22 JULAI 2025 (SELASA)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan berapa jumlah pesakit dalam senarai menunggu dan berapakah purata tempoh masa seseorang perlu menunggu untuk mendapat giliran bagi pembedahan katarak, batu karang ginjal, pembedahan yang melibatkan jantung seperti bypass, pembedahan injap jantung, Arrhythmia dan jantung Kongenital serta pembedahan yang melibatkan paru-paru.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum berkenaan waktu menunggu pesakit di hospital kerajaan. Walau bagaimanapun, waktu menunggu ini adalah hanya untuk kes pembedahan elektif. Untuk kes kecemasan, pembedahan akan dijalankan dengan secepat mungkin tanpa kompromi kepada keselamatan pesakit. Jumlah pesakit dalam senarai menunggu serta tempoh menunggu bagi beberapa jenis pembedahan elektif di hospitalhospital
KKM adalah seperti berikut:
a. Pembedahan katarak
Seramai 9,233 pesakit sedang menunggu giliran di seluruh negara dengan tempoh menunggu purata 3 bