Sabtu, 24 Mac 2018

Bayangan Malaysia Baru Bab 2: Contoh Tauladan


BAB 2

CONTOH TAULADAN

Saya melihat kepada ramai orang dalam adegan politik semasa di Malaysia dari bos saya Tony Pua sehinggalah Speaker Selangor Hannah Yeoh dan kemudian ahli politik paling baik hati dalam politik Malaysia Teresa Kok diikuti pakar strategi politik Liew Ching Tong serta orang yang pantas bertindak, Anthony Loke. Kesemuanya memberi saya gambaran bagaimana untuk  menjadi seorang ahli politik yang baik. Tetapi tiada seorang pun daripada mereka yang menghampiri kekaguman saya terhadap Lim Kit Siang dan Saari Sungib. Pada mereka, saya melihat contoh tentang apa sebenarnya politik itu - tidak henti mengejar cita-cita untuk negara tanpa pedulikan diri sendiri. Inilah pengajaran yang saya pelajari sebagai seorang ahli politik muda yang memerhatikan kedua-dua lelaki hebat ini dalam politik.

Lim Kit Siang

* Artikel ini digubah semula dari satu artikel yang saya sumbangkan sebagai sebahagian daripada koleksi dalam Buku Ulang Tahun ke-75 Lim Kit Siang pada tahun 2016.

Lim Kit Siang si ‘orang jahat’

Saya dibesarkan di sebuah pekan kecil bernama Batu Anam dan belajar di sekolah Cina, di mana nilai-nilai teras yang diajar ialah supaya mematuhi arahan dan rajin bekerja. Sepanjang sekolah rendah dan menengah, saya selalu berfikir bahawa apa yang diberitahu guru, buku teks, berita dan akhbar RTM adalah sentiasa betul. Saya menghafal seluruh buku teks sejarah (ya, itulah yang seorang nerd lakukan!) dan mempercayai bahawa apa yang saya baca adalah sejarah sebenar. Saya jarang membaca akhbar, tetapi apabila saya melakukannya, saya hanya akan membaca tajuk utama. Saya juga tidak menonton berita TV, tetapi apabila saya melakukannya, hanya sebahagian sahaja kerana berita itu tersiar sebelum atau selepas rancangan TVB petang (saya suka menonton drama TVB semasa zaman kanak-kanak).


Walau bagaimanapun, dari apa yang saya ketahui di dada akhbar arus perdana dan berita TV, saya tahu tentang Lim Kit Siang dan mempunyai pendapat mengenai beliau. Saya rasa itulah perkara yang menakjubkan tentang manusia, kita sentiasa mempunyai pendapat tentang apa sahaja berdasarkan maklumat yang kita kumpulkan, tidak kira betapa sedikit pun maklumat itu.

Kepada saya, pada masa itu, Lim Kit Siang adalah "lelaki yang jahat", sama seperti Anwar Ibrahim. "Roket" adalah pembuat masalah. Saya tidak dapat ingat nama penuh "parti roket itu". Saya selalu tertanya-tanya mengapa ibu bapa kawan-kawan zaman kanak-kanak saya memilih DAP - mereka "orang jahat". (Pembersihan otak media arus perdana benar-benar berfungsi terhadap saya semasa zaman kanak-kanak dan remaja.)

Selepas beberapa tahun, setelah saya melanjutkan pelajaran ke universiti, kemudian bekerja dan belajar di luar negara, pandangan saya mula berubah - buku teks sejarah tidak semestinya betul, akhbar dan berita TV tidak memberitahu saya kebenaran sepenuhnya dan kerajaan pastinya tidak suci dan tidak tahu semuanya! Tetapi pada masa itu, saya tidak begitu berminat dengan politik Malaysia walaupun saya mahu mengundi pembangkang; Saya mempunyai pandangan yang neutral terhadap DAP dan para pemimpin termasuk Lim Kit Siang.

Tidak seperti ramai orang, Lim Kit Siang tidak pernah menjadi "wira zaman kanak-kanak" saya.

"Pertemuan" kali pertama dengan Lim Kit Siang dan DAP

Saya pertama kali bertemu, atau lebih tepat, melihat Lim Kit Siang, ketika saya pertama kali pergi ke ibu pejabat DAP untuk suatu mesyuarat. Sebelum saya pergi ke ibu pejabat, saya telah mempunyai banyak gambaran tentang ibu pejabat DAP, tetapi ternyata, ia benar-benar berbeza dari apa yang saya bayangkan. Saya pernah ke Wisma MCA sebelum ini untuk membuat visa pelajar saya di UK, jadi saya menjangkakan ibu pejabat DAP sama sahaja seperti Wisma MCA.

