BAB 4
SEPARUH DARI POPULASI DUNIA – WANITA
“Dunia ini tidak mungkin mencapai 100%
daripada sasarannya, jika 50% daripada populasinya tidak dapat merealisasikan
potensi mereka sepenuhnya.”
- Ban
Ki Moon, Bekas Setiausaha Agung UN -
Apabila
kita berbicara tentang kesaksamaan gender, hak wanita, dan pemerkasaan wanita,
pelbagai orang termasuk lelaki dan wanita selalu mempersoalkan, “Bukankah kita
sudah saksama?” Lagipun di Malaysia, kedua-dua gender dapat belajar di sekolah
awam serta bertanding ataupun mengundi selepas dewasa.
Disebabkan
oleh cara saya dibesarkan, saya tidak menyangka satu hari nanti saya akan
menjadi salah seorang yang memperjuangkan masalah kesaksamaan gender.
Sehinggalah satu hari apabila saya terbaca beberapa carta dalam Laporan Jurang Gender Global yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia pada tahun 2012.
Mungkin sifat semula jadi seorang latihan jurutera, seringkali, hanya nombor
dan carta boleh lebih meyakinkan saya. Dan carta itu telah menunjukkan korelasi
positif yang jelas di antara kesaksamaan gender berbanding dengan KDNK per
kapita, Indeks Daya Saing Global dan Indeks Pembangunan Manusia. Dalam erti
kata lain, negara yang mempunyai kesaksamaan gender yang lebih baik biasanya
lebih kaya, lebih kompetitif dan mempunyai taraf hidup yang lebih baik.
Walaupun korelasi bukannya sebab dan akibat, trend ini
selaras dengan peningkatan bukti-bukti yang menunjukkan pemerkasaan wanita
mampu mendorong ke arah penggunaan modal insan negara yang lebih cekap dan dengan
pengurangan jurang gender, boleh meningkatkan pertumbuhan dan pembangunan
ekonomi.
Apabila kita memperkasakan wanita, maka negara kita akan
lebih maju. Pandangan ini bukanlah hanya berdasarkan moral, falsafah ataupun
ideologi, tetapi berdasarkan bukti empirikal dan kisah-kisah kejayaan di
seluruh dunia. Berdasarkan petikan PBB pada sasaran yang ke-5 daripada 17
Sasaran Pembangunan Mampan – Mencapai kesaksamaan gender dan memperkasakan
semua wanita dan perempuan,
“Kesaksamaan gender bukan sahaja perkara asas kepada hak asasi manusia, tetapi keperluan asas pada sebuah dunia yang damai, makmur dan mampan. Dengan adanya penyediaan akses yang setara kepada kaum wanita dan perempuan dalam pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan yang bagus dan perwakilan dalam politik serta proses membuat keputusan ekonomi, akan menghasilkan ekonomi mampan dan membawa manfaat yang besar terhadap manusia dan masyarakat.”
Bagaimanakah situasi Malaysia dari segi kesaksamaan gender?
Menurut Laporan Jurang Gender Global 2016 oleh WEF, Malaysia menduduki tempat
106 daripada 144 negara dalam kesaksamaan gender, dan ini meletakkan kita di
kedudukan suku bawah dalam negara-negara yang telah dinilai.
Kedudukan ini adalah berdasarkan kombinasi keempat-empat
kategori termasuk ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik, di mana kita menduduki tempat ke-80, 89, 109 dan 134 daripada 145 negara-negara yang tersenarai.
Jika kita mengkaji indeks jurang gender ini secara lebih mendalam, walaupun
kita menduduki tempat bawah berbanding dengan negara-negara lain dalam
pendidikan dan kesihatan, skor kesaksamaan gender kita sebenarnya dekat dengan
satu (kesaksamaan) dalam kategori-kategori tersebut. Walaupun begitu, dalam
bidang ekonomi dan politik, jurang gender ini terlalu luas untuk diabaikan, dengan
skor sebanyak 0.6558 daripada 1 bagi ekonomi dan 0.051 daripada 1 bagi politik.
Data sejarah indeks jurang gender Malaysia telah menunjukkan bahawa walaupun wanita di Malaysia semakin berpendidikan,
malah mungkin lebih baik daripada lelaki, namun tetap tiada pembaikan
signifikan bagi ekonomi dan politik dalam jurang gender. Menurut data Bank
Dunia, kadar pendaftaran kemasukan sekolah menengah dan pengajian tinggi di
Malaysia di antara wanita masing-masing adalah 81% dan 32% manakala lelaki pula
adalah lebih rendah iaitu masing-masing 75% dan 21%.
Ini menunjukkan walaupun tiada halangan yang ketara,
diskriminasi secara langsung dan sesuatu corak rumit telah menjadi halangan
yang terselindung bagi wanita di Malaysia daripada mencapai potensi penuh
mereka di dalam ekonomi dan politik. Apabila separuh daripada kolam bakat tidak
mencapai potensi sepenuhya, pencapaian negara kita akan berada di tahap
suboptima.
Bahagian buku ini membincangkan tentang hal ehwal wanita dari
segi kepimpinan, politik dan ekonomi serta hal-hal lain yang penting untuk
pemerkasaan dan perlindungan wanita di Malaysia.
Pemimpin yang memakai skirt
Saya
membesar di sebuah pekan kecil, di mana tugas wanita di sini hanyalah untuk
memasak dan menjaga keluarga. Semasa membesar, saya melihat wanita-wanita di
sekeliling saya menghidangkan makanan untuk suaminya, membuat kerja rumah dan
menjaga kanak-kanak sementara lelaki-lelaki di sini pula tidak perlu bertanggungjawab atau mengambil bahagian dalam mana-mana tugas rumah.
