejabatnya pada akhir tahun 2015. (Beliau merupakan calon bebas pertama dalam sejarah Taipei yang telah memenangi pilihan raya datuk bandar.) Salah satu pemikiran yang dikongsikan oleh Profesor Ko kepada kami telah memberikan inspirasi terhadap saya. Beliau mengatakan kerajaan pada hari ini tidak boleh mengambil masa terlalu lama untuk merancang sesuatu kerana dunia kini sedang bergerak dengan pantas dan jikalau kita hendak menunggu sesebuah pelan yang “sempurna”, sesetengah pelan tindakan mungkin telah pun ketinggalan zaman.


Bersama Datuk Bandar Taipei, Profesor Ko-Wen-Je, di pejabatnya.


Profesor Ko bukan satu-satunya yang mempunyai pemikiran sebegitu. Klaus Schwab, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia, dengan ringkasnya menjelaskan pemikiran beliau dengan kata-kata berikut, “Dalam dunia baru ini, sudah bukannya ikan besar yang memakan ikan kecil, tetapi ikan yang pantas memakan ikan yang perlahan.”

Oleh itu, untuk reformasi pendidikan, kita seharusnya terus melaksanakan terlebih dahulu apa cadangan-cadangan yang telah disarankan dalam cetak biru tersebut. Pada pendapat saya, dua langkah yang paling penting bagi reformasi pendidikan adalah: pertamanya, memaksimumkan hasil pelajar daripada setiap ringgit yang telah diperolehi daripada pembayar cukai dan keduanya, memperbaharui pembangunan sumber manusia dalam pendidikan, iaitu guru-guru, pengetua sekolah, pemimpin-pemipin dll. Saya akan terangkan dengan lebih terperinci di sini.

Maksimumkan hasil pelajar untuk setiap ringgit yang telah digunakan

Kedua-dua cetak biru pendidikan telah membuktikan bahawa kita mendapat pulangan yang rendah untuk pelaburan dalam pendidikan di Malaysia berbanding dengan negara-negara lain. Perbelanjaan yang lebih tinggi di Malaysia telah diterjemahkan kepada akses yang lebih mudah di pendidikan rendah dan menengah tetapi bukannya dari segi kualiti di Malaysia.
Mengikut data Bank Negara, perbelanjaan kerajaan Malaysia pada pendidikan asas, dari prasekolah sehinggalah sekolah menengah, dari peratusan KDNK adalah antara yang paling tinggi dalam negara ASEAN dan Empat Harimau Asia – Korea Selatan, Hong Kong, Jepun dan China.
Dengan tahap perbelanjaan sebegitu, pendidikan Malaysia sepatutnya mampu melahirkan hasil para pelajar yang lebih baik (disukat melalui skor PISA) mengikut penandaan aras antarabangsa. Apabila dibandingkan prestasi PISA mengikut negara-negara yang berbeza terhadap perbelanjaan pendidikan mereka bagi setiap pelajar, keputusan telah menunjukkan bahawa pendidikan Malaysia tergolongan pada kumpulan yang berprestasi lemah.

