Sabtu, 24 Mac 2018

Bayangan Malaysia Baru Bab 7: Membina Institusi Masa Depan


BAB 7

MEMBINA INSTITUSI MASA DEPAN

Sekiranya hanya ada satu perkara yang boleh anda ubah untuk negara ini, apakah yang akan anda lakukan? Oleh sebab asuhan saya sejak kecil, jawapan saya dahulunya adalah pendidikan.

Lima tahun dalam politik membuat saya sedar bahawa aspek yang paling penting dalam kerajaan adalah tadbir urus. Tadbir urus yang baik adalah prasyarat untuk ekonomi, pendidikan, kebajikan sosial yang baik. Apabila kerajaan bersih, wang pembayar cukai akan digunakan dengan baik; apabila kerajaan bertanggungjawab, prestasi dapat dipantau dan diperbaiki, membawa kepada kerajaan yang lebih kompeten di setiap bidang pentadbiran.

Memimpin negara seperti Malaysia, yang kaya dengan sumber asli, strategik dalam geografi dan bebas daripada bencana alam, sebenarnya tidaklah begitu sukar; bahkan cuma memerlukan iltizam untuk melakukan perkara yang betul. Saya selalu menyebut hal ini; negara kita tidak ketandusan pemimpin dengan kecerdasan tetapi kita kurang pemimpin dengan integriti.

Jangan percayakan ahli politik, percayakan institusi

Semua orang suka ‘super hero’. Kisah-kisah mengenai sebuah bandar raya yang akan hancur atau masyarakat di ambang kehancuran diselamatkan oleh orang yang berani dan perkasa, selalunya dengan kuasa luar biasa, sentiasa memenuhi pawagam.

Dalam politik, ramai yang percaya bahawa selagi kita meletakkan orang yang tepat di tugasan paling utama, semuanya akan menjadi baik. Kemudian apabila kita menukar pemimpin, barulah kita menyedari bahawa masalah kita berlarutan atau muncul kembali setelah pemimpin itu hilang.


Apabila saya mula-mula menyertai politik, saya percaya bahawa memilih pemimpin yang baik adalah apa yang perlu kita lakukan untuk negara. Walau bagaimanapun, bermula dengan krisis Menteri Besar (MB) Selangor, saya perlahan-lahan mengubah pandangan saya. Sebagai wakil rakyat dan anggota termuda di Dewan Negeri Selangor, melihat bagaimana krisis MB terungkap dan menjadi sebahagian daripada sejarah, mengajar saya satu pengajaran berharga - pemimpin boleh berubah dalam masa yang singkat.

Semakin lama saya berada di dalam politik, semakin saya yakin bahawa kita tidak boleh mempercayai sepenuhnya mana-mana pemimpin politik, termasuk saya sendiri, untuk melindungi kepentingan rakyat, tidak kira betapa baik dan suci pun penampilan mereka.

Kuasa merosakkan, dan kuasa mutlak merosak secara mutlak. Manusia berubah, lebih-lebih lagi ahli politik. Bak kata Abraham Lincoln, "Nearly all men can stand adversity, but if you want to test a man’s character, give him power.” Rasuah bukan hanya terhad kepada mengambil keuntungan kewangan tetapi juga kerosakan moral dan sikap.

Secara keseluruhan, saya menyedari bahawa ahli politik yang paling kuat pendirian dan paling bersemangat juga masih merupakan lan pendosa yang sedang cuba melakukan perkara yang terbaik untuk negara. Dugaan akan datang dalam segala macam cara dan jika dibiarkan, ahli politik paling "suci" pun boleh tumbang.

Itulah sebabnya kita memerlukan institusi semak imbang yang kuat untuk memelihara kepentingan rakyat daripada tangan mereka yang berkuasa. Jika anda lupa semua yang akan saya katakan dalam bab ini, sila ingat ini:

Para pemimpin yang baik datang dan pergi, mereka mungkin mati, bersara, berhenti atau berubah, yang kekal hanyalah institusi yang baik.

Jika kita hanya peduli dengan generasi ini, cukuplah memilih pemimpin yang baik. Tetapi jika kita mengambil berat tentang generasi akan datang, kita perlu membina institusi yang baik.

Institusi yang kian lemah

Setakat ini, institusi semak imbang Malaysia semakin goyah - pilihan raya tidak telus, pemisahan kuasa hampir tiada dan kebebasan bersuara dibungkam.

Institusi yang goyah ini melahirkan kleptokrasi pada tahun-tahun kebelakangan ini. Buat pertama kalinya dalam sejarah, Malaysia dilabelkan sebagai sebuah negara kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ). Tidak dapat dibayangkan bagaimana kita akhirnya kini berada di kedudukan yang sama dengan negara seperti Zimbabwe.

Ketika buku ini ditulis, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dilaporkan oleh media seluruh dunia dan juga sedang disiasat di Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland dan beberapa negara lain. Walau bagaimanapun, Najib Razak, yang merupakan bekas pengerusi lembaga pengarah 1MDB yang akaun peribadinya didakwa menerima dana yang dirompak daripada 1MDB berjumlah RM 2.6 bilion, kekal kukuh di kedudukan tertinggi negara.