Walaupun
ketika saya sedang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Petronas, saya
sudah merasakan politik sangat penting dalam membawa perubahan ke dalam negara
kita melalui penukaran sistemik dan polisi. Namun, saya tidak pernah
membayangkan sebagai seorang wanita, saya juga akan menjadi seorang penyumbang
ke arah perubahan dengan memegang jawatan saya kini, dan bukannya
berperwatakan sebagai seorang isteri ataupun anak perempuan.
Anda
mungkin merasakan Yeo Bee Yin yang muda ketika itu lucu kerana berpemikiran
konservatif, tetapi saya merasakan aspirasi yang dirasai oleh seseorang, tidak
kiralah budak lelaki ataupun budak perempuan, adalah berkait rapat dengan
suasana sekeliling. Saya masih ingat bagaimana keluarga kami begitu bangga
suatu ketika dahulu apabila mak cik saya, Yeo Swee Lan, berjaya menjadi wanita
pertama di pekan kecil kami yang telah memasuki universiti pada tahun 1980-an.
Saya sedar pada saat itu, sekiranya saya bekerja keras, saya juga mampu
memasuki universiti. Akhirnya, saya berjaya menjejakkan kaki ke universiti.
Anak saudara yang bangga dengan ibu
saudara saya, Yeo Swee Lan, lulusan universiti
wanita pertama di Batu Anam. Itu saya (paling kanan) di barisan hadapan!
wanita pertama di Batu Anam. Itu saya (paling kanan) di barisan hadapan!
Pada
zaman purba, Plato telah menyampaikan satu kiasan tentang sebuah gua, di mana
sekumpulan manusia telah dirantai di dalam gua menghadap dinding.
Manusia-manusia ini hanya boleh melihat bayang-bayang objek di luar gua. Mereka
ingat yang bayang-bayang itu adalah realiti, oleh itu mereka tidak mempunyai
sebarang keinginan untuk melarikan diri daripada gua itu, kerana mereka tidak
mempunyai sebarang pengetahuan tentang dunia luar.
Pendedahan
dan pendidikan mampu membentuk ufuk kehidupan seseorang. Sering kali, kesemuaan
peluang-peluang ini tidak dalam kawalan kehidupan seseorang gadis; ianya
terpulang kepada nasib kelahiran, seperti keluarga mana gadis itu dilahirkan
dan di bawah sistem apa gadis itu dibesarkan.
Seseorang
gadis yang lahir di Zimbabwe boleh juga berbakat seperti gadis yang lahir di
Norway. Tetapi peluang untuk seorang gadis Zimbabwe bagi mencapai apa yang
boleh dicapai oleh gadis Norway adalah hampir mustahil.
Tidak
akan adanya kebebasan yang sebenar tanpa pendedahan yang sebenar.
Apabila
gadis-gadis ini hanya boleh melihat bayang-bayang realiti, maka mereka tidak
mampu mengetahui apa yang mereka ingin lakukan dalam hidup. Ini sebenarnya
adalah apa yang ingin saya tekankan – banyak gadis memerlukan seseorang untuk
dijadikan teladan supaya mereka tahu bahawa impian tersimpan di dalam hati yang
ingin mereka kecapi bukanlah sesuatu yang mustahil dan mereka juga berpontensi
untuk mencapainya.
Saya
masih ingat kartun Walt Disney yang sering saya tontoni semasa kecil, watak
utama wanita dalam kartun-kartun itu selalunya perlu mencari kstaria ataupun
putera raja supaya akhirnya mereka boleh hidup bahagia selama-lamanya. Saya
gembira kini Disney telah menukarkan gaya jalan ceritanya. Dari pelbagai
kisah-kisah seperti Elsa dalam “Frozen” sehinggalah ke Moana, kita dapat
melihat mula wujudnya watak-watak wanita yang mencapai matlamat hidup mereka
dengan menjadi lebih bijak, berani dan rajin, dan bukannya hanya dengan menjadi
cantik ataupun kahwin dengan sesiapa.
Ini
merupakan satu penukaran budaya yang saya yakin akan membuahkan hasil yang baik pada
masa hadapan. Berbanding dengan generasi saya, kebanyakannya dahulu hanya
boleh melihat bayangan kejayaan yang mampu dicapai, gadis generasi kini
membesar dengan ufuk kehidupan yang lebih luas.
Semasa
di rancangan Ted Talk, Madeleine Albright pernah memberitahu
penonton-penontonnya, suatu ketika dahulu, cucunya pernah bertanya kepadanya,
“Apa yang begitu istimewanya menjadi Setiausaha Negara wanita yang pertama?
Kebanyakan Setiausaha Negara adalah wanita!” Cucunya membesar dengan bayangan
Setiausaha Negara wanita - Madeleine Albright, Condolezza Rice dan Hillary
Clinton. Di tanah air kita, Hannah Yeoh Tseow Suan telah menjadi speaker wanita
yang pertama untuk Dewan Undangan Negeri Selangor pada generasi kita.
Kanak-kanak perempuan yang membesar kini tahu bahawa jikalau mereka mahu,
mereka juga boleh menjadi Hannah Yeoh yang seterusnya.
Apabila
generasi wanita kita memusnahkan lebih banyak siling kelas, maka generasi gadis
hadapan akan lebih diperkasakan dalam mencapai lebih banyak perkara. Dan
apabila seseorang gadis mampu mencapai lebih banyak, secara semula jadinya
masyarakat akan menjadi lebih baik keseluruhannya.
