Rabu, 30 Julai 2025

Perbahasan RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2025 | 30 Julai 2025

 


1.    Terima kasih Tuan Speaker kerana izinkan Puchong untuk membahas RUU pindaan Bekalan Elektrik yang membolehkan dan mengawalselia eksport dan import bekalan elektrik.
 
2.    Hari ini adalah sangat bermakna bagi saya kerana membolehkan perdagangan antarabangsa bekalan elektrik untuk merancakkan industri hijau Malaysia adalah antara “unfinished business” saya sebagai Menteri Tenaga sejak Langkah Sheraton.
 
3.    Izinkan Puchong mengambil sedikit masa untuk menceritakan latar belakang bekalan elektrik dengan negara jiran.
 
4.    Sebelum ini, perdagangan bekalan elektrik Malaysia adalah melalui ASEAN Power Grid (APG).
 
5.    Untuk pengetahuan Tuan Speaker, ASEAN Power Grid ialah inisiatif untuk membina interconnection bagi menghubungkan grid kuasa negara-negara ASEAN dan merancakkan perdagangan antaranya.
 
6.    Objektif APG adalah untuk meningkatkan kesimbangan energy trilema negara ASEAN iaitu, keselamatan tenaga, kebolehcapaian dan kemampuan serta kemampanan alam sekitar.
 
7.    Sehingga 2018, perdagangan kuasa di antara negara-negara ASEAN adalah melalui perjanjian pembelian kuasa dua hala. Laos khususnya dengan sumber hidroelektriknya yang besar telah mengeksport ke negara-negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Viet Nam. Malah, lebih daripada 80% daripada kuasa yang didagangkan di bawah APG melibatkan kuasa hidro Laos.
 
8.    Bagi Malaysia, kita mempunyai perjanjian perdagangan kuasa dua hala di antara Kalimantan Barat dan Sarawak.
 
9.    Walaupun Kalimantan berlimpah dengan arang batu dan gas asli, kebanyakan kuasa untuk komuniti terpencil di Kalimantan Barat dijana daripada diesel, yang merupakan bentuk penjanaan kuasa yang paling mahal per unit elektrik yang dijana.
 
10.    128km interkoneksi antara Bengkayang, Kalimantan Barat dan Mambong, Sarawak di bawah ASEAN Power Grid telah membolehkan anjakan kuasa diesel di antara 50 MW dan 130 MW di Kalimantan Barat dengan elektrik dari Sarawak, yang bukan sahaja lebih murah tetapi juga lebih hijau memandangkan 75% daripada elektrik yang dihasilkan di Sarawak adalah melalui hidroelektrik.
 
11.    Malaysia juga terlibat dalam projek perintis ASEAN Power Grid bagi multilateral trading, iaitu perdagangan kuasa yang melibatkan lebih daripada dua negara di bawah Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS) Power Integration Project.
 
12.    Saya sendiri terlibat dalam rundingan pelaksanaan fasa 2 projek antara Laos-Thailand-Malaysia semasa saya memegang jawatan Menteri.
 
13.    Di bawah perjanjian ini, Laos menjual sehingga kuasa hidroelektriknya kepada Malaysia dengan Thailand berkhidmat sebagai negara transit (atau 'wheeling').
 
14.    Bermula penghujung 2018, kami juga mengambil langkah proaktif untuk berbincang dengan Singapura berkenaan dengan pengeksportan TBB ke negara tersebut.
 
15.    Malahan, perdagangan RE termasuk dalam salah satu agenda setiap kali saya mengadakan perbincangan dua hala dengan pihak Singapura.
 
16.    Ketika itu, kami menjangkakan Singapura akan memerlukan lebih banyak RE dalam campuran tenaga elektrik mereka, disebabkan trend peningkatan komitmen terhadap neutraliti karbon oleh syarikat-syarikat multinasional, dan banyak di antaranya ibu pejabat Asia atau Asia Tenggara adalah terletak di Singapura.
 