The Economist menyebut dengan tepat dalam pembukaan salah satu artikelnya tentang Najib Razak dan skandal 1MDB,

“A round of applause, ladies and gentlemen. Any typical leader of a typical democracy, when found with nearly $700m of ill-explained money from an unnamed foreign donor in his accounts, would experience a swift and fatal fall. Yet, nearly two years after news first broke that Najib Razak’s bank balance had been thus plumped up, his high-wire act continues.”

Ramai orang memberitahu saya bahawa masalah rasuah negara kita akan diselesaikan segera setelah Najib berhenti menjadi perdana menteri. Ini tidak benar. (Jadi jika anda membaca buku ini pada masa Najib Razak tidak lagi Perdana Menteri, teruskan membaca.)

"Fenomena Najib Razak" tidak muncul dalam jangka masa satu hari sahaja; ia adalah produk daripada sebuah institusi yang tidak berfungsi dan telah hilang keupayaan semak imbang. Negara kita perlu memulihkan pilihanraya yang bebas dan adil, kebebasan bersuara dan pemisahan kuasa yang sebenar.

Pilihanraya yang bebas dan adil

Tunjang demokrasi yang paling utama adalah keupayaan untuk memilih satu parti politik (atau gabungan) berbanding yang lain, bergantung kepada siapa yang dirasakan oleh pengundi dapat menjadi kerajaan yang lebih baik; atau ringkasnya keupayaan untuk melengser mereka yang berkuasa melalui kotak undi. Apabila wujud kemungkinan perubahan kerajaan, mereka yang berkuasa akan lebih berjaga-jaga kerana mereka perlu menghadapi pengundi di setiap sela masa yang ditetapkan.

Malaysia kekal sebagai salah satu daripada sebilangan kecil negara "demokratik" di dunia yang belum mengalami sebarang perubahan kerajaan. Malah, Barisan Nasional (BN) adalah gabungan politik pemerintah yang paling lama berkuasa di dunia.

Menukar kerajaan menjadi proses yang sangat sukar di Malaysia akibat perwakilan yang tidak berkadaran dengan sempadan pilihanrya atau disebut ‘gerrymandering’. Dengan bantuan sempadan pilihan raya yang tidak adil, dan sangat berat sebelah, BN masih memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan 60% kerusi Parlimen walaupun kalah undi popular, dengan hanya menerima 47.4% daripada jumlah undi popular.

Untuk memburukkan lagi keadaan, pada September 2016, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan pelan penyusunan semula kawasan yang akan menjadikan sempadan pilihan raya memberi kelebihan kepada BN. SPR, yang merupakan institusi yang sepatutnya memastikan pilihan raya bebas dan adil di Malaysia, sedang menjalankan ‘gerrymandering’ secara terang-terangan untuk membantu kemenangan parti pemerintah.

SPR juga berulang kali mengabaikan kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh BN terutamanya dari segi membeli undi di kawasan luar bandar. Saya menyaksikan pembelian undi untuk kali pertama dalam hidup saya semasa menjadi pengarah kempen untuk kerusi Tasik Biru semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak pada April 2016. Walaupun sebelum berkempen di Tasik Biru, saya telah membaca banyak mengenai pembelian undi tetapi apabila saya melihatnya dengan mata kepala saya sendiri, saya merasa begitu loya, terganggu dan sedih sekali.

Kempen mengumpul tandatangan terhadap cadangan persempadanan semula 
yang tidak adil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, di pasar pagi SS2 - September 2016.


Bagaimanakah undi yang tidak ternilai boleh dibeli-beli? Apabila undi boleh dibeli, ahli politik akan mengabaikan anda selepas pilihan raya dan kembali lagi pilihan raya akan datang untuk membayar anda RM 50, RM 100 atau bahkan RM 500 untuk undi anda. Inilah sebabnya mengapa sesetengah ahli politik mahu memastikan orang miskin kekal miskin daripada membantu mereka keluar dari kemiskinan. Kerana adalah jauh lebih mudah untuk membeli undi daripada benar-benar berkhidmat kepada rakyat.

Walaupun pemantau pilihan raya melaporkan kesalahan pilihan raya yang dibuat oleh BN di Tasik Biru kepada SPR, SPR tidak mengendahkannya! Bukan sahaja di Tasik Biru, terdapat aduan yang dibuat sepanjang Pilihan Raya Negeri Sarawak atau demikian banyak pilihan raya sebelum itu, tetapi SPR tidak melakukan apa-apa untuk memperbetulkannya.

Singkatnya, SPR kini berat sebelah dan memberi keutamaan kepada parti pemerintah.

Apabila institusi yang sepatutnya memastikan pilihan raya yang bebas dan adil tidak lagi bebas, pilihan raya boleh disusun atur; apabila pilihan raya boleh disusun atur, kerajaan yang dipilih tidak lagi takut kepada rakyat.

Perlu ada reformasi pilihan raya untuk mengembalikan kuasa membuat keputusan kepada rakyat. Langkah pertama ke arah reformasi pilihan raya adalah untuk memastikan SPR mestilah bebas daripada kuasa eksekutif dan bebas daripada pengaruh politik.

Hanya dengan pilihan raya yang bebas dan adil, mereka yang berkuasa akan takut kepada rakyat dan tahu siapa bos sebenar dalam demokrasi di negara ini - rakyat Malaysia.