Berbicara
tentang teladan, saya ingin berkongsi satu kisah peribadi yang tidak begitu
saya banggakan. Semasa saya bertanding untuk posisi ketua DAPSY (Democratic
Action Party Socialist Youth) pada November 2015, saya perlu berjumpa dengan
banyak delegasi-delegasi bagi mengongsikan manifesto saya dan cara saya hendak
memimpin DAPSY. Seringkali ketika itu, saya akan dengan sengaja memilih untuk
memakai seluar panjang dan bukannya dress (ataupun skirt).
Selepas
pemilihan itu, saya mula mengimbas kembali pengalaman saya, dan saya mula
sedari yang saya telah mengaitkan pemakaian seluar menandakan kekuatan dan
kepimpinan manakala memakai pakaian skirt akan merendahkan seseorang. Persepsi
tanpa sedar sedemikian mungkin disebabkan saya membesar dengan melihat lebih
banyak lelaki yang berseluar memegang posisi kepimpinan berbanding dengan
wanita. Walaupun saya sedar yang wanita juga mampu menjadi seorang pemimpin,
fikiran tersirat saya meyakinkan saya sekiranya wanita mahu menjadi seorang
pemimpin, dia perlulah berperangai seperti seorang lelaki juga.
Pemikiran
seperti ini tersangat silap!
Ketika
itulah saya membuat keputusan untuk tidak lagi berasa malu untuk menjadi
seorang pemimpin yang memakai pakaian-pakaian wanita serta bertumit tinggi.
Sudah pasti, saya tidak akan memakai pakaian-pakaian ini apabila membuat
lawatan tapak ataupun apabila menghadiri majlis yang lebih sesuai dengan
pakaian berseluar atau jeans. (Kesian juga kepada kaum lelaki yang tidak
mempunyai pilihan lain selain seluar!)
Tetapi
secara keseluruhan, pemikiran bahawa kekuatan seseorang pemimpin boleh
ditonjolkan dengan berpakaian maskulin tidak seharusnya wujud.
Saya
berharap kanak-kanak lelaki ataupun kanak-kanak perempuan generasi seterusnya
di Malaysia boleh membesar dengan kehadiran pemimpin-pemimpin yang berseluar
ataupun berpakaian wanita dalam hidup mereka. Dan kanak-kanak perempuan yang
membesar ini juga seharusnya yakin bahawa mereka tidak perlu kehilangan sifat
ataupun identiti kewanitaan dalam diri mereka jika mereka ingin menjadi seorang
pemimpin satu hari nanti. Namun, apa yang paling penting, kesemuaan kanak-kanak
kita harus sedar bahawa apa yang paling penting pada seseorang pemimpin adalah
cara mereka membawa perwatakan mereka, pendirian yang dipegang oleh mereka,
tindakan yang diambil oleh mereka, dan bukannya berdasarkan gender mereka.
Politik tidak seharusnya menjadi
permainan pak cik - pak cik sahaja
Semasa saya baru menyertai DAP, saya mula menghadiri beberapa
jamuan makan malam dan mesyuarat yang dianjurkan oleh parti. Salah satu
persepsi utama saya terhadap DAP adalah mengapa majoriti mereka yang terlibat
merupakan kaum pak cik? Kita kekurangan wakil-wakil wanita dan anak-anak muda.
Semakin panjang perjalanan saya di dalam politik, saya
menyedari “fenomena pak cik - pak cik sahaja” ini bukannya terdapat di dalam
DAP sahaja, malah juga di dalam parti-parti politik Malaysia yang lain. Malah,
kekurangan wakil-wakil wanita di dalam politik berlaku di seluruh dunia; cuma, Malaysia jauh lebih rendah iaitu
hanya 10% wanita yang mewakili posisi ahli parlimen berbanding dengan purata
dunia iaitu 22.8% setakat Jun 2016.
Jadual di bawah menunjukkan pecahan wakil-wakil wanita
mengikut kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal terkini. Kecuali
DUN Selangor yang mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita
sebanyak 27%, di mana ianya adalah satu trend yang positif. DUN yang lain pula masih jauh lebih rendah berbanding Selangor.
Jadual 1 Wakil-wakil wanita
Dewan Legislatif
|
Wakil Wanita
|
Jumlah Kerusi
|
Peratus Wanita
|
Parlimen
|
23
|
222
|
10%
|
Perlis
|
2
|
15
|
13%
|
Kedah
|
4
|
36
|
11%
|
Pulau Pinang
|
6
|
40
|
15%
|
Kelantan
|
3
|
45
|
7%
|
Perak
|
7
|
59
|
12%
|
Selangor
|
15
|
56
|
27%
|
N.Sembilan
|
2
|
36
|
6%
|
Melaka
|
2
|
28
|
7%
|
Johor
|
9
|
56
|
16%
|
Pahang
|
5
|
42
|
12%
|
Terengganu
|
0
|
32
|
0%
|
Sabah
|
4
|
60
|
7%
|
Sarawak
|
7
|
71
|
10%
|
Sumber: Wanita DAP
Kita perlukan lebih banyak wanita dalam politik. Seperti yang
diperkatakan sejak awal, merapatkan jurang gender memanfaatkan masyarakat
secara keseluruhan. Selain daripada itu, khususnya dalam politik, kita perlukan
perwakilan yang lebih kepelbagaian untuk 2 sebab-sebab yang ketara.
Pertamanya, kita perlukan lebih banyak wakil wanita dalam
politik untuk menjadi suara kepada para gadis dan wanita supaya lebih banyak
isu-isu yang spesifik terhadap wanita seperti keganasan rumah tangga, rogol,
penjagaaan kanak-kanak, cuti bersalin, diskriminasi gender di tempat kerja dan
sebagainya, boleh dibangkitkan pada perbadanan yang membuat keputusan
tertinggi.