Tetapi ternyata saya salah. Ia lebih kecil dan lebih rendah. Dan perkara yang paling mengejutkan bagi saya adalah tempat kami bermesyuarat adalah betul-betul sebelah pejabat Lim Kit Siang! Saya selalu membayangkan pemimpin politik sepertinya akan mempunyai banyak lapisan setiausaha. Tetapi tidak, saya dapat melihatnya, melalui pintu kaca pejabatnya. Sungguh rendah hati dan ‘simple’.

Segala-galanya di ibu pejabat DAP termasuk Lim Kit Siang adalah lebih ‘simple’ dari apa yang pernah saya bayangkan. Pengalaman pertama di ibu pejabat DAP inilah yang mula-mula menarik saya kepada parti dan saya menyedari bahawa mungkin ada parti politik di Malaysia yang wajar disertai.

Saya percaya semangat sedemikian masih sama sehingga kini. Kami telah banyak berhabis untuk projek-projek Impian Malaysia sejak pelancarannya pada tahun 2013 bagi membantu masyarakat di kawasan luar bandar dan memulakan banyak inisiatif baru, sedangkan bangunan ibu pejabat kami sebahagian besarnya tidak berubah. Ini pastinya mustahil jika kami mempunyai pemimpin yang menghargai prestasi cetek lebih daripada kerja sebenar yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan mengubah masa depan Malaysia.

Lim Kiang Siang sebagai magnet kepada DAP

Ketika saya sedang mempertimbangkan kalau saya harus masuk politik untuk membuat perubahan dan sama ada DAP adalah parti yang betul untuk disertai, seperti banyak orang muda, saya pergi ke laman web DAP untuk sedikit penyelidikan. Saya tersentuh dengan perjuangan parti, dengan jelas dinyatakan di laman web:

“DAP adalah komited kepada perjuangan untuk sebuah negara Malaysia untuk rakyat Malaysia yang bebas dan demokratik sosial berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi manusia, kesaksamaan, keadilan sosial dan ekonomi dan berasaskan institusi demokrasi berparlimen.”

Saya percaya dengan sepenuh hati bahawa ini adalah Malaysia yang saya mahu lihat. Dan secara ideologi, saya memang pun seorang sosial demokrat. Jadi segalanya sesuai sekali. Tetapi, saya masih ragu-ragu, orang boleh mengatakan mereka berpendirian dengan satu perkara tetapi melakukan sebaliknya.

Jadi, saya terus mencari maklumat di internet dan terjumpa suatu siri video YouTube bertajuk "A Malaysian Dream - Life and Times of Lim Kit Siang" (anda harus menontonnya jika belum). Saya menonton video ini dan benar-benar tersentuh bagaimana Lim Kit Siang berdiri untuk prinsip-prinsip yang benar walaupun itu bermakna penghinaan, penjara dan intimidasi dan penganiayaan berulang kali. Bersama kisah Karpal Singh, saya yakin bahawa pemimpin DAP akan melaksanakan apa yang mereka katakan. Ramai orang berfikir bahawa pemimpin lain yang membawa saya ke DAP, mungkin untuk sekadar pengenalan ya, tetapi sebenarnya kisah perjuangan Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang membuat saya terpikat.

Inspirasi yang berterusan

Walaupun sekarang saya seorang wakil rakyat DAP, Lim Kit Siang sebagai pemimpin tertinggi parti tidak pernah menjadi kawan saya sendiri. Kadang-kadang saya risau beliau tidak ingat nama saya. Tetapi beliau tidak henti-henti memberi inspirasi kepada saya dalam perjalanan politik ini.

Sejurus selepas PRU13, beliau melancarkan pergerakan "Impian Malaysia", dan membayangkan ia sebagai pergerakan yang akan merapatkan jurang antara komuniti yang berlainan di Malaysia demi merealisasikan prinsip Malaysia untuk rakyat Malaysia, kesaksamaan serta keadilan sosial dan ekonomi. Apabila saya mula-mula mendengarnya, saya fikir, "Bagaimana mungkin orang seusia Lim Kit Siang masih mempunyai begitu banyak idealisme?" Kadang ahli politik muda seperti saya cepat-cepat mahukan yang ‘real’ dan tidak berani untuk bermimpi dan bercakap tentang cita-cita lagi. Tetapi sebarnya idealisme dan mereka yang berani bermimpilah menjadi faktor pengubah sejarah dunia.