Kebebasan bersuara

Walaupun dengan pilihan raya yang bebas dan adil, apabila tidak ada kebebasan bersuara, para pengundi akan terpaksa percaya bahawa hanya suatu pihak tertentu lebih baik daripada yang lain. Tiada demokrasi sebenar apabila tidak ada aliran maklumat yang bebas. Terdapat dua cara BN mengawal media, iaitu melalui pemilikan serta undang-undang dan jentera kerajaan.

Mengenai pemilikan, Media Prima, sebuah syarikat terkait UMNO begitu hampir memonopoli semua media di Malaysia. Dalam kalangan media arus perdana, ia memiliki stesen televisyen - TV3, 8TV, ntv7 dan TV9, stesen radio - Fly FM, Hot FM, satu FM dan Kool FM; dan juga akhbar-akhbar - New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro. Dan dengan pengambilalihan berjumlah kira-kira RM100 juta syarikat Rev Asia pada Mei 2017, Media Prima juga kini merupakan syarikat media digital ketiga terbesar di Malaysia selepas Google dan Facebook. Singkatnya, kuasa Media Prima untuk membentuk persepsi awam, dan kecenderungan pengundian, adalah sangat besar.
Sekarang mari kita lihat bagaimana jentera kerajaan digunakan untuk mengekang kebebasan bersuara.
Malaysia terus berada dalam ranking lebih 140 daripada kira-kira 180 buah negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar selama beberapa tahun yang lalu. Bersenjatakan Akta Mesin Cetak, kerajaan menggantung lesen percetakan akhbar yang menerbitkan berita yang tidak memihak kepada mereka, seperti akhbar The Heat pada bulan Disember 2013 selepas liputannya bertajuk “All eyes on big-spending PM Najib” dan akhbar The Edge pada bulan Julai 2015 selepas pendedahan besar-besaran mengenai 1MDB.
Berita mingguan The Heat telah digantung dari 19 Disember 2014 
sehingga 24 Januari 2015. (Sumber: Internet)

Intimidasi media secara berterusan telah membawa kepada budaya tapis sendiri (self-censorship) dalam kalangan media di Malaysia, termasuk media yang tidak berkaitan politik, untuk mengelakkan pertembungan dengan pihak berkuasa. Hampir tidak ada kebebasan dalam kewartawanan dalam media arus perdana ekoran intimidasi melalui undang-undang yang menindas dan takut kehilangan mata pencarian.
Kita sudah biasa merasa selesa mengetahui bahawa walaupun tidak ada kebebasan dalam media cetak, Internet masih agak bebas. Walau bagaimanapun, kebebasan Internet pun sebenarnya semakin dibungkam. Pada tahun 2012, Akta Keterangan 1950 telah dipinda untuk memasukkan Seksyen 114A. Di bawah Seskyen 114A, orang ramai tidak lagi boleh menggunakan Internet tanpa rasa takut - kerana seseorang boleh didapati bersalah atas apa-apa yang dikongsikan melalui komputer atau rangkaian wifinya melainkan dia boleh membuktikan dia tidak bersalah. Ini adalah senjata yang boleh digunakan oleh parti pemerintah dalam keadaan yang sangat terdesak.

Kita juga melihat penyalahgunaan kuasa oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyekat penyebaran berita yang tidak menyokong BN. Contohnya, menyekat Sarawak Report yang membuat siri pendedahan mengenai skandal rasuah BN, terutamanya berkait 1MDB. Malah penerbitan BBC mengenai kenyataan Kangkung Najib pada Januari 2014, yang bertajuk "#BBCtrending: Be careful what you say about spinach" tidak dapat lari daripada nasib dihalang aksesnya. Sama ada laman web itu disekat buat sementara waktu atau sebahagian, amalan sedemikian menetapkan contoh berbahaya untuk kebebasan Internet di Malaysia.

Tambahan pula, daripada memansuhkan Akta Hasutan yang draconian seperti yang dijanjikan pada tahun 2012 sebelum PRU13, kerajaan telah menyalahgunakan undang-undang untuk menghancurkan suara yang menentang. Lebih 176 kes hasutan yang direkod antara tahun 2013 hingga 2016 berbanding dengan 30 kes antara tahun 2009 hingga 2012.

Di universiti-universiti, terdapat peningkatan usaha membungkam suara mengkritik dengan peningkatan jumlah aktivis mahasiswa yang digantung (atau dikenakan tindakan tatatertib yang lain) oleh pihak pentadbiran universiti apabila mereka kritis terhadap pihak kerajaan.

Walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah dipinda pada tahun 2012 untuk membolehkan para pelajar mengambil bahagian dalam politik di luar kampus, Seksyen (15) AUKU masih melarang aktiviti politik di dalam kampus dan mengenakan sekatan terhadap pelajar dari organisasi yang ditentukan oleh lembaga universiti sebagai "tidak sesuai dengan kepentingan dan kesejahteraan pelajar atau universiti".

Ramai mahasiswa sebenarnya takut untuk terlibat dalam kegiatan politik.

Dalam perjalanan singkat saya sebagai ahli politik, saya telah menemui ramai mahasiswa yang bertanya sama ada biasiswa mereka akan ditarik balik atau sama ada mereka akan dibuang dari universiti jika mereka mengambil bahagian dalam perhimpunan, forum, acara atau program yang dianjurkan oleh parti-parti politik pembangkang.