Keduanya, keputusan dan polisi yang lebih baik boleh dibuat
apabila terdapatnya peningkatan kepelbagaiaan pada perbadanan yang membuat keputusan.
Sebagai contoh, Finland adalah salah satu negara-negara pertama di mana wanita
boleh mengundi dan menjadi calon pada pilihan raya. Dengan lebih kurang 60%
menteri wanita, mereka mempunyai salah satu sistem pendidikan sekolah awam yang
terbaik di dalam dunia – Program Penilaian Pelajar Internasional (Program for
International Student Assessment, PISA) bagi pelajar-pelajar mereka sering
mendapat posisi teratas ataupun sekurang-kurangnya menghampiri posisi teratas
dalam kedudukan PISA. Tambahan, mereka mempunyai kualiti penjagaan kanak-kanak
yang bagus, pada masa yang sama mampu dimiliki dan dimanfaatkan oleh semua.
(Saya akan membincangkan kepentingan bagi memiliki penjagaan kanak-kanak serta
pendidikan yang mampu dimiliki oleh semua.)
Kes-kes sama
serupa juga boleh dijumpai di negara-negara Skandinavia yang lain. Dengan
perwakilan wanita-wanita yang tinggi pada pejabat awam, negara-negara ini
merupakan salah satu negara yang mempunyai perubatan awam, sistem pendidikan
serta kebajikan sosial yang terbaik di dunia. Kajian Li-Ju menunjukkan
terdapatnya kolerasi empirikal bahawa peningkatan peratusan penggubal
undang-undang wanita juga meningkatkan perbelanjaan negara ke atas kesihatan,
pendidikan, kebajikan sosial dan mengurangkan perbelanjaan terhadap pertahanan
berkaitan dengan KDNK.
Sebenarnya, lebih ramai wanita yang mengundi berbanding
lelaki pada PRU-13 – Peratusan wanita mengundi berbanding dengan jumlah undi
adalah 51.7%. Sekiranya wanita Malaysia begitu prihatin dalam mengundi, mengapa
mereka tidak mahu aktif mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti politik?
Malah, kebanyakan wanita-wanita kita tidak meminati berita-berita politik. Saya
merupakan pakar strategi media sosial untuk DAP dan telah menganalisasi begitu
banyak laman Facebook yang dimiliki oleh parti politik mahupun
pemimpin-pemimpin parti politik. Salah satu trend yang selalu dilihat pada
pengikut media sosial pada laman Facebook politik adalah biasanya, akan
terdapat ¼ sahaja pengikut-pengikut wanita dan ¾ pengikut-pengikut lelaki.
Jadi mungkin politik memang tidak sesuai untuk wanita dan
kita tidak boleh berbuat apa-apa tentangnya? Saya ingin memberikan perspektif
yang berbeza mengenai perkara ini.
Saya ingin mengutarakan satu pandangan di mana wanita tidak
minat menyertai aktiviti-aktiviti politik kerana mereka tidak dapat mencari
hubungkait dalam politik. Ini adalah kerana terlalu sedikit ahli politik
seperti kita yang berbincang mengenai perkara-perkara yang benar-benar
diprihatini oleh wanita.
Malah ahli-ahli politik wanita juga sering dikenakan
prasangka sehingga akhirnya mereka berkelakuan seperti lelaki dan bercakap
tentang isu-isu yang lebih keras berbanding isu-isu lembut seperti penjagaan
kanak-kanak, rogol, kebajikan, penjagaan kesihatan dan sebagainya. Kisah saya mengenai
pemakaian-seluar-bagi-menonjolkan-kepimpinan semasa pertandingan DAPSY hanyalah
salah satu daripada begitu banyak contoh.
Apabila hanya terdapat sekumpulan kecil wanita yang aktif
dalam politik, maka hanya terdapat beberapa wanita sahaja yang boleh mencapai
kedudukan yang tinggi dan menjadi pemimpin; apabila hanya terdapatnya beberapa
orang pemimpin wanita, kita akan kekurangan model atau teladan untuk wanita dan
isu-isu yang benar-benar diprihatini oleh wanita akan diketepikan. Akhirnya,
semakin sedikit wanita berminat terhadap politik.
Ini adalah sama seperti perumpamaan kitaran ayam dan telur
yang selalu kita dengari. Bagaimanakah kita mahu keluar daripada kitaran ini?
Di sini saya mempunyai satu cadangan yang kontroversial.
Campur tangan khas yang akan meningkatkan wanita dalam
politik
Salah satu langkah khas paling popular yang digunakan oleh
banyak negara merupakan sistem kuota, dimana boleh dipraktiskan dengan pelbagai
cara. Kini, hampir separuh daripada negara-negara di seluruh dunia mempraktiskan
pelbagai jenis sistem kuota gender dalam pilihan raya mengikut Institut
Antarabangsa Demokrasi dan Bantuan Pemilihan. Salah satu penerbitan Parlimen
Australia telah mengeluarkan statistik bagi menunjukkan keberkesanan kuota
wanita dalam meningkatkan perwakilan-perwakilan wanita.
“…… peningkatan
perwakilan wanita yang tertinggi terjadi pada negara-negara yang telah
mengimplikasikan kuota, sama ada melalui perundangan ataupun secara sukerela. 9
daripada 10 negara-negara dengan peningkatan ahli parlimen wanita telah
melaksanakan kuota pilihan raya, manakala bilangan ahli parlimen wanita dalam 7
daripada 10 dewan rakyat menurun kerana ketiadaan implikasi sistem kuota.
Daripada 48 negara-negara di mana pilihan raya dijalankan, wanita memenangi 24
peratus kerusi parlimen di negara-negara di mana kuota digunakan dan 12 peratus
kerusi parlimen sahaja apabila tanpa kuota.”
Pendek kata, walaupun ianya kontroversial, terdapat merit
dalam sistem kuota pilihanraya gender bagi mempercepatkan proses meningkatkan
perwakilan wanita dan supaya kita dapat melepaskan diri daripada kebingungan
kitaran ayam-dan-telur yang sedang kita alami kini.
Kata kunci untuk ini adalah SEMENTARA
Sebagai seorang yang sangat mempercayai sistem meritokrasi,
pertama kalinya apabila saya mengenali langkah itu sebagai satu pilihan bagi
meningkatkan perwakilan wanita dalam politik, reaksi pertama adalah untuk
mengusirnya.
Namun, seperti yang telah diperbincangkan,
meningkatkan perwakilan wanita di dalam politik adalah bagus pada saat ini demi
negara secara keseluruhan, kerana telah terbukti bahawa kuota merupakan cara
yang paling efektif bagi mengecapinya. Tetapi bagaimanakah kita mahu mencapai
satu keseimbangan di antara meritokrasi dan kuota? Saya ingin mencadangkan satu
kuota gender sementara. Kata kuncinya adalah SEMENTARA. (Saya perlu menegaskan
perkataan ini.)
Artikel 4 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
mengenai penghapusan dalam semua bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW)
telah mengiktiraf keperluan langkah-langkah khas, tetapi langkah-langkah ini
mestilah bersifat sementara dan “perlu dihentikan apabila objektif kesamaan
peluang dan layanan telah dicapai”.
Objektif kuota adalah untuk meningkatkan perwakilan wanita
dengan lebih cepat berbanding dengan tempoh proses yang akan diambil secara semula jadi (tanpa campur tangan). Sekiranya lebih banyak wanita yang
terlibat dalam kepimpinan politik dan menjadikan politik lebih relevan terhadap
wanita dengan menimbulkan isu-isu yang diprihatini oleh wanita, maka ini akan
memberikan lebih banyak inspirasi kepada wanita untuk menjadi pemimpin politik
dan seterusnya menghasilkan lebih banyak inspirasi. Kitaran positif seperti
inilah yang ingin kita capai dengan pelaksanaan sistem kuota.
Walaubagaimanapun, sebarang tindakan afirmatif mestilah dalam
tempoh SEMENTARA sahaja. Sekali lagi ingin saya tegaskan, S-E-M-E-N-T-A-R-A.
“Tempoh kuota” ini seharusnya digunakan bagi membina satu struktur dan budaya,
juga bagi menghapuskan halangan tersirat dan membenarkan pembangunan wanita
secara tersendiri apabila tempoh kuota berakhir.
DAP adalah satu-satunya parti di Malaysia yang mempraktiskan
kuota dalam konstitusi parti. Pada tahun 2014, kita telah meluluskan satu
resolusi pada Kongress Kebangsaan DAP dan menjadikannya wajib supaya
sekurang-kurangnya 30 peratus wanita berada dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat
(Central Executive Committee, CEC), perbadanan pembuat keputusan tertinggi di
dalam DAP.
Apabila wartawan dari The Rocket menghubungi saya untuk
menemubual saya tentang perkara ini, penekanan utama saya terhadap sistem kuota
adalah ianya mesti hadir dengan sktruktur organisasi yang menyokong kebangkitan
wanita-wanita yang berkaliber dalam parti dari segi pengambilan, latihan dan
sokongan khusus wanita, terutamanya bagi mereka yang mempunyai keluarga dan
sebagainya.
Kuota memberikan pendorongan awal dan sokongan terhadap
wanita-wanita yang menjejakkan kaki dalam kehidupan politik. Ini harus
digabungkan dengan latihan dan pembangunan wanita, untuk mereka yang baru
terlibat dalam arena politik, dengan kemahiran yang mencukupi.
Kita haruslah ingat bahawa matlamat muktamad kita bukan
hanyalah memiliki perwakilan wanita, tetapi mencipta kepelbagaiaan dalam
perbadanan yang membuat keputusan dengan menghasilkan lebih banyak
pemimpin-pemimpin wanita yang selayaknya berbanding dengan lelaki dan pada masa
yang sama, mempunyai pandangan dan perspektif yang berbeza. Matlamat muktamad
kita adalah supaya kita mampu membuat keputusan yang lebih baik untuk negara
kita.
Tiada hidangan percuma di dunia. Wanita yang mahu menjadi
pemimpin politik perlu bekerja keras sama seperti lelaki walaupun dengan
wujudnya sistem kuota. Kerana pada akhirnya, implikasi kuota ini bukannya untuk
memanfaatkan wanita, tetapi adalah supaya negara kita boleh mendapat lebih
banyak kebaikan dengan adanya perwakilan wanita di dalam arena politik. Kita
harus sentiasa mengingati perkara ini.
Kuasa wanita dalam ekonomi
Daya saing sesebuah negara terletak pada bagaimana ia
menguruskan bakat manusia dan produktiviti tenaga kerja mereka. Wanita
bertanggungjawab kepada separuh daripada kolam bakat yang ada pada sesebuah
negara. Dengan itu, bagaimana satu kerajaan memperkasakan wanita-wanita
negaranya sehingga mencapai potensi penuh mereka akan membawa impak secara
langsung terhadap pembangunan negara tersebut.
Bank Dunia menganggar bahawa bilangan wanita Malaysia yang
tidak bekerja – wanita yang tiada dalam pasaran buruh tetapi dijangka
sepatutnya ada – merangkumi 500,000 sehingga 2.3 juta. Malah, kadar penyertaan
tenaga buruh wanita di Malaysia sebanyak 54%, adalah salah satu peratusan yang
terendah di serantau Asia Tenggara.
Menggalakkan penyertaan wanita yang lebih tinggi dalam tenaga
kerja akan membawa kepada pasaran buruh yang lebih berdaya saing dan seterusnya
mampu menghasilkan ekonomi yang lebih berdaya saing. Ini adalah sangat benar
terutamanya wanita-wanita Malaysia adalah sangat berpendidikan. Program
Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (The United Nation Development Program, UNDP)
telah menganggarkan dengan peningkatan penyertaan wanita sehingga 70% akan
meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 2.9%.
Satu kajian tentang syarikat-syarikat “AS Fortune 500” oleh
Catalyst juga telah menunjukkan dengan adanya 3 atau 4 wanita sebagai lembaga
pengarah berkait rapat dengan pulangan purata-tinggi pada ekuiti pemegang
saham, jualan, dan modal yang dilaburkan. Bakat diagihkan secara sama tanpa
mengira gender. Pengambilan semua bakat yang ada bukanlah sesuatu yang
bertentangan dengan intuitif, tetapi bagus untuk perniagaan.
Peningkatan wanita di dalam tenaga kerja bukan sahaja penting
untuk pembangunan ekonomi sesebuah negara, malah ia juga salah satu cara bagi
mengurangkan ketidakadilan pada pendapatan secara keseluruhan. Apabila wanita
berhenti bekerja, pendapatan keluarga menyusut dari dua pendapatan ke satu
pendapatan sahaja, dan ini menurunkan jumlah pendapatan isi rumah.
Pelbagai laporan menunjukkan bahawa perkara ini lebih
berkemungkinan berlaku untuk keluarga berpendapatan rendah apabila wanita
berhenti dari tenaga kerja untuk menjaga kanak-kanak. (Adalah lebih berhemat
dengan menjadi suri rumah daripada bekerja kerana kos penjagaan kanak-kanak di
luar mungkin lebih tinggi daripada upah yang mereka terima).
Jika lebih banyak wanita daripada keluarga berpendapatan
rendah keluar bekerja, mereka yang berada di bawah piramid boleh memperoleh
pendapatan isi rumah yang lebih tinggi, mengurangkan jurang pendapatan antara
yang kaya dan miskin. Ini secara tidak
langsungnya juga boleh mengurangkan keganasan rumah tangga apabila wanita menjadi
lebih berdikari dari segi kewangan.
Dengan mendukung peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga
kerja, saya tidaklah bermaksud mahu menghalang wanita yang dalam usia bekerja
untuk menjadi suri rumah. Bagaimanapun, kebebasan untuk bekerja mesti disediakan
untuk wanita-wanita di seluruh Malaysia. Adakah lebih banyak wanita akan pergi
bekerja sekiranya mendapat sokongan seperti ini?
i.
Terdapatnya kualiti yang bagus untuk penjagaaan kanak-kanak
di tempat kerja dan tempat yang berdekatan dengan rumah (akses mudah) malah
mampu dimiliki; dan
ii. Lebih banyak syarikat yang menawarkan waktu kerja fleksibel,
tanpa diskriminasi terhadap pekerja wanita hamil, program tenaga kerja untuk
wanita-wanita yang efektif supaya kembali bekerja, persekitaran korporat yang
menyokong wanita hamil dan ibu-ibu yang sedang menyusu bayi.
Jawapannya, mungkin ya.
Inilah kebebasan untuk bekerja yang seharusnya dimiliki oleh setiap
wanita Malaysia.
Walaupun begitu, kita tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa
peningkatan tenaga kerja wanita juga akan menyebabkan tekanan ekstra untuk
wanita dalam komuniti. Menurut Laporan Pembangunan Dunia oleh Bank Dunia,
secara global, wanita perlu bekerja 1 sehingga 3 jam lebih banyak berbanding
lelaki dalam tugasan rumah dan 2 sehingga 10 ganda lebih jumlah masa yang
digunakan berbanding lelaki dalam menjaga kanak-kanak, orang tua dan pesakit di
dalam keluarga.
Kerana peranan gender yang terlalu mendalam di sebuah
keluarga, wanita perlu membuat lebih banyak kerja tanpa upah, berbanding dengan
lelaki di dalam keluarga, termasuk kerja menjaga. Oleh itu, ibu-ibu yang
bekerja mempunyai lebih kurang masa lapang dan sebagainya berbanding dengan
bapa -bapa yang bekerja.
Jadi, walaupun kita sedang mendukung polisi untuk meningkatkan
tenaga kerja wanita di dalam Malaysia, saya sedar peranan tradisional wanita
yang mendalam pada keluarga masih tidak mampu berubah pada masa yang singkat.
Oleh itu, usaha meningkatkan tenaga kerja wanita haruslah
disertai dengan usaha untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran bagi kerja-kerja
rumah dan penjagaan yang tidak dibayar, dan juga polisi bagi membantu ibu-ibu bekerja
untuk menampung permintaan fizikal, mental dan psikologi dari kedua-dua tempat
kerja serta keluarga. Akhirnya, dengan sokongan daripada para lelaki, tentunya akan ada penukaran
minda ke arah perkongsian kerja-kerja rumah yang lebih sama rata pada masa
hadapan.
Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE)
Seperti
yang diperkatakan tadi, wanita menghabiskan lebih banyak masa untuk menjaga
kanak-kanak daripada lelaki. Oleh itu apabila kita berbicara tentang wanita,
kita tidak boleh mengelakkan topik mengenai kanak-kanak.
