Khamis, 31 Julai 2025

Kamar Khas - Masalah Kesesakan Jalan Putra Permai dan Jalan Besar Seri Kembangan

 31 Julai 2025

Soalan

Puan Yeo Bee Yin [Puchong] : Terima kasih Tuan Speaker kerana izinkan Puchong untuk membawa beberapa isu yang berkenaan dengan kawasan Parlimen Puchong.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menarik perhatian Yang Berhormat Menteri berkenaan masalah kesesakan di Jalan Putra Permai dan Jalan Besar Seri Kembangan. Jalan ini adalah nadi utama yang menyokong pembangunan ekonomi dan sosioekonomi kawasan tersebut, menghubungkan kawasan perumahan seperti Kota Perdana, Taman Putra Permai, Taman Equine, Lestari Perdana dan Taman Prima Tropika serta menghubungkan Puchong, Seri Kembangan, Bandar Sierra dan Cyberjaya. Namun, pembangunan pesat di kawasan sekitar menyebabkan kesesakan trafik yang sangat serius, terutama ketika waktu puncak. Kesesakan ini turut spillover ke Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP) dan Lebuhraya Putrajaya–Cyberjaya di Serdang Interchange menyebabkan gangguan yang meluas.

Puchong telah berbincang dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ). Dikatakan JKR ada rancangan untuk membina persimpangan bertingkat di persimpangan Giant Seri Kembangan untuk mengurangkan masalah ini. Puchong ingin memohon penjelasan status peruntukan dan garis masa projek tersebut.

Sebagai langkah jangka pendek, Puchong mencadangkan JKR untuk memasang lampu isyarat pintar di persimpangan Giant Seri Kembangan. Lampu isyarat pintar boleh mengatur tempoh isyarat secara dinamik mengikut keadaan trafik semasa. Untuk makluman Yang di-Pertua, kesesakan di Serdang Interchange terjadi walaupun bukan waktu puncak kerana lampu isyarat yang tidak smart menyebabkan kenderaan di satu jalan perlu berhenti walaupun tiada trafik di jalan yang lain. Penukaran ke lampu isyarat pintar adalah penyelesaian cepat dan murah dan Puchong harap boleh segera dilaksanakan.

Selain itu, Puchong juga ingin bangkitkan isu berkaitan dengan Jalan Besar Seri Kembangan di hujung Jalan Putra Permai. Untuk makluman YB Menteri, seluruh Jalan Putra Permai hingga Jalan Besar Seri Kembangan telah pun dinaik taraf, hanya tinggal sebahagian sahaja di persimpangan Jalan Raya Satu dan jambatan melintasi Lebuhraya Besraya. Dengan penutupan pusingan U pada tahun lepas, keadaan trafik di Jalan Besar Seri Kembangan telah menjadi semakin teruk di mana kenderaan kadangkala perlu setengah jam untuk bergerak jarak tidak melebihi satu kilometer. Ini telah menjadi beban pengguna-pengguna di jalan di sana.

Dengan itu, Puchong ingin menyeru pihak kementerian untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani masalah trafik yang semakin teruk di lokasi ini. Sekian sahaja, terima kasih.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik]: Okey. Minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.

Jawapan

Timbalan Menteri Kerja Raya [Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan]: Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua. Terima kasih YB Puchong.

Kementerian Kerja Raya sentiasa mengambil maklum terhadap isu-isu berkaitan kesesakan jalan raya bagi mengatasi masalah dan cadangan penyelesaian. JKR Malaysia sebagai agensi pelaksana sedang dalam proses melaksanakan kerja-kerja awalan bagi projek menaik taraf Jalan Putra Permai daripada persimpangan Prima Tropika–Lestari Perdana sehingga persimpangan Persiaran Akademi Perdana, Daerah Petaling, Selangor. Ini yang diberikan oleh pegawai kepada saya tadi, tempat yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat itu. [Sambil menunjukkan sehelai kertas]

Dan kita tahu memang tempat itu jammed. Projek ini telah diluluskan oleh agensi pusat di dalam Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi pelaksanaan skop kerja awalan melibatkan kajian impak trafik, penilaian impak alam sekitar, kerja ukur, pemetaan utiliti, Penyiasatan Tanah (SI), penilaian turapan, reka bentuk terperinci dan pengambilan balik tanah bagi membolehkan anggaran kos keseluruhan projek disediakan dengan lebih tepat.

Skop kerja awalan dan pengambilan tanah yang pertama, skop kajian trafik ini telah selesai dilaksanakan pada tahun 2024 dengan kos RM200,000. Kerja ukur di tapak telah selesai sepenuhnya bagi penyediaan maklumat berkaitan lot-lot tanah yang terlibat dan kedudukan utiliti sedia ada dalam cadangan jajaran projek. Kos yang telah digunakan sebanyak RM600,000.

Ketiga, penilaian tender perunding sivil dan struktur peringkat Jabatan Kerja Raya dijangka selesai pada Ogos 2025 dan Surat Setuju Terima untuk perunding sivil dan struktur dijangka pada September 2025. Berapa bulan lagi. Skop kerja reka bentuk terperinci dijangka selesai Jun 2026 dan saya akan minta mereka supaya diawalkan. Mengenai pengambilan tanah dan utiliti dijangka bermula setelah reka bentuk terperinci dimuktamadkan dan kita telah meletakkan anggaran kos sebanyak RM25 juta untuk pengambilan balik tanah (PBT).

Jadi RM25 juta campur RM600,000, campur RM200,000. Ini yang dianggarkan. Kementerian ini telah mengangkat permohonan pelaksanaan kerja-kerja fizikal bagi projek menaik taraf Jalan Putra Permai daripada persimpangan Prima Tropika–Lestari Perdana sehingga persimpangan Persiaran Akademi Perdana, Daerah Petaling, Selangor bagi permohonan Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ketiga Belas untuk pertimbangan agensi pusat.