Budaya ketakutan dalam kalangan pelajar universiti semakin berleluasa. Malah, budaya ketakutan berlaku di mana-mana. Tiada selebriti mahupun ahli perniagaan, atau sangat sedikit daripada mereka, yang sanggup menyuarakan pandangan politik secara terbuka, kerana takut kehilangan mata pencarian mereka.

Sebagai seorang penggubal undang-undang kerajaan negeri Selangor, saya faham bahawa kerajaan harus melalui kritikan yang sengit dan kadang-kadang tidak adil. Walau bagaimanapun, kerajaan tidak boleh takut dengan kritikan dan melarikan diri daripada mereka dengan mengenakan undang-undang yang menyekat hak rakyat untuk mengetahui kebenaran serta kebebasan mereka untuk menyatakan rasa tidak setuju. Kerajaan mesti dapat berinteraksi dengan rakyat demi menegakkan makna sebenar demokrasi dan menjadi kerajaan rakyat, oleh rakyat dan demi rakyat.

Semua undang-undang yang menghalang kebebasan bersuara seperti Akta Mesin Cetak, Akta SKMM, Akta Hasutan, AUKU dan banyak lagi, mesti dipinda atau dimansuhkan bagi membolehkan orang ramai bercakap dan menulis secara bebas di semua saluran. Apabila terdapat kebebasan bersuara, orang ramai boleh menjadi juru semak imbang terbaik kepada kerajaan yang mereka pilih. Dengan aliran maklumat yang bebas, para pengundi dapat mendapatkan maklumat terbaik mengenai pilihan yang tersedia dan memilih kerajaan yang mereka inginkan melalui peti undi.

Pengasingan kuasa

Semak imbang berkembang maju apabila terdapat pemisahan kuasa untuk ketiga-tiga cabang kuasa - eksekutif, perundangan dan kehakiman. Objektif keseluruhannya adalah supaya cabang perundangan dan kehakiman dapat memberi semak imbang kepada kuasa eksekutif.

Walau bagaimanapun, pada masa ini, kita melihat pemusatan kawalan yang semakin meningkat kepada kuasa eksekutif di Malaysia. Skandal 1MDB memberi kita gambaran bagaimana kuasa berpusat kepada cabang eksekutif.

Sejak skandal derma peribadi RM 2.6 bilion Najib Razak, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah dipecat secara tidak berperlembagaan manakala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohommed, meletak jawatan dua tahun sebelum tempoh perjawatannya berakhir. Kedua-dua mereka adalah anggota utama pasukan khas untuk menyiasat 1MDB. Adakah ia hanya satu kebetulan?

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Nur Jazlan, yang sepatutnya memimpin pengawasan legislatif ke atas kuasa eksekutif, dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam rombakan kabinet secara tiba-tiba pada bulan Julai 2015.

Nur Jazlan pernah menjadi salah seorang ahli Parlimen BN yang menyuarakan pendapat mengenai isu 1MDB tetapi beliau mengubah nadanya selepas dinaikkan pangkat. Selain itu, tiga anggota PAC lain juga dinaikkan pangkat ke jawatan menteri selepas rombakan kabinet. Adakah ia tidak kelihatan seperti menjual diri demi jawatan?

Nur Jazlan digantikan oleh Datuk Hasan Arifin yang ketika ditanya oleh pemberita sama ada PAC akan memanggil Najib Razak untuk memberi keterangan kepada PAC mengenai isu 1MDB, menjawab, "Janganlah, saya pun nak cari makan." Pengerusi PAC telah menjadi pengerusi "cari makan".

Contoh yang paling jelas tentang bagaimana cabang legislatif di Malaysia menjadi harimau tanpa gigi dalam memberikan pengawasan kepada kuasa eksekutif adalah dengan melihat keputusan yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia.

Pada bulan Oktober 2016, beliau memutuskan bahawa menteri kabinet tidak perlu menjawab tentang tuntutan sivil DOJ untuk merampas harta 1MDB bernilai AS$ 4 bilion di Amerika Syarikat, dengan alasan ia adalah sub judis. Keadaan bertambah teruk pada bulan Julai 2017, apabila Pandikar mengharamkan semua soalan mengenai 1MDB di Parlimen.

Sekiranya Parlimen, yang dipilih oleh rakyat dan mewakili suara rakyat, tidak boleh memaksa Kerajaan bertanggungjawab terhadap skandal terbesar dalam sejarah negara kita, maka apakah badan lain di Malaysia boleh melakukannya?

Jelas sekali, institusi yang sepatutnya bertindak secara bebas untuk memberi semak imbang kepada kuasa eksekutif di Putrajaya telah dikalahkan atau dikompromi. Inilah sebabnya mengapa rasuah di Putrajaya boleh jadi tidak terkawal dan dilakukan secara terang-terangan.
           
Bagi kebebasan badan kehakiman di Malaysia pula, ia ternyata telah terhakis sejak krisis perlembagaan 1988, yang bermula dengan perbalahan dalaman UMNO tetapi berakhir dengan pemecatan Presiden Mahkamah Agung Tun Salleh Abas dan dua hakim Mahkamah Agung lain yang kesemuanya telah dirancang oleh Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad dalam percubaan (berjaya) beliau untuk melemahkan kuasa kehakiman. Menariknya ketika Mahathir dikritik oleh pendahulunya Tunku Abdul Rahman, beliau disokong oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Anwar Ibrahim, yang menggambarkan Tunku sebagai suara zaman lampau dan "seorang lelaki tua yang telah melaksanakan tugasnya".

(Sangat menarik untuk melihat bagaimana kedua-dua Mahathir dan Anwar sedang menuai hasil kerja buat mereka sendiri - sebuah institusi yang rosak sekarang. Itulah sebabnya walaupun anda adalah orang yang paling berkuasa di negara ini, anda tidak boleh memusnahkan institusi yang melindungi rakyat daripada anda, kerana akhirnya anda akan memerlukan institusi yang sama untuk melindungi diri anda dari orang yang berkuasa selepas anda.)

Dengan BN memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen, Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada tahun 1988 untuk memansuhkan baris "kuasa kehakiman Persekutuan akan diletakkan di Mahkamah Agung..." dan menggantikannya dengan "Mahkamah Tinggi dan mahkamah bawahan itu hendaklah mempunyai bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang Persekutuan," dan lain-lain. Pindaan Perkara 121 secara berkesan mengurangkan hierarki kuasa kehakiman menjadi lebih rendah daripada eksekutif dan legislatif kerana kuasa kehakiman kini tertakluk kepada undang-undang Persekutuan. Kebebasan badan kehakiman Malaysia tidak pernah pulih dari sejak itu.

Kita mesti memulihkan pemisahan kuasa di Malaysia dengan memperkasa pengawasan perundangan dan kebebasan badan kehakiman untuk memberikan semak imbang kepada cabang eksekutif. Ingat, kuasa mutlak merosak secara mutlak.

Sebagai penggubal undang-undang hampir lima tahun, saya mempunyai pandangan yang lebih dalam dari segi pengawasan legislatif berbanding badan kehakiman, oleh itu terdapat perbincangan yang lebih panjang dan tidak seimbang dalam cawangan kuasa legislatif berbanding dengan badan kehakiman dalam buku ini. Walau bagaimanapun, saya mahu menekankan bahawa kedua-dua mereka adalah sama penting.


Penambahbaikan legislatif Selangor - pengajaran buat Parlimen masa depan

Saya sering ditanya apakah perbezaan antara kerajaan sebelum ini dengan kerajaan sekarang di Selangor. Terdapat banyak perbezaan tetapi apa yang paling dekat dengan hati saya adalah pembaharuan legislatif yang berlaku di Dewan Negeri Selangor kerana kepercayaan saya bahawa hanya institusi yang kuat dapat melindungi rakyat dan generasi masa depan kita.

Sejak perubahan kerajaan negeri pada tahun 2008, Dewan Undangan Negeri Selangor telah menjalani beberapa pembaharuan. Saya akan berkongsi beberapa mekanisme semak imbang penting yang telah dilaksanakan di Selangor dalam mengukuhkan badan legislatif dan bagaimana Parlimen Malaysia juga boleh ditambahbaik pada masa akan datang.

Jawatankuasa Pilihan Khas DUN Selangor
Pembaharuan perundangan yang paling penting yang dibuat setakat ini ialah pengenalan jawatankuasa pilihan dan jawatankuasa pilihan khas di Dewan Negeri. Jawatankuasa ini bermesyuarat apabila DUN tidak bersidang dan membantu menyediakan penelitian legislatif ke atas pentadbiran eksekutif secara sistematik.

Setakat ini, DUN Selangor mempunyai enam jawatankuasa pilihan dan empat jawatankuasa pilihan khas. Perbezaan di antara jawatankuasa pilihan dan jawatankuasa pilihan khas ialah jawatankuasa pilihan diperuntukkan melalui Perintah Tetap DUN manakala yang jatawankuasa pilihan khas pula menumpukan kepada isu-isu tertentu dan dibentuk (dan boleh dibubarkan) dengan meluluskan usul-usul di DUN.

Tanpa mengambilkira isu teknikal, secara keseluruhan, semua jawatankuasa dibentuk untuk mencapai tujuan yang sama - bagi menyediakan semak imbang legislatif kepada cabang kuasa eksekutif.

Di bawah adalah senarai jawatankuasa dan penerangan ringkas tentang apa yang dilakukan oleh jawatankuasa tersebut.

Enam jawatankuasa pilihan termasuk:

  1. Jawatankuasa Akaun Awam (PAC)
  2. Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah atau Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT)
  3. Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan atau Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT)
  4. Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Syarikat Subsidiari atau Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS)
  5. Jawatankuasa Pesanan Tetap atau Peraturan Jawatankuasa Tetap
  6. Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan atau Jawatankuasa Hak dan Kebebasan
PAC sebagaimana namanya, adalah jawatankuasa yang meneliti akaun awam, termasuk kerajaan negeri Selangor, pihak berkuasa awam dan badan-badan lain yang mentadbir dana awam serta pengagihan belanjawan yang diluluskan oleh Dewan Negeri untuk memenuhi keperluan perbelanjaan awam.

JP-PADAT, JP-PBT dan JP-ABAS akan menyediakan pemeriksaan dan pengawasan semua akaun, perkara pentadbiran dan semua perkara yang diterbitkan dalam laporan Ketua Audit Negara yang berkaitan dengan bidang masing-masing: i. Pejabat Daerah dan Tanah; ii. Pihak Berkuasa Majlis Tempatan; dan iii. Agensi, Badan Berkanun dan Syarikat Anak, atau dalam perkara yang difikirkan patut oleh jawatankuasa.