Pada tahap perbelanjaan yang sama bagi setiap pelajar (USD, 2,000 – 3,000 bagi setiap pelajar), pendidikan Malaysia adalah di bawah prestasi berbanding dengan Iran, Chile, Romania dan Mexico. Prestasi kita juga ketinggalan berbanding dengan negara-negara yang mempunyai perbelanjaan yang lebih rendah bagi setiap pelajar berbanding dengan perbelanjaan kita seperti Armenia, Syria, Turki, Thailand, Uruguay, Algeria dan Mauritus. Kesemuaaan negara-negara ini merupakan negara-negara membangun yang mempunyai cabaran-cabaran dalam penyediaan pendidikan awam yang sama seperti kita. Oleh itu, kita tidak membunyai sebarang alasan apabila tidak mampu mencapai prestasi yang sama seperti negara-negara lain dari segi melahirkan hasil para pelajar yang baik, apabila kita melihat jumlah peruntukan yang telah kita belanjakan. 
Bukan sahaja pendidikan asas di Malaysia menunjukkan pulangan pelaburan rendah, pendidikan tahap tinggi juga menunjukkan trend yang sama. Di Malaysia, hasil daripada pelaburan terhadap pendidikan tinggi adalah jauh lebih rendah berbanding daripada apa yang sepatutnya kita jangkakan berbanding dengan trend antarabangsa.
Apabila kita berbicara tentang reformasi pendidikan, kita boleh mencadangkan perubahan dari pelbagai aspek. Bagaimanapun, jika kita tidak menyelesaikan isu dana dengan mencipta satu mekanisme yang mampu mengukur hasil pendidikan berbanding dengan pelaburan, dan juga memastikan akan adanya satu struktur kukuh yang mampu menjamin akauntabiliti kementerian pendidikan, reformasi pendidikan akan mengakibatkan pembayar cukai untuk membayar lebih banyak daripada apa yang sepatutnya. Pada masa yang sama, kita juga akan menerima hasil pendidikan yang kurang memuaskan ataupun, lebih malang, tanpa sebarang hasil positif.
Kesimpulannya, kita perlu meningkatkan pulangan pelaburan terhadap pendidikan. Kita perlu memaksimumkan setiap ringgit yang dibayar oleh pembayar cukai bagi mempertingkatkan hasil pelajar, sekurang-kurangnya kepada satu tahap di mana kita mampu membandingkan diri kita dengan rakan antarabangsa yang memperuntukkan dana yang sama dalam laburan pendidikan.
Cipta semula pembangunan sumber manusia
Pendidikan bukan sahaja mendidik, malah ia memupuk, memberikan inspirasi dan membolehkan generasi seterusnya untuk mencari pengetahuan baru. Sistem pendidikan merupakan satu sistem yang dicipta bagi menghubungkan para pendidik kepada para pelajar. Secara keseluruhannya, pendidikan adalah berkaitan dengan insan, ianya adalah mengenai pengajaran melalui satu insan ke insan yang lain.
Cetak Biru Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (bagi prasekolah hingga menengah) telah mengenal pasti kualiti para guru sebagai penentu keputusan pelajar yang paling penting di dalam sekolah. Ia dipetik daripada penyelidikan yang telah dijalankan di Tennessee, USA pada pertengahan tahun 1990-an, yang menunjukkan bahawa apabila 2 orang pelajar biasa yang berumur 8 tahun masing-masing ditugaskan kepada seorang guru yang berprestasi tinggi dan seorang kepada guru yang berprestasi rendah. Kesimpulan menunjukkan performasi akademik antara kedua-dua pelajar ini mempunyai perbezaan yang ketara, malah boleh mencapai skala perbezaan sebanyak 50 peratus sepanjang tempoh 3 tahun. Cetak Biru itu juga telah menyentuh satu penyelidikan di mana ia menunjukkan kualiti para pengetua sekolah boleh membawa impak kepada pencapaian seseorang pelajar di sekolah – di mana lebih bagus kualiti seseorang pemimpin sekolah, maka lebih baguslah performasi sekolah tersebut dan di mana jika kita menggantikan seorang pengetua biasa dengan seorang pengetua yang cemerlang, pencapaian pelajar boleh dipertingkatkan sebanyak 20 peratus. Kita sedang berbincang tentang perubahan besar terhadap hasil pelajar di sini. Oleh itu, merekrut dan memupuk para pengajar yang baik sepatutnya menjadi fokus untuk kita dalam reformasi pendidikan.
Ini bukan sekadar fakta lunak, dan saya boleh buktikan kebenaran statistik-statistik di atas berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri.
Semasa saya berumur 7 tahun, orang tua saya telah mendaftarkan diri saya sebagai seorang pelajar di SRJK (C) Seg Hwa, salah satu sekolah yang paling terkemuka di Segamat. Walaubagaimanapun, saya mula menjadi seorang pelajar yang bermasalah selepas ditakutkan oleh salah satu cikgu di situ. Saya mula merasakan fobia untuk hadir ke sekolah dan seterusnya mula berbohong kepada orang tua saya mengatakan bahawa saya selalu sakit dengan tujuan untuk menjauhi diri saya daripada sekolah. Kebanyakan masanya, saya akan menggunakan sakit perut sebagai alasan utama kerana tidak perlu ada sebarang penunjuk untuk alasan itu. Kadangkala, saya akan mengejar bas sekolah daripada belakang selepas pemandu bas itu memaksa saya untuk turun di sekolah. Sering kali, pembantu bas itu terpaksa berhenti, kerana perbuatan saya yang mengejar bas di atas jalan ini amat bahaya untuk seorang budak yang baru berumur 7 tahun.