Lim Kit Siang telah memberi inspirasi kepada saya untuk terus berpegang kepada idealisme dalam perjalanan ini dan bukan hanya memegangnya, tetapi untuk terus bercakap tentangnya tanpa segan silu. Dan tentu saja idealisme tidak boleh menjadi kenyataan tanpa tindakan. Lim Kit Siang sendiri telah mengembara ke seluruh ceruk rantau negara ini, termasuk ke kawasan luar bandar yang hanya dihubungkan dengan sampan, untuk terus bercakap mengenai hal-hal yang penting kepada negara.


Lim Kit Siang menaiki sampan ke Kampung Samparita untuk 
melancarkan projek Impian Sabah yang pertama. (Kredit Foto: DAP HQ)


Sepanjang 50 tahun yang lalu, beliau barangkali telah menulis lebih daripada 10 juta patah perkataan untuk membincangkan dasar bagi menjadikan Malaysia suatu tempat yang lebih baik. Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016, beliau mengembara lebih dari 4,000km untuk berkempen bagi calon DAP, walaupun DAP begitu banyak menggembleng usaha dan sumber untuk capaian luar bandar, kami masih tidak dapat mencapai kejayaan walaupun satu kerusi pedalaman di Sarawak.

Saya masih ingat dengan jelas bagaimana pasukan kempen kami begitu murung dan bersedih di pusat operasi dan bagaimana seluruh dunia kelihatan hancur berkecai apabila keputusan diumumkan. Tetapi Lim Kit Siang, lelaki berusia 75 tahun ini, yang paling banyak menjelajah sepanjang kempen itu, membangkitkan kami kembali dengan mengeluarkan arahan baru untuk parti pada hari berikutnya selepas kami tewas.

Perjalanan dalam mengejar idealisme tidak mudah. Kadang-kadang saya kecewa dan tidak bersemangat melihat masa depan Malaysia yang seakan tidak boleh berubah tetapi saya selalu teringatkan tentang perbualan ringkas saya dengan Tony Pua. Saya mengadu kepadanya bahawa saya sudah menyampah dengan apa yang berlaku dan bertanya kenapalah kita melakukan semua ini, beliau hanya memberi saya jawapan pendek "jika anda fikir anda letih, fikirkan Lim Kit Siang, dia telah telah berjuang selama lima puluh tahun".

Adakah anda menyampah dengan permasalahan yang berlaku di negara ini? Adakah anda berfikir bahawa mustahil bagi kita untuk mengubah apa-apa dan hanya mahu menyerah, angkat bungkus dan melarikan diri? Fikirkan Lim Kit Siang.

Kita mesti berjuang sama seperti Lim Kit Siang.

Saari Sungib

Saari Sungib bukanlah tokoh politik yang terkemuka seperti Lim Kit Siang, tetapi beliau adalah seseorang yang membuat saya tertarik dengan cara beliau mengendalikan keputusan politiknya.

Kemuncak krisis MB Selangor, mungkin pada 17 Ogos 2014, kerajaan Selangor berada di ambang keruntuhan. Menteri besar sebelum ini, Tan Sri Khalid Ibrahim enggan meletak jawatan dan bertindak memecat enam anggota exco DAP dan PKR dari kabinet negeri. Pelengseran Tan Sri Khalid Ibrahim menemui jalan buntu kerana PAS bertegas menyokongnya sebagai MB. Berikut adalah apa yang saya kongsikan di laman Facebook saya:

"Hari ini adalah hari yang amat genting untuk Pakatan Rakyat apabila Jawatankuasa Pusat PAS akhirnya bertemu untuk memutuskan tentang isu MB Selangor. Tetapi sebelum itu, saya ingin menghormati dua rakan Pakatan Rakyat yang berani dengan keputusan mereka untuk datang ke sidang akhbar bagi menyokong secara terbuka penyingkiran Khalid Ibrahim. Langkah mereka telah mengekalkan kerajaan Pakatan Rakyat di tengah-tengah krisis MB.