Jawatankuasa Peraturan Tetap mengkaji Peraturan Tetap semasa dan membuat cadangan yang sesuai untuk pindaan Peraturan Tetap bagi memperkasa badan legislatif atau menjadikan pengawasan legislatif lebih cekap di Selangor.


Pendengaran JP-ABAS - yang saya hadiri - berkaitan dengan Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) 
telah diadakan di ibu pejabat di Shah Alam pada September 2014. (Foto Kredit: Saari Sungib)


Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kuasa dan keistimewaan Dewan. Biasanya seseorang atau agensi akan dirujuk kepada jawatankuasa ini apabila mereka tidak mematuhi Peraturan Tetap. Sebagai contoh, seorang ADUN boleh dirujuk kepada jawatankuasa itu jika dia membuat kenyataan semasa sesi perhimpunan DUN yang melanggar Peraturan Tetap. Ketua mana-mana agensi kerajaan negeri atau anggota EXCO atau bahkan MB juga akan dirujuk kepada jawatankuasa ini, jika apabila mereka dipanggil ke sidang jawatankuasa terbabit, gagal muncul berulang kali tanpa alasan yang sah.

Di samping jawatankuasa pilihan, terdapat empat jawatankuasa pilihan khas, termasuk:

  1. Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan   Ketelusan Selangor (SELCAT)
  2.  Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan
  3.  Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Dewan
  4.  Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor
SELCAT ditubuhkan untuk melaksanakan pendengaran terbuka mengenai isu-isu khas di Selangor berhubung dengan kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan negeri. Adalah dimandatkan bahawa pendengaran SELCAT dilakukan secara terbuka dan disiarkan secara langsung supaya rakyat Selangor boleh menonton pendengaran terbabit.

SELCAT telah mengadakan banyak pendengaran sejak pembentukannya. Satu perbicaraan yang patut diberi perhatian ialah perbicaraan mengenai Pelaksanaan Integrity Pact Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 25 Mac 2014. Perbicaraan ini dilakukan untuk menyiasat dakwaan yang meluas di media bahawa bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyalahgunakan kuasa beliau di PKNS untuk memecat MB penggantinya Datuk Seri Azmin Ali, daripada lembaga pengarah PKNS, serta beberapa aduan lain. Kedua-dua mereka telah dipanggil dan hadir untuk memberi keterangan kepada SELCAT mengenai perkara ini. Seluruh proses itu disiarkan secara langsung.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan amalan legislatif sedemikian? Bayangkan sebuah jawatankuasa pilihan di Parlimen yang dapat memanggil Perdana Menteri untuk mempersoalkannya mengenai 1MDB dan skandal derma peribadi dan keseluruhan pendengarannya adalah secara langsung. Itulah betapa besarnya erti mekanisme semak imbang ini.

Bagi jawatankuasa pilihan khas yang lain, Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pembasmian Kemiskinan telah ditubuhkan untuk menyiasat isu-isu kemiskinan yang berlainan di Selangor dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk memperbaiki program kebajikan negeri manakala Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Dewan adalah untuk menangani isu pentadbiran Dewan.

Jawatankuasa Pilihan Pengurusan Sumber Air dibentuk pada akhir tahun 2014 kerana isu bekalan air menjadi sangat penting dan serius bagi kerajaan Selangor. Pada mulanya, jawatankuasa ini hanya menyiasat perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan air mentah di Selangor tetapi kemudian meluaskan skopnya pada Ogos 2015 ke semua bidang pengurusan air, termasuk rawatan air dan pengedaran, apabila kerajaan Selangor mengambil alih sebahagian industri air.

Selepas perbicaraan dan penyiasatan, jawatankuasa pilihan (khas) boleh membuat keputusan sama ada untuk membuat laporan ke DUN. Bagi isu-isu yang memerlukan perhatian DUN, laporan akan dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan dalam Dewan. Setelah lulus, ia akan dimuat naik ke laman web Dewan Negeri Selangor. Semua ini dilakukan secara telus.

Dengan jawatankuasa pilihan yang berfungsi, pihak legislatif boleh secara sistematik memberikan pengawasan kepada eksekutif dari berbagai bidang pentadbiran dan memastikan mereka bertanggungjawab terhadap Dewan.

Pengerusi PAC

Di bawah pimpinan Hannah Yeoh Tseow Suan, Speaker Dewan Negeri Selangor, kuasa jawatankuasa pilihan telah diperkuatkan lagi melalui beberapa siri pindaan kepada Peraturan Tetap.

Salah satu pindaan yang paling ketara ialah pindaan Peraturan Tetap yang memberi mandat pelantikan ketua pembangkang sebagai pengerusi PAC, sejajar dengan amalan negara maju lain.

Pindaan ini adalah penting kerana ia akan memperkuat keupayaan PAC untuk memberi semak imbang kepada kerajaan. Pemimpin pembangkang di Selangor kini boleh menggunakan PAC untuk menyiasat semua perkara yang berkaitan dengan dana awam.