Siri drama “ponteng” saya membawa begitu banyak memori sehingga 2 rakan sekelas saya semasa Darjah 1 masih boleh mengingati perkara itu bertahun-tahun selepas itu, apabila kami bertemu kembali sebagai rakan sekelas menengah di SMK Seg Hwa.
Kerana masalah-masalah saya pada tahun pertama di sekolah rendah, yang saya hadir kurang separuh daripada jumlah hari sekolah, bapa saya telah mengambil keputusan untuk memindah saya kembali ke SRJK(C) Hwa Nan, sekolah yang sangat dekat dengan rumah saya di Batu Anam, dan saya boleh berjalan kaki ke situ. Tetapi, sekolah itu bukanlah satu sekolah yang berkedudukan baik berbanding dengan sekolah-sekolah lain di Segamat.
Pada tahun pertama di Hwa Nan, guru kelas saya telah banyak membantu saya untuk membina semula keyakinan saya melalui pembelajaran. Saya tidak lagi memonteng kelas. Dan pada tahun seterusnya, sekolah kami telah dihadiri oleh seorang pengetua sekolah baru yang bersemangat untuk mempertingkatkan prestasi sekolah. Visi beliau dibantu oleh empat orang guru baru yang turut bersemangat dan memegang ijazah sarjana muda. (Ia merupakan satu perkara yang besar bagi sekolah kampung seperti Hwa Nan kerana jarang menerima sebegitu banyak guru-guru baru yang berpendidikan ijazah serjana muda.) Keempat-empat guru baru ini telah menggunakan cara-cara pembelajaran yang baru; mereka tegas namun sangat mengambil berat tentang pelajar-pelajar di sekolah; mereka selalu menceritakan kisah-kisah yang jarang didengari oleh budak-budak kampung seperti kami.
Oleh itu, semakin hari kedudukan prestasi pelajar di SRJK (C) Hwa Nan semakin meningkat semasa zaman pembelajaran saya di sana.  Selepas saya menghabiskan darjah enam di situ, sekolah itu telah berkedudukan tempat ke-5 ataupun ke-6 di Segamat, prestasi yang jauh lebih baik berbanding dengan permulaannya. Transformasi sekolah kampung ini telah mengubah sikap saya terhadap pendidikan, dan juga kehidupan saya.
Setiap kali apabila saya mengimbas kembali memori saya di zaman kanak-kanak, saya tidak henti bersyukur betapa bertuahnya saya sebagai seorang kanak-kanak yang ada pada tempat yang betul pada masa yang betul, di mana saya bertuah menerima didikan daripada guru-guru dan pengetua sekolah yang begitu bagus, walaupun sekolah itu bukanlah pilihan pertama orang tua saya. Saya tidak dapat bayangkan nasib saya jika saya masih ponteng kelas pada sekolah yang sama, ataupun jika pada masa itu saya ditukarkan ke sebuah sekolah lain yang tidak mempunyai guru-guru bagus yang mampu membimbing serta memotivasikan diri saya untuk belajar. 
Pendidikan memainkan satu peranan yang besar dalam perjalanan peribadi saya. Ini jugalah sebabnya mengapa saya ingin melihat setiap kanak-kanak di Malaysia untuk mampu menerima pendidikan yang baik.
Tiada jalan mudah untuk merealisasikan impian ini. Kita seharusnya mengubah cara kita mengupah, melatih, membangun serta memperkasakan guru-guru dan pengetua-pengetua sekolah. Kita harus memperbaharui pembangunan pengurusan sumber manusia dalam kementerian pendidikan.
Sebelum kita bergerak lebih jauh, pertama sekali saya harapkan kita boleh memberikan perhatian terhadap dua aspek ini terlebih dahulu: saiz bilik darjah dan kualiti para guru kita.
Saiz bilik darjah
Saiz bilik darjah menentukan berapa banyak masa dan perhatian yang perlu diberikan oleh seorang guru kepada seseorang pelajar dan bagaimana pelajar-pelajar di dalam kelas berinteraksi sesama sendiri. Dengan tenaga kerja guru yang begitu besar, iaitu seramai 410,000 para guru, Malaysia mempunyai ratio pelajar-ke-guru iaitu 13: 1. Ratio ini merupakan antara ratio yang paling rendah di dunia, malah lebih rendah berbanding dengan Singapura (16:1), Korea Selatan (20:1) dan purata OECD (16:1).
Malaysia tidak mempunyai masalah kekurangan guru, namun begitu, kita mempunyai masalah dengan cara pengendalian tenaga kerja yang sedia ada.  Walaupun jumlah waktu kerja para guru masih panjang, perkadaran para guru di Malaysia yang menghabiskan masa untuk mengajar di dalam kelas (tidak termasuk persediaan pembelajaran dan aktivit-aktiviti sekolah yang lain) adalah sangat rendah – antara 2.4 sehingga 2.9 jam setiap hari, satu jumlah yang jauh lebih rendah, sebanyak 40% berbanding dengan purata OECD.
Di Malaysia, guru-guru kita kadangkala harus membazirkan 15% sehingga 30 % daripada masa kerja mereka untuk mengendalikan tugas-tugas pentadbiran seperti menyiapkan laporan, mengisi borang dan sebagainya, daripada mengajar di dalam kelas ataupun menjalankan aktiviti-aktiviti dengan pelajar-pelajar mereka. Prosedur birokrasi yang tidak penting ini hanya akan mengalihkan perhatian para guru daripada tugas sebenar mereka iaitu - mendidik generasi masa hadapan kita.
Walaupun Malaysia mempunyai nisbah pelajar-kepada-guru yang lebih rendah berbanding dengan purata OECD, namun kerana tugas-tugas pentadbiran yang telah memakan masa para guru kita, purata saiz bilik darjah kita sebenarnya lebih tinggi berbanding dengan purata OECD iaitu 22 pelajar satu kelas.
Jika Malaysia benar-benar mahu mendapatkan manfaat melalui nisbah pelajar-kepada-guru yang rendah, kita harus meletakkan usaha dalam mengurangkan birokrasi dalam sistem laporan guru-guru kita, dan juga kerja-kerja pentadibiran mereka. Para guru sepatutnya dinilai berdasarkan prestasi mendidik mereka seperti hasil dan keputusan pelajar-pelajar mereka dan bukannya berdasarkan prestasi mereka menjalani tugas-tugas pentadbiran seperti betapa baiknya laporan yang dihasilkan oleh mereka.
Dan walaupun saiz bilik darjah adalah penting, dengan jumlah sumber awam yang sedia ada, kita faham perlu adanya keseimbangan di antara berapa para guru yang mampu kita upah dan jumlah gaji yang seharusnya kita bayar kepada para guru ini, kerana semakin tingginya kualiti para guru tersebut, bermakna kita perlukan gaji yang lebih tinggi untuk mengupah dan mengekalkan mereka.
Pembuat dasar di seluruh dunia telah berdebat untuk sekian lamanya bagi mencari keseimbangan di antara dua perkara ini. Menurut laporan OECD pada tahun 2012, mana-mana negara yang meletakkan prioriti yang lebih tinggi terhadap kualiti guru berbanding dengan saiz bilik darjah yang lebih kecil biasanya akan mempunyai prestasi yang lebih baik di PISA. Saya percaya Malaysia boleh mencapai prestasi yang baik dari segi saiz bilik darjah dengan hanya perlu mengurangkan waktu kerja bagi tugas-tugas pentadbiran oleh para guru, tanpa perlu meningkatkan jumlah bilangan para guru.
Semestinya, adalah paling idealistik jika kita diberi peluang untuk memiliki yang terbaik daripada kedua-dua segi, iaitu – kuantiti dan kualiti. Namun kita seharusnya meletakkan lebih banyak sumber bagi meningkatkan kualiti para guru, kerana banyak penyelidikan telah konsistennya membuktikan cara ini lebih efektif dalam meningkatkan hasil pelajar.
Kualiti para guru
Seterusnya, mari kita mendalami kualiti para guru.
Sejak beberapa tahun yang lepas, sudah lahirnya kebimbangan terhadap kelayakan akademik yang kurang baik daripada rekrut-rekrut baru dalam bidang pengajaran. Pada tahun 2010, sebanyak 70% para pelajar baru yang diterima dalam program sarjana muda pendidikan hanya mendapat 0 hingga 2 A dalam sijil SPM, manakala 19% telah mendapat 3 hingga 4 A, 8 % 5 hingga 6 A dan hanya 3% yang mendapat 7 hingga 12 A. Bayangkanlah situasi ini di mana anak-anak anda dididik oleh para guru yang turut tidak mempunyai prestasi akademik yang baik semasa di sekolah. 
Bagaimanapun, peningkatan dapat dilihat pada kemasukan di tahun 2012 – hanya 3% daripada para pelajar baru yang diterima ke dalam program sarjana muda pendidikan yang mendapat 2A (atau lebih kurang) dalam sijil SPM manakala 10% mendapat 3 hingga 4 A, 22% 5 hingga 6 A dan 65% mendapat 7 hingga 12 A.
Malaysia perlu meneruskan usaha bagi meningkatkan taraf piawaian bagi pelajar baru ke dalam program sarjana muda pendidikan. Pelajar bijak yang menjadi guru tidak seharusnya menjadi sesuatu yang baru pada kita. Beberapa guru yang pernah mengajar saya di SMK Seg Hwa merupakan rakan sekolah ibu saya dan menurutnya, mereka merupakan pelajar-pelajar pintar semasa masih di dalam sekolah.
Adalah selepas generasi orang tua saya, barulah profesion mengajar kelihatan semakin mendung. Kita seharusnya cuba menjadikan profesion mengajar ini popular kembali sebagai pilihan bagi pelajar-pelajar cemerlang. Saya mempunyai dua orang kawan Singapura dari Universiti Cambridge, dengan seorang memang ijazah sarjana dalam bidang perundangan dan seorang lagi dalam bidang ekonomi, masing-masing kini merupakan pengajar sekolah menengah di Singapura. Kita seharusnya bercita-cita untuk melakukan perkara yang sama di Malaysia. Kita seharusnya membudayakan supaya pelajar-pelajar cemerlang, bahkan graduan dari universiti elit, mengajar di dalam sekolah kebangsaan kita. 
Bagi menjayakannya, kita seharusnya mengkaji semula struktur gaji, pelan pembangunan kerjaya dan pelan promosi untuk guru-guru kita. Struktur pampasan dan promosi guru mestilah mengalakkan dan mampu memberikan insentif kepada guru-guru serta pemimpin-pemimpin sekolah supaya menghasilkan pelajar-pelajar pintar. Untuk guru-guru yang kurang berprestasi, kita seharusnya membentuk satu sistem sokongan seperti program melatih kemahiran semula dan sistem displin. 
Bayangkan satu generasi tenaga kerja baru dididik di sekolah kebangsaan dengan para guru serta pengetua sekolah yang berprestasi tinggi sepanjang zaman pembelajaran mereka. Saya yakin sepenuhnya bahawa mereka akan memberikan sumbangan yang tinggi kelak dalam ekonomi serta pembangunan sosial negara.

Pendidikan hari ini dan masa depan pekerjaan
Apakah sasaran utama dalam pendidikan? Walaupun terdapat banyak jawapan kepada soalan ini, namun saya percaya peranan yang paling penting dalam pendidikan adalah untuk menyediakan anak-anak kita satu masa hadapan tanpa mengira kaum, agama, geografi dan latar belakang keluarga. Secara idealistik, pendidikan menyediakan kemahiran kelak untuk generasi masa hadapan kita supaya kanak-kanak kita bukan sahaja mempunyai daya tahan, malah berkembang maju pada masa hadapan.

Persoalannya, apakah masa hadapan yang dapat kita bayangkan?

Dunia kini berubah dengan pantas. Kertas Perbincangan General Electric tahun 2014 bertajuk “Masa Hadapan Pekerjaan (The Future of Work)” menganggar sebanyak 65% kanak-kanak yang memasuki pendidikan rendah hari ini akan mempelopori pekerjaan baru kelak yang masih tidak wujud pada hari ini. McLeod, Scoot dan Karl Fisch menganggar dengan kadar perubahan teknologi terkini, hampir 50% pengetahuan dalam subjek yang dipelajari semasa tahun pertama dari empat tahun ijazah sarjana muda teknikal akan menjadi lapuk pada tahun ketiga dalam pembelajaran mereka.

Kecerdasan tiruan (AI), pembelajaran mesin, data besar, internet untuk segala, percetakan 3D, nanoteknologi dan lain-lain akan merevolusikan masa hadapan kita. Teknologi akan menggantikan kerja-kerja dengan keadaan yang tidak pernah ada sebelum ini. Pada tahun 2016, BBC melaporkan bahawa Foxconn, kilang iPhone di China telah mengautomasikan sebanyak 60,000 pekerjaan dalam salah satu kilang-kilangnya. Ini hanyalah fasa awal pelan automatik oleh syarikat gergasi dan Foxcoon adalah salah satu daripada pelbagai jenis syarikat yang menuju ke arah ini. 

Walaupun mesin mula mengganti buruh manusia sejak revolusi industri lagi, namun dengan bantuan pertumbuhan kuasa pengkomponen yang pesat bersama peningkatan kecerdasan tiruan dan pembelajaran mesin, telah melajukan kadar pengautomatan.

Kita haruslah bersedia untuk masa hadapan dimana robot bukan sahaja mengambil alih tugas pekerja kolar biru, malah dengan kemajuan kecerdasan tiruan, juga mampu mengambil alih pekerjaan kolar putih yang sebelum ini hanya boleh dilaksanakan oleh manusia. Sejak computer IBM yang diberi nama singkatan “Deep Blue” mengalahkan Juara Dunia Catur, Garry Kasparov, mesin walaupun dengan beransur tetapi pastinya dapat menewaskan manusia terpintar dalam permainan yang amat memerlukan intelek manusia termasuklah skrabel, othello, malah Jeopardy!

Pada tahun 2016, sistem DeepMind Google dengan nama singkatan AlphaGo telah memusnahkan pertahanan terakhir intelek manusia, dan berjaya menuntut kemenangan daripada juara bertahan, Fan Hui, dalam permainan Go – satu permainan yang berumur 2,500 tahun dan memerlukan perancangan strategi dan intuisi, iaitu kecerdasan manusia. 

Dengan adanya mesin yang mampu mengalahkan manusia yang hebat dalam permainan kecerdasan–intensif, bukanlah sesuatu yang sukar untuk dipercayai bahawa satu hari nanti, AI mampu menggantikan manusia, samada sepenuhnya ataupun sebahagiannya, dalam pekerjaan-pekerjaan yang kompleks seperti doktor, peguam dan peniaga saham. 

Jadi pekerjaan jenis apa yang akan dilakukan oleh anak-anak kita pada masa hadapan? Tiada siapa yang mempunyai jawapan yang nyata. Malah, cuba kita imbas kembali apa yang telah berlaku pada dunia ini hanya dalam waktu sedekad yang lalu – Facebook masih pada peringkat awal dan tidak ramai yang mempunyai telefon pintar; pekerjaan seperti pengurus media sosial, pemengaruh media sosial, pemandu uber, pemaju aplikasi, saintis pengkomputeran awan dan penganalisis data besar masih tidak wujud.

Walaupun peninjau masa hadapan yang paling hebat juga tidak mampu meramal apa yang akan berlaku pada masa depan. Walaupun begitu, kita diberi petunjuk apabila memerhatikan trend teknologi. Malah, kerajaan Malaysia telah mempunyai pandangan yang jauh mengenai pelan pendidikan yang telah diumumkannya.

Pada tahun 1990, Putrajaya sudah mempunyai niat untuk menggabungkan pengaturcaraan komputer ke dalam silibus sekolah yang rasmi, tetapi selepas 25 tahun, pelan ini dibatalkan akhirnya. Pada tahun 2016, Yasmid Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan bahawa pengekodan akhirnya akan dimasukkan ke dalam silibus sekolah secara berfasa.

Tambahan, halatuju polisi pendidikan selalunya memberi keutamaan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Bagaimanapun, walaupun sejak tahun 1970-an, Menteri pendidikan telah menetapkan satu nisbah target untuk aliran sains kepada aliran seni pada 60:40, namun sehingga 2011, hanya 45% pelajar yang berjaya menamatkan pelajaran daripada aliran sains, termasuk program teknikal dan vokasional.

Sepertimana yang telah saya katakan sebelum ini, Malaysia tidak kekurangan pelan, namun apa yang kita perlukan adalah keazaman politik yang kuat bagi melaksanakan pelan-pelan tersebut dengan baik. Bayangkan jika tenaga kerja generasi muda kita lebih bersedia dengan adanya pengetahuan STEM ataupun kemahiran pengekodan dalam era ekonomi digital yang kita tinggal hari ini, betapa kuatnya impak yang mampu mereka hasilkan bagi ekonomi negara. 

Kita seharusnya tegas dalam memastikan STEM dan sains computer diperbadankan dengan baik dan ditekankan di dalam silibus serta pembangunan generasi baru. Walaubagaimanapun, Malaysia tidak seharusnya hanya mengikut dari belakang, malah untuk berkembang lebih maju pada masa hadapan, kanak-kanak kita seharusnya lebih bersedia menghadapi satu masa hadapan yang melingkungi mesin kecerdasan.

Mesin-mesin ini tidak terdedah kepada kesilapan manusia, mempunyai memori yang luar biasa, tidak beremosi dan tidak akan mempunyai masalah hubungan ataupun keluarga, tidak memerlukan cuti dan semestinya tidak memerlukan cuti sabatikal.

Oleh itu, bagi bersaing dengan mesin-mesin ini, kita perlu memastikan yang anak-anak kita mempunyai set kamahiran yang tidak mampu diganti oleh mesin-mesin dalam jangka masa ini, sebagai contoh, kreativiti, empati, pemikiran kritis serta kepimpinan dan kemahiran bersosial. Aktiviti-aktitviti dan silibus sekolah seharusnya dalam kondisi yang membenarkan kemahiran-kemahiran ini dikembangkan. 

Secara keseluruhannya, dunia kita bergerak tersangat pantas dan oleh itu, silibus sekolah kita, terutamanya pada peringkat institusi tinggi, perlu dipantaui dengan kerap dan disesuaikan bagi menutup jurang antara set kemahiran yang diperoleh daripada sekolah dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan supaya berjaya di tempat kerja dan dunia nyata.

Akhirnya, marilah kita memperingati kata-kata Klaus Schwab, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif bagi Forum Ekonomi Dunia, “Dalam dunia yang baru ini, sudah bukan ikan besar memakan ikan kecil, tetapi ikan yang pantas menelan ikan yang lembap”.

Marilah kita mendidik generasi kita yang seterusnya supaya mereka dapat menjadi ikan yang pantas dan kuat di lautan dunia di kemudian hari.