Penjagaan
dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) merupakan satu isu yang begitu dekat
di hati saya. Ada di antara rakan sekerja saya yang tersenyum sinis apabila saya
lantang mempersoalkan mengenai pembangunan ECCE di Malaysia, kerana mereka
tidak faham mengapa saya begitu prihatin terhadap isu ini walaupun saya tidak
mempunyai anak. Seperti perkara yang lain, saya begitu prihatin terhadap isu
ini kerana saya percaya dengan memperbaikinya akan menjadikan Malaysia satu
tempat yang lebih baik.
Zaman
kanak-kanak merupakan satu fasa penting bagi pembangunan kognitif, fizikal dan
intelektual. Setiap kanak-kanak di Malaysia mempunyai hak untuk menperoleh ECCE
yang berkualiti tinggi, tanpa perlu mengira tahap pendapatan oleh keluarga
mereka. Tambahan, dengan menjamin akses mudah dan kemampuan untuk memiliki ECCE
akan membolehkan lebih banyak wanita untuk mengambil bahagian dalam tenaga
kerja, terutamanya mereka yang bergaji rendah.
Oleh
itu, pembangunan ECCE merupakan satu tindakan serampang dua mata, dimana – kita
boleh mengurangkan jurang ketidaksamaan bukan hanya dari segi pembangunan
kognitif di antara kanak-kanak yang berada atau tidak, malah dalam istilah
pendapatan isi rumah juga.
Malah, ECCE merupakan satu pulangan pelaburan
perbelanjaan awam yang tinggi. James J. Heckman, penerima Nobel dalam ekonomi
dan pakar dalam ekonomi pembangunan manusia, telah mengadvokasikan pelaburan
kerajaan ke dalam ECCE. Persamaan Heckman telah membuktikan secara statistik
bahawa melabur secara awal dalam zaman kanak-kanak boleh menjimatkan wang
pembayar cukai untuk jangka masa panjang; keputusan ECCE yang bagus boleh
menghasilkan kos kebajikan sosial yang lebih rendah, produktiviti ekonomi,
pengurangan kadar jenayah dan peningkatan pendapatan cukai. Malah pelaburan
ECCE boleh menghasilkan kadar pulangan pelabaruan perbelanjaan awam yang tinggi
dalam pembangunan modal insan.
Bank
Dunia mengatakan setiap ringgit tambahan yang telah digunakan pada ECCE boleh
membawa pulangan sebanyak 6 sehingga 17 ringgit dalam faedah awam, dengan akan
adanya tenaga kerja yang lebih sihat dan produktif dan lebih kurang pekerja
bermasalah.
Lantaran
itu, sekiranya kita boleh menjustifikasikan pendidikan percuma untuk sekolah
rendah dan sekolah menengah supaya diberi oleh kerajaaan, maka sepatutnya lebih
senang untuk menjustifikasikan pemberian ECCE yang percuma (ataupun
sekurang-kurangnya berkemampuan dimiliki semua). Dalam kata pendek, menjadikan
penjagaan kanak-kanak yang mampu dinikmati oleh semua dan memastikannya
mempunyai akses mudah adalah suatu perkara yang penting kepada negara, sama ada
dalam pembangunan manusia ataupun keadilan dalam sosial dan ekonomi.
Ya,
tapi bagaimana?
Tanyalah
mana-mana pengendali bagi penjagaan kanak-kanak, mereka akan memberitahu anda
bahawa ianya mahal untuk menjalankan satu pusat penjagaan kanak-kanak yang
baik. Tidak akan ada makanan percuma di dunia ini, dan ECCE mesti disubsidi
oleh kerajaan bagi memastikan pusat itu adalah dalam keadaan baik dan mampu
dinikmati oleh semua.
Kita
boleh belajar melalui Singapura, Australia, Finland dan banyak lagi
negara-negara Skandinavia yang lain. Pusat penjagaaan kanak-kanak di
negara-negara ini kebanyakannya dikendalikan oleh pengendali swasta di pasaran
yang kompetitif namun masih dikawal. Terdapatnya sistem subsidi bertingkat di
mana kerajaan memberi subsidi kepada keluarga mengikut tahap pendapatan isi
rumah.
Pusat
penjagaan kanak-kanak yang mahu terlibat sekali dalam sistem subsidi mestilah
memenuhi sesetengah syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, di mana kebiasaaannya
termasuklah nisbah pelajar-guru, kelayakan para guru, piawaian keselamatan dan
sebagainya, bagi memastikan subsidi penjagaan kanak-kanak yang berkualiti
tinggi.
Saya terutamanya menyukai modal
ECCE Finland. Di Finland, ECCE focus kepada permainan kreatif berbanding dengan
membaca, menulis ataupun matematik. Di situ, penjagaan kanak-kanak disubsidi
secara berat oleh kerajaan – ianya percuma untuk keluarga-keluarga miskin dan
dihadkan pada tahap yang tertentu. Walaupun kanak-kanak di Finland tidak
mendapat “pendidikan rasmi” sehingga umur tujuh tahun, sistem pendidikan
Finland merupakan salah satu sistem yang terbaik di dunia. Pelajar-pelajar
Finland selalunya menduduki tempat teratas di kedudukan PISA (Program Penilaian
Pelajar Internasional), di mana ia merupakan satu penilaian pada pelajar-pelajar
berumur 15 tahun dalam pengetahuan sains, matematik, dan membaca.
Secara
keseluruhannya, ECCE di Malaysia perlu beralih ke sesuatu arah yang boleh
memberikan akses mudah dan mampu dinikmati oleh semua. Setiap kanak-kanak di
Malaysia wajar mendapat ECCE yang berkualiti tinggi, tanpa perlu mengira latar
belakang dan pendapatan isi rumah kanak-kanak tersebut.