17.    Manakala, kami pula berhasrat untuk mengeksport RE sebagai salah satu langkah untuk merancakkan sektor ekonomi dan pekerjaan hijau di negara ini.
 
18.    Seperti yang dijangkakan, pada 25 Oktober 2021, kerajaan Singapura mengumumkan hasrat untuk mengimport sehingga 4 GW RE berkarbon rendah menjelang 2035.
 
19.    Potensi pasaran eksport ini jika dapat dimanfaatkan sepenuhnya, mampu menjana sehingga RM 6 billion dalam bentuk pelaburan swasta dan juga hampir 50,000 peluang pekerjaan di Malaysia.
 
20.    Walau bagaimanapun, secara tiba-tiba, kerajaan pada masa itu Perikatan Nasional mengumumkan larangan pengeksportan TBB pada hujung 2021.
 
21.    Saya pernah ajukan soalan di Parlimen, masa itu saya YB Bakri, mengenai rasional di sebalik keputusan ini.
 
22.    Jawapan yang saya terima adalah pengeksportan RE akan menjadi penghalang kepada usaha Malaysia dalam mencapai komitmen Malaysia dalam Paris Agreement melalui national determined commitment (NDC).
 
23.    Jawapan ini adalah tidak munasabah.
 
24.    Secara keseluruhan, di Malaysia, potensi tenaga solar, biotenaga dan hidrokuasa kecil mencecah 275GW.
 
25.    Sebagai perbandingan, kapasiti jana kuasa sedia ada di seluruh negara setakat tahun 2020 hanya sekitar 35 GW.  
 
26.    Dengan erti kata lain, potensi TBB yang belum diterokai sahaja boleh menjana lebih daripada 8 Malaysia.
 
27.    Secara ringkasnya, Malaysia mampu mencapai NDC Paris Agreement dan pada masa sama mengeksport TBB kita.
 
28.    Tuan Speaker, saya telah merekodkan bantahan saya di dewan yang mulia ini terhadap keputusan kerajaan yang melarang pengeksportan bekalan elektrik kerana peluang untuk kita menjana pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan hijau adalah besar, malangnya pandangan saya tidak diterima.
 
29.    Tuan Speaker, sebenarnya bukan sahaja pengeksportan elektrik ke Singapura tetapi saya juga telah menerima proposal yang ingin meneroka pengeksportan elektrik dari Kedah ke Thailand Selatan.
 
30.    Industri TBB menawarkan potensi penciptaan pekerjaan yang besar di Malaysia. Sebenarnya, kajian menunjukkan bahawa TBB boleh mencipta lebih pekerjaan daripada tenaga konvensional.
 
31.    Dengan peningkatan pelaburan dalam penjanaan solar, hidro kecil dan biojism, pembuatan komponen TBB tempatan, kita dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu merentasi pelbagai sektor.
 
32.    Ini termasuk pekerjaan mahir dalam bidang seperti kejuruteraan, teknikal, pemasangan, penyenggaraan, dan juga pekerjaan dalam pembuatan, jualan, dan pemasaran.
 
33.    Pengembangan industri TBB akan menyokong tenaga kerja tempatan dan merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh negara.
 
34.    Pendek kata, larangan pengeksportan bekalan elektrik adalah tidak rasional.
 
35.    Oleh itu, Puchong sangat bangga hari ini kerana “finally, common sense prevail”, dengan izin.
 
36.    Saya percaya ini akan memberi impak positif kepada pemain industri TBB di Malaysia.
 
37.    Tuan Speaker, pindaan ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan adalah lebih business-friendly dan lebih mampu dalam menerajui ekonomi Malaysia.
 
38.    Dengan itu, Puchong menyokong penuh pindaan RUU ini untuk membolehkan perdagangan antara bangsa bekalan elektrik.


 
39.    Seterusnya Puchong ingin mengalih perbincangan saya kepada mekanisme pengekosportan elektrik dengan pindaan yang berkaitan berkenaan pengendali pasaran dan atribut hijau.
 