Tadi pun telah dibentang RMK13 dan kita nak supaya berlaku dalam RP1. Seterusnya pada soalan smart traffic light, apa yang kita ingin nyatakan di sini bahawa pada tahun 2024, RM15 juta diperuntukkan untuk mengadakan smart traffic light ini di 70 lokasi terpilih Jalan Persekutuan seluruh Malaysia.

Mengenai cadangan Yang Berhormat, persimpangan Giant Seri Kembangan berada di Laluan Persekutuan FT3215 jalan masuk kawasan perindustrian Seri Kembangan ini. Kita akan memastikan ia melibatkan beberapa persimpangan berhampiran yang berada dalam satu rangkaian aliran trafik dan saya difahamkan oleh pegawai-pegawai tadi bahawa sekarang ini sudah ada usaha supaya sistem itu diperbaiki, yang mana apabila pada waktu malam khasnya, jika kawasan itu tidak ada apa-apa kenderaan, maka kita akan melihat warna hijaulah supaya bila sampai je ada kenderaan, boleh jalan terus tak perlu menunggu warna merah dan kuning. Itu sekarang ini dah dibuat, tetapi ia bukanlah sepenuhnya lampu isyarat pintar lagi.

Kemudian, soalan yang ketiga mengenai jalan raya satu jambatan melintasi Lebuhraya Besraya. Pusingan U di Jalan Besar Seri Kembangan telah ditutup, Yang Berhormat dah sebut tadi. Untuk makluman, kementerian ini ada menerima permohonan daripada Kerajaan Negeri Selangor pada rolling plan sebelum ini bagi menaik taraf jalan yang berkaitan. Namun, ia bukanlah menjadi keutamaan kepada projek negeri Selangor. Oleh itu, kementerian ini mengesyorkan supaya cadangan projek tersebut dikemukakan sekali lagi pada kerajaan negeri untuk dijadikan keutamaan, Yang Berhormat ya. Dia apabila tidak jadi keutamaan, maka dia lambatlah.

Saya harap Yang Berhormat boleh menulis kepada UPEN Selangor dan JKR negeri supaya dia menjadi masuk dalam senarai keutamaan. Projek yang pertama tadi dah ada peruntukan-peruntukan tetapi yang kedua ini perlu masuk dalam senarai keutamaan negeri. Terima kasih.

Puan Yeo Bee Yin [ Puchong ]: Terima kasih YB Menteri kerana bagi jawapan yang — soalan tambahan saya ialah berkenaan dengan RM25 juta itu. RM25 juta itu adalah dalam pengambilan tanah ataupun RM25 juta untuk RP1 RMK13? Berapakah peruntukan yang telah pun diluluskan untuk RP1 RMK13?

Yang kedua adalah berkenaan dengan u-turn tersebut. Saya telah pun menerima banyak aduan di mana selepas tutup u-turn, kesesakan menjadi lebih teruk lagi. Adakah u-turn itu akan dibuka ataupun akan ditutup sementara kena menunggu kita untuk memperjuangkan supaya menjadi keutamaan kerajaan negeri?

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan: Ya, dua perkara Yang Berhormat Puchong. Yang pertama, sebagaimana saya sebut tadi, dia sebenarnya lagi besar yang telah diluluskan dalam Rolling Plan RP4 ini, tetapi

4 KKDR.31.7.2025

peruntukan yang besar itu nanti kita akan bawa untuk pembinaan yang sepenuhnya dan saya ingin memaklumkan yang RM25 juta itu memang dalam Rolling Plan 4 (RP4) RMK12, RM25 juta.

Satu lagi, cadangan mengenai u-turn yang ditutup untuk dibuka. Saya akan bincang. Pegawai-pegawai saya ada di belakang ini supaya berbincang betul-betul dengan JKR negeri. Jika dibuka, boleh menyelesaikan, apa salah kita buka dan kita lihat apa yang berlaku selepas itu. Jika ia tidak menyelesaikan masalah dan jika kita tutup kembali, itu akan kita buat kajian yang telitilah tentang perkara itu.

Membuka u-turn yang ditutup tidaklah susah Yang Berhormat, cuma yang kita nak buat ialah kajian trafik di kawasan itu dan saya dipahamkan oleh pegawai, kajian trafik yang di kawasan ini memang — di kawasan 2.5 kilometer yang kita cadang nak buat dua jejambat flyover ni, Level of Service (LOS), dia LOS A hingga LOS F. Kalau LOS A itu macam jalan kat Pontian lah Yang Berhormat, takde jammed pun. Kalau LOS F ni kalau macam apa ni, Pulai, LOS E, D, D, E. Kalau F ni LOS memang teruklah.

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan:Pekan Nanas pun E lah. Tetapi tempat Yang Berhormat Puchong ni, F. F ni yang paling teruk. Dia, A sampai F. A yang paling aman, F yang paling sesak. Kita, kajian kita memang F. Itu yang kita ambil perhatian dan telah pun diluluskan sejumlah yang banyak sebenarnya. RM110 juta sebenarnya Yang Berhormat tetapi kita nak bawa yang RM110 itu sebahagiannya untuk pembinaan yang sebenar. Jadi, RM25 juta itu daripada RM110 juta yang dilulus, RM25 juta itu untuk PBT sahaja. Terima kasih. PBT itu ialah Pengambilan Balik Tanah, bukan pihak berkuasa tempatan. [Ketawa]

Puan Yeo Bee Yin [Puchong]: Kalau boleh, kita dapatkan semua butiran berkenaan dengan peruntukannya ya.

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan : Baik