Rogol
Kadang kala kita akan melihat media sosial penuh dengan
kemarahan dan kritikan terhadap kes rogol berprofil tinggi seperti geng rogol
Kelantan, di mana 38 lelaki telah merogol seorang gadis yang hanya berumur 15
tahun, ataupun seorang bapa yang kejam di Chow Kit yang telah berulang kali
memukul dan merogol anak perempuan bawah umurnya yang baru tiba ke Kuala Lumpur
dari Sarawak dengan harapan dapat mencari kehidupan yang lebih baik (akhirnya
berubah menjadi mimpi buruk yang tidak dapat dibayangkan).
Namun, hanya sekumpulan kecil yang menyedari tahap keseriusan
masalah rogol di Malaysia.
Secara purata, terdapat sebanyak 3,000 kes rogol yang
dilaporkan di Malaysia setiap tahun dan hanya 2 daripada 10 kes dilaporkan.
Lebih teruk, 2 daripada 3 mangsa rogol adalah di bawah umur (di bawah umur 16
tahun). Bagaimanakah kita menterjemahkan angka ini ke dalam kehidupan sebenar?
Termasuk kes-kes yang tidak dilapor, dijangka terdapat
sebanyak 15,000 kes-kes rogol yang berlaku di Malaysia setiap tahun. Ini
bermaksud setiap 35 minit – masa yang diperlukan oleh anda untuk menghabiskan
satu bahagian buku ini, seorang perempuan telah dirogol di sesuatu tempat yang
tersembunyi di Malaysia. Dan 80% daripada mangsa rogol yang kebanyakannya
adalah perempuan, sedang menderita dalam diam.
Walaupun terdapat kes rogol yang dilaporkan kepada polis,
besar kemungkinan suspek pelaku itu akan berjalan bebas. Menurut balasan
jawapan parlimen daripada Kementerian Dalam Negeri, dari 2005 sehingga Julai
2014, kes rogol yang telah dilaporkan berjumlah 28,471, di mana hanya 16%
daripadanya (4,514 kes) telah dibawakan ke mahkamah dan hanya 2.7% daripadanya
(765) didapati bersalah.
Antara faktor-faktor yang menyebabkan pembebasan ataupun
pengurangan hukuman adalah seperti di bawah:
- Kelewatan membuat laporan polis;
- Mangsa menarik balik laporan atas
sebab-sebab peribadi seperti tidak mahu, keinginan melupakan insiden
tersebut, ingin berkahwin dan sebagainya;
- Kekurangan kerjasama, komitment
mangsa dan saksi (pihak yang bersedia) serta kekurangan bukti jenayah;
- Kesulitan dokumentasi, mengenal
pasti dan menahan suspek; dan
- Tidak mempunyai kenyataan sokongan daripada pihak saksi, laporan perubatan serta laporan kima bagi menyokong kenyataan mangsa.
Pelaporan yang rendah serta kadar pembebasan yang tinggi
mungkin menyebabkan bertambahnya budaya menyalahkan mangsa.
Dalam budaya Timur, wanita sering dilihat sebagai sesuatu
objek ataupun “harta milikan” dan kita seolah lebih bawahan berbanding dengan
lelaki. Apabila rogol berlaku, kebanyakan akan bertanyakan soalan-soalan
seperti “Apakah yang sedang dipakai oleh gadis itu?” “Perempuan itu di mana
saat itu?”, “Adakah gadis itu mabuk?”, “Adakah gadis itu keluar lewat?”, “Gadis
itu hendak ke mana?” dan sebagainya, seolah-olah mangsa itu berhak untuk diperkosa.
Apabila seseorang dirompak, kita akan menyalahkan perompak;
apabila seseorang dibunuh, kita akan menyalahkan pembunuh; namun apabila
seseorang itu dirogol, mengapa kita menuding jari terhadap mangsa itu? Ini
sangat tidak masuk akal. Rogol hanya boleh dikurangkan apabila sebagai
masyarakat, kita mempunyai kesedaran yang lebih tinggi terhadap keseriusan isu
ini dan mula mendepani tabu, mitos dan pemikiran yang memperburukkan lagi
situasi budaya rogol.
Takleh tahan, dia seksi sangat!
Kita
sering mendengar bahawa wanita sepatutnya menutup tubuh mereka untuk
mengelakkan diri daripada dirogol. Benarkah dakwaaan sedemikan?
Mari
kita menguji hipotesis ini dengan statistik rogol merentasi kesemuaan negeri di
seluruh Malaysia. Sekiranya dakwaan bahawa punca rogol itu adalah dari segi
pemakaian adalah tepat, maka kita sepatutnya boleh melihat trend ini pada
negeri-negeri yang berlainan di Malaysia.
Negeri-negeri yang lebih konservatif di Malaysia sepatutnya mempunyai
kes-kes rogol yang lebih kurang berbanding dengan negeri-negeri yang lebih
bersifat berbandaran.
Dengan
menggunakan jumlah terkini kes rogol mengikut negeri dan populasi setiap
negeri (untuk setiap 100,000), didapati bahawa negeri-negeri yang teratas adalah Negeri Sembilan, Kelantan, Perlis dan
Kedah dengan 20.59, 20, 18.7 dan 17.64 kes per 100,000 populasi. Negeri-negeri
yang lebih bersifat berbandaran seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur
adalah disenaraikan di tempat terbawah dengan 11.47, 11.41 dan 9.38 kes rogol
per setiap 100,000 populasi.