40.    Puchong membaca bahawa respon terhadap bidaan untuk pengekosportan ke Singapura yang dihoskan oleh The Energy Exchange Malaysia (Enegem) kurang memperangsangkan.
 
41.    Walaupun terdapat 16 syarikat yang layak untuk mengambil bahagian dalam proses bidaan hanya dua bidaan yang dibuat.
 
42.    The Edge telah melaporkan antara cabaran utama ialah penetapan harga TBB yang tidak menarik dan pengiktirafan TBB merentasi sempadan sebagai tenga hijau.
 
43.    Untuk menjadikan harga TBB lebih menarik untuk pengusaha dan pembeli TBB, selain daripada menggunakan model Single Buyer, Puchong cadangkan kerajaan juga mengizinkan model Akses Pihak Ketiga (TPA) bagi perjanjian B2B dengan peruncit kuasa di Singapura ataupun mana-mana negara jiran yang berminat untuk mendapatkan bekalan elektrik di Malaysia.
 
44.    Kos pengagihan boleh ditetapkan pada system access cost (SAC) tempatan, iaitu 25 sen/kWj untuk firm power dan 45 sen/kWj untuk intermittent power, tambah dengan system access cost of cross-border transmission.
 
45.    Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk mengizinkan permohonan pemain TBB yang ingin membina interconnection sendiri.
 
46.    Dengan ini, perdagangan TBB kepada negara jiran bukan sahaja boleh melalui perjanjian G to G tetapi juga B to B.
 
47.    Ini adalah lebih fleksibel dan berpotensi untuk mencetus penyelesaian perdagangan eletkrik merentasi sempadan yang lebih inovatif.
 
48.    Cabaran kedua pengeksportan TBB adalah berkaitan dengan pengiktirafan TBB merentasi sempadan sebagai tenaga hijau.
 
49.    Oleh itu, adalah penting atribut hijau TBB yang diperdagangkan seperti yang dimaktubkan pada seksyen 32A adalah dimiliki oleh pembeli.
 
50.    Dengan ini, TBB boleh dijual bersama dengan Renewable Energy Certificates (RECs).  Ini akan meningkatkan kredibiliti TBB Malaysia sebagai tenaga hijau.
 
51.    Walaubagaimanapun, pengiktirafan eksport TBB juga dipengaruhi oleh standard antarabangsara.
 
52.    Untuk pengetahuan dewan yang mulia ini, antara faktor yang mendorong permintaan TBB global ialah RE100.
 
53.    RE100 ialah inisiatif yang diterajui oleh Climate Group, yang mana lebih daripada 400 syarikat komited mengalih penggunaan elektrik mereka kepada 100% TBB, menjelang tahun tertentu.
 
54.    Banyak MNC terutama syarikat gergasi seperti Microsoft, Amazon, Google, Meta dsb, telah menyertai RE100.
 
55.    Menurut kriteria teknikal RE100, tuntutan penggunaan TBB hanya boleh dibuat apabila TBB dijana dan digunakan dalam pasaran yang sama.
 
56.    Negara individu adalah dianggap sebagai pasaran berbeza kecuali US-Canada (North America) dan Kesatuan Eropah (EU) dianggap sebagai pasaran tunggal.
 
57.    Untuk merangsangkan perdagangan TBB merentasi sempadan di ASEAN,  Puchong mencadangkan kerajaan sebagai Pengerusi ASEAN untuk memulakan perundingan dengan Climate Group, supaya perdaganan TBB di rantau ASEAN juga dianggap sebagai pasaran tunggal seperti North America and EU market.
 
58.    Ini akan meningkatkan lebih aktiviti perdagangan melalui ASEAN Power Grid.
 
59.    Itu sahaja dari Puchong, dengan ini Puchong menyokong. Terima kasih.