PAC, dan bahkan semua jawatankuasa terpilih, mempunyai kuasa untuk memanggil pegawai-pegawai dari agensi kerajaan negeri, badan berkanun, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau mana-mana badan berkaitan yang di bawah takluk kerajaan Selangor. (Pegawai yang gagal memberi maklum balas kepada saman jawatankuasa pilihan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.)

Malangnya, hanya empat hari selepas pindaan penting pada 4 Disember 2015, ketua pembangkang Selangor ketika itu, ADUN Sungai Burong Datuk Mohd Shamsuddin Lias meletak jawatan sebagai ketua pembangkang. Selepas itu, UMNO dan BN enggan melantik semula ketua pembangkang, menjadikan Dewan Negeri Selangor satu-satunya Dewan Negeri di seluruh negara yang tidak mempunyai ketua pembangkang.

Mengapa UMNO menolak untuk menerima jawatan pengerusi PAC? Atas alasan yang mudah bahawa jika UMNO menerima jawatan itu, mereka perlu membuat pindaan yang sama di negeri-negeri yang mereka tadbir dan yang paling penting, di Parlimen.

Sekarang bayangkan ketua pembangkang Parlimen Datuk Seri Dr Wan Azizah menjadi pengerusi PAC di Parlimen dan bukan si pengerusi PAC "cari makan", apa yang akan berlaku kepada penelitian legislatif ke atas 1MDB?

Jika skandal 1MDB berlaku di Selangor, SELCAT akan menyiasatnya melalui satu siri pendengaran awam; semua pegawai yang berkaitan, termasuk Perdana Menteri, akan dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan jawatankuasa itu dan semua perbicaraan akan disiarkan secara langsung supaya semua orang dapat menontonnya.

Ini adalah bagaimana jawatankuasa pilihan boleh memperkasa cabang legislatif untuk memberi semak imbang kepada cabang eksekutif. Ingat, kuasa merosakkan dan kuasa mutlak merosak secara mutlak.

Memperkasa Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas

Tidak boleh ditekankan lagi betapa besarnya kepentingan jawatankuasa pemilhan dalam badan legislatif. Sayangnya, setakat ini, Parlimen hanya mempunyai lima jawatankuasa pilihan, iaitu PAC, Jawatankuasa Peraturan Tetap, Jawatankuasa Pemilihan, Jawatankuasa Keistimewaan dan Jawatankuasa Dewan. Hanya satu jawatankuasa pilihan, iaitu PAC, yang memainkan peranan pemeriksaan eksekutif dan begitu pun, ia kini diketuai oleh pengerusi "cari makan". 

Kerajaan Persekutuan mempunyai bidang kuasa yang lebih luas daripada kerajaan negeri, oleh itu bilangan jawatankuasa pilihan di Parlimen Malaysia sepatutnya jauh lebih banyak berbanding DUN Selangor. Apakah jawatankuasa pilihan yang harus dibentuk di Parlimen Malaysia? Kita boleh merujuk senarai jawatankuasa terpilih dalam Parlimen negara-negara yang mempunyai sistem Parlimen Westminster yang sama seperti Malaysia - United Kingdom (UK), Australia, Canada dan New Zealand. Oleh kerana Dewan Negara tidak dipilih di Malaysia, kita akan menghadkan perbincangan setakat Dewan Rakyat, yang bersamaan dengan Dewan Rakyat di Malaysia. Berikut adalah jawatankuasa pilihan di Dewan Perwakilan di empat negara ini.

Secara keseluruhan, jawatankuasa terpilih negara-negara ini bertujuan untuk menjadikan setiap aspek tadbir urus eksekutif dapat dipertanggungjawabkan oleh skop kerja dan tujuan khusus.

Bagi kita di Malaysia, kita boleh mulakan dengan membentuk jawatankuasa pilihan tambahan mengikut kementerian untuk menjadikan semua menteri bertanggungjawab kepada badan legislatif dengan cara yang sistematik.

Kita juga harus membentuk jawatankuasa pilihan khas untuk tujuan khas seperti: -

  1. Menyediakan saluran bagi kumpulan yang tidak bersuara seperti orang asal, pelarian, orang tanpa kerakyatan, kanak-kanak dan lain-lain;
  2. Mengetengahkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Sabah dan Sarawak;
  3. Memantau sistem demokrasi dari segi keadilan, institusi dan sebagainya; dan
  4. Menyediakan pengawasan terhadap tadbir urus badan berkanun dan GLC kerana mereka juga mengendalikan banyak kekayaan awam.

Jadual di bawah adalah cadangan saya mengenai jawatankuasa pilihan yang perlu kita buat di Parlimen.

Jadual 2 Cadangan Jawatankuasa Pilihan dan Jawatankuasa Pilihan Khas di Parlimen
Cadangan Jawatankuasa Pilihan (Mengikut Kementerian)

1.     Pendidikan
2.     Kewangan  
3.     Hal-ehwal Dalam Negeri
4.     Kerjaraya
5.    Kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan
6.     Tenaga kerja
7.     Perdagangan antarabangsa dan industri
8.     Komunikasi dan multimedia
9.     Pelancongan dan budaya
10.  Pertahanan
11.  Sumber asli dan alam sekitar
12.  Sains, teknologi dan inovasi

13.  Perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan
14.        Kesihatan
15.        Wilayah Persekutuan
16. Wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat
17.           Pengangkutan
18.           Pertanian dan industri asas-tani
19.           Industri ladang dan komoditi
20.           Pembangunan desa dan luar bandar
21.           Tenaga, teknologi hijau dan air
22.            Belia dan sukan
23.           Jabatan Perdana Menteri
Cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas

1.     Hal ehwal Sabah dan Sarawak
2.     Hal ehwal orang asli
3.     Hal ehwal kanak-kanak

4.              Pelarian, imigran dan kerakyatan
5.              Penambahbaikan pilihanraya dan institusi
6.              Badan berkanun dan GLC

Dengan jawatankuasa pilihan yang dicadangkan dan jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan di Parlimen, kita boleh meneliti cabang eksekutif mengikut pelbagai bidang pentadbiran dengan lebih cekap secara sistematik dan berkesan.