Saya adalah salah seorang daripada tiga puluh ADUN yang menandatangani akuan berkanun. Tetapi sehingga pagi itu sebelum sidang akhbar, saya bimbang bahawa kami tidak mempunyai bilangan yang mencukupi untuk membuktikan majoriti. DAP 15, PKR 13, kita hanya mempunyai 28 orang.

PAS tidak memutuskan. Saya dengar dua dari PAS akan datang tetapi saya tidak pasti jika mereka akan muncul. Adakah anda tahu apa ertinya membelakangi keputusan parti? Tamatlah kerjaya politik anda dalam parti (kemungkinan besar tidak akan diberikan pencalonan untuk penggal berikutnya) atau sekurang-kurangnya dihadapkan ke jawatankuasa disiplin.

Kemudian saya melihat YB Hasnul, ADUN untuk Morib, datang. Beliau tersenyum, tetapi saya dapat melihat dari ungkapannya bahawa beliau sedikit gugup, seperti seorang anak yang baru melanggar undang-undang. Perasannya bercampur-campur cuba mencari ketenangan.

Jam berdetik, saya sedang menunggu seorang lagi ADUN PAS muncul.

Saya mendengar YB Saari akan datang. Beliau telah menjadi contoh peranan yang baik kepada saya sejak saya mengenalnya. Beliau adalah pengerusi Jawatankuasa Pilihan GLC yang saya sertai. Seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), seorang penulis, beliau adalah seorang yang lembut dan tenang namun berpengetahuan, tegas dan berprinsip. Saya menghormati beliau dan selalu belajar darinya. Tetapi adakah beliau akan merosakkan kerjayanya dan hadir sama? Saya tidak pasti.

Kemudian saya melihat YB Saari masuk. Seperti biasa, beliau membawa beg sandangnya, berjalan dengan perlahan dan tenang. Isterinya bersama dengannya dan beliau berkata kepada saya "Saya rasa kita seperti kembali ke waktu ketika beliau (YB Saari) ditahan di bawah ISA lagi."

Wow, itulah magnitud tekanan untuk membuat langkah itu untuk keluarganya! Saya sangat tersentuh, air mata saya sedikit bergenang tetapi saya cepat menggosoknya (jadi malu menjadi emosi pada masa ini!).

Mereka datang dengan semangat Pakatan Rakyat.

Di tengah-tengah semua kekecewaan, saya melihat 'rakan perjuangan' yang berani berdiri untuk memastikan kerajaan Pakatan Rakyat kekal utuh, berdiri untuk memelihara demokrasi dua parti di Malaysia dan membuat pendirian yang mengekalkan impian saya demi perubahan serta kehidupan yang lebih baik di Malaysia.

Apa pun keputusan PAS hari ini, kita akan menghadapinya. Sejarah sudah lama berlalu dan kita hanya berada pada permulaannya. Tetapi saya akan ingat pada hari itu, apabila dua lelaki berani memutuskan untuk membuat keputusan yang sukar dan memberikan saya tenaga dalam perjalanan panjang ini.

Terima kasih YB Hasnul dan YB Saari, saya akan memberitahu anak-anak saya tentang kisah berani anda. "

Hasnul Baharuddin dan Saari Sungib di sidang akhbar untuk mengumumkan sokongan mereka terhadap penyingkiran Tan Sri Khalid Ibrahim bersama-sama dengan 28 Ahli Parlimen yang lain dari DAP dan PKR. Tindakan mereka telah menghalang kejatuhan kerajaan negeri Selangor. (Sumber Foto: Internet)


Banyak perkara yang berlaku sejak 17 Ogos 2014, Azmin Ali telah menjadi Menteri Besar Selangor yang baru; sekumpulan ahli PAS yang progresif meninggalkan parti itu dan membentuk Parti Amanah Negara (Amanah); dan perkembangan politik yang paling tidak dapat diramalkan adalah pembentukan parti serpihan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyyidin Yassin.

Saari Sungib adalah salah seorang ahli PAS yang meninggalkan PAS untuk membentuk Amanah. Penggarisan semula politik jelas menunjukkan bahawa DAP, PKR dan Amanah perlu bekerja dengan PPBM untuk membuka peluang menewaskan gabungan yang telah memerintah Malaysia selama 60 tahun. Tidak ada cara lain.

