23 JULAI 2025 (RABU)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan :
a. berapa kes kematian kanak-kanak akibat kecuaian dan penderaan serta berapakah yang didakwa dan disabitkan kesalahan pada tahun 2020 hingga 2024
b. apakah langkah yang diambil oleh Kementerian untuk mengelak kematian ini
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius setiap insiden melibatkan kematian kanakkanak, khususnya yang berpunca daripada kecuaian dan penderaan.
2. Berdasarkan statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), bilangan kes penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kematian adalah sebanyak 44 kes pada tahun 2020, 24 kes pada tahun 2021, 74 kes pada tahun 2022, 98 kes pada tahun 2023 dan 114 kes pada tahun 2024.
3. Salah satu langkah utama yang diambil oleh KPWKM untuk mengurangkan risiko berlakunya penderaan adalah dengan pelaksanaan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak. Di antara pengisian program yang dilancarkan pada tahun 2023 ini ialah sesi ceramah interaktif mengenai hak kanak-kanak, keselamatan kanakkanak, ceramah interaktif buli siber dan ceramah interaktif antigangguan seksual. Pada tahun 2024, sebanyak 337 buah sekolah telah melaksanakan program advokasi ini, melibatkan capaian kepada lebih 128,000 kanak-kanak. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). Pada tahun 2025, KPWKM menyasarkan pelaksanaan program ini di 300 buah sekolah dan 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak terpilih seluruh Negara.
4. Di samping itu, sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya insiden penderaan atau pengabaian di TASKA, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menambahbaik peraturan serta garis panduan operasi TASKA agar kesejahteraan kanak-kanak dapat dilindungi.
5. Selain itu, Talian Kasih 15999 juga merupakan saluran komunikasi penting untuk membolehkan masyarakat membuat aduan secara cepat dan mudah. Talian ini beroperasi 24 jam sehari dan disambungkan terus kepada pihak JKM serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan segera. Ini membantu memastikan sebarang kes penderaan atau pengabaian dapat dikesan lebih awal dan diambil tindakan dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
6. Langkah-langkah ini menunjukkan komitmen KPWKM dalam melaksanakan intervensi awal secara proaktif bagi mencegah sebarang insiden penderaan atau kecuaian yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa kanak-kanak. Pendekatan ini menekankan kerjasama antara pelbagai pihak termasuk masyarakat, sekolah, institusi kesihatan dan agensi penguatkuasaan bagi mewujudkan rangkaian perlindungan yang menyeluruh. Pada masa yang sama, diharapkan masyarakat boleh lebih prihatin dan cakna dengan apa yang berlaku di kalangan sekeliling di komuniti kita. serta berganding bahu agar kita dapat membendung kes pengabaian, penganiayaan dan penderaan terhadap kanak-kanak.
Sekian, terima kasih.