Menginstitusikan kerajaan yang telus

Di samping jawatankuasa pilihan dan pindaan peraturan tetap yang diperlukan untuk mengukuhkan badan legislatif, adalah juga penting untuk menginstitusikan ketelusan kerajaan melalui pembaharuan undang-undang.

Selangor dan Pulau Pinang telah meluluskan Undang-undang Kebebasan Maklumat (FOI) pada 1 April 2011 dan 4 November 2011 dan kami kekal sebagai dua negeri di Malaysia yang telah membuat undang-undang ini. Ia membolehkan orang ramai memohon akses kepada dokumen yang dikuasai oleh kerajaan negeri Selangor/Pulau Pinang .

Walau bagaimanapun, jika dokumen persekutuan terlibat, Akta Rahsia Rasmi (OSA) akan diguna pakai. OSA memberikan Kerajaan Persekutuan kuasa untuk mengklasifikasikan mana-mana dokumen rasmi sebagai rahsia dan menjadikannya satu kesalahan untuk mendedahkan dokumen terbabit. Undang-undang itu sepatutnya digunakan untuk dokumen yang berkaitan dengan ketenteraan atau keselamatan negara, tetapi ia telah digunakan bahkan untuk mengklasifikasikan perjanjian konsesi lebuh raya dan persetujuan awam-swasta oleh Kerajaan Persekutuan.

Oleh itu, setakat ini, tidak ada cara untuk mendapatkan dokumen pemerolehan awam sepenuhnya bagi projek-projek persekutuan. OSA mesti dipinda untuk mengehadkan dokumen jenis apa yang boleh diklasifikasikan sebagai rahsia dan untuk mendesentralisasikan kuasa siapa yang boleh mengklasifikasikan dokumen-dokumen ini.

Setelah kami menggubal FOI di Selangor, masih terdapat kelemahan dalam pelaksanaannya. Ini telah menyebabkan SELCAT menjalankan pendengaran terbuka pada 27 Januari 2015 dan memberi cadangan kepada kerajaan dengan membentangkan laporan SELCAT kepada Dewan. Selepas itu, kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki pelaksanaannya.

Ini adalah bagaimana penambahbaikan berterusan yang dimulakan oleh badan legislatif berfungsi di Selangor. Adakah FOI sempurna di Selangor sekarang? Sudah tentu tidak, malah jauh dari itu, tetapi kami mempunyai mekanisme yang membolehkan maklum balas, peningkatan dan kemajuan yang lebih baik. Pada masa akan datang, undang-undang FOI juga mesti digubal di peringkat persekutuan.

Bukan sahaja FOI, kita juga perlu memperkenalkan undang-undang Ombudsmen. Perkataan "Ombudsman" berasal dari Sweden. Ia mula-mula digunakan dalam erti kata moden pada tahun 1809 apabila Parlimen Sweden menubuhkan pejabat Justitieombudsman untuk melindungi rakyat dari kerajaan, termasuk pelanggaran hak asasi manusia, penyalahgunaan kuasa, keputusan yang tidak adil dan mengelirukan.

Ombudsman mewakili kepentingan orang ramai dengan menyiasat dan menangani aduan. Selepas Sweden, banyak negara lain turut mengadopsi konsep Ombudsman. Sekarang lebih daripada 150 buah negara mempunyai institusi Ombudsman yang sedia ada. Institusi Ombudsman memainkan peranan penting dalam memastikan tindakan pemerintah lebih terbuka dan pentadbirannya lebih bertanggungjawab kepada masyarakat.

Peningkatan selanjutnya terhadap ketelusan kerajaan adalah untuk beralih ke arah kerajaan terbuka. Undang-undang FOI memberi mandat kepada kerajaan untuk menyediakan dokumen dan maklumat apabila rakyat memohon untuk mendapatkan akses kepada mereka sedangkan doktrin kerajaan terbuka melangkah lebih jauh dengan mempunyai kerajaan secara proaktif yang telus dan mendedahkan seberapa banyak maklumat yang mungkin.

Undang-undang untuk melembagakan kerajaan terbuka sering dipanggil Undang-undang Sunshine. Sunshine adalah pembasmian kuman yang terbaik; apabila terdapat tahap ketelusan dan keterbukaan dalam kerajaan, rasuah dan amalan buruk yang lain dapat dikurangkan.

Sebagai kesimpulan, dengan akta FOI, institusi Ombudsman dan hukum Sunshine, mereka yang berkuasa akan dipaksa untuk menjadi bersih dan cekap kerana tindakan mereka akan telus kepada orang awam dan terbuka untuk diteliti.