Saari Sungib adalah mangsa Operasi Lalang, yang merupakan hasil pemikiran Mahathir. Beliau ditahan tanpa bicara dan menderita penyeksaan tidak berperikemanusiaan di bawah ISA. Saya masih ingat bagaimana beliau berkongsi pengalaman di penjara semasa kami sedang makan. Saari Sungib juga merupakan salah seorang pengasas gerakan Otai Reformasi. Singkatnya, segala yang dipegangnya sepanjang dua dekad lalu ialah menentang Mahathir Mohamad.

Walau bagaimanapun, realiti politik yang kita hadapi sekarang ialah sama ada kita terus tertinggal di masa lalu atau melihat ke masa depan; sama ada kita memilih untuk percaya dan bekerja untuk kemenangan atau menyerah sama sekali. Saari Sungib memilih untuk bekerja.

Sebagai pengerusi Otai Reformasi, sebuah pergerakan/NGO yang dibentuk semasa pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1997, Saari Sungib sebenarnya memutuskan untuk membenarkan Mahathir datang untuk berucap di Konvensyen Reformasi pada 27 Februari 2017. Alangkah ironi - musuh terbesar gerakan datang ke konvensyen untuk berucap. Saya berada di sana ketika Mahathir naik ke panggung untuk berucap. Beliau menerima sorakan dan ejekan- kurang sorakan, lebih banyak ejekan. Di sampingnya di pentas itu adalah Saari Sungib, orang yang pernah terseksa oleh rejimnya, tenang dan tenteram. Entahlah apa yang difikirkan Saari pada ketika itu.

Kemudian Otai Reformasi memutuskan untuk menentang kepemimpinan Mahathir dalam Pakatan Harapan, sebuah gabungan baru antara PKR, DAP, Amanah dan PPBM. Saari Sungib terpaksa meletakkan jawatan sebagai pengerusi Otai Reformasi bagi menyokong keputusan Pakatan Harapan untuk menjadikan Mahathir sebagai salah seorang pemimpin.
"Saya tidak boleh memaksa orang (untuk menerima Mahathir). Tetapi bagi saya, perkara itu (mengenai Mahathir) telah dibincangkan dalam parti dan saya menghormati keputusan parti. Itulah tahap saya," katanya dipetik oleh Malaysiakini.

3 tahun yang lalu Saari Sungib membuat keputusan dalam usaha mengekalkan Pakatan Rakyat dan 3 tahun kemudian beliau membuat satu lagi keputusan untuk menyokong keputusan kepimpinan Pakatan Harapan. Sesungguhnya beliau tidak berada di kepimpinan utama negara, tetapi beliau sentiasa membuat pilihan demi agenda yang lebih besar dalam pasukan, bukan kerjaya politiknya (3 tahun lalu) atau dendam peribadi (3 tahun kemudian).

Kata-kata "Itu tahap saya" adalah begitu mudah namun penuh inspirasi; mengenai membuat keputusan yang lebih besar daripada diri sendiri, dan dilakukan dengan kemampuan diri yang terbaik.

Nelson Mandela

Kemampuan bekas tahanan ISA, termasuk Lim Kit Siang dan Saari Sungib, bekerjasama dengan Mahathir mengingatkan saya kepada wira politik saya sepanjang zaman, Nelson Mandela.

Apa yang saya paling kagumi tentang beliau bukanlah keazamannya untuk berjuang tetapi tekadnya untuk memaafkan. Saya masih ingat dengan jelas pada tahun 2006 ketika saya membaca autobiografi "Long Walk to Freedom", pada bahagian yang beliau tulis tentang pemikirannya ketika akhirnya akan dibebaskan, "Ketika saya keluar dari pintu ke arah pagar yang akan memberi kebebasan buat saya, saya tahu jika saya tidak meninggalkan dendam dan kebencian di belakang, saya masih terpenjara."

Ia adalah momen ‘big bang’ dalam hidup saya, bahawa beberapa perkataan boleh meninggalkan kesan yang besar di hati saya dan masih mempengaruhi politik saya hari ini. Adalah mudah bagi para pemimpin untuk memberitakan kebencian tetapi senjata yang paling kuat untuk rekonsiliasi nasional adalah kemaafan. Ketetapan hati Mandela untuk melawan dan memaafkan telah mengubah Afrika Selatan. Usaha membina negara tidak boleh didasarkan pada kebencian dan dendam tetapi kemaafan, belas kasihan, cita-cita serta kepercayaan yang kuat dan berterusan bahawa hari esok yang lebih baik sedang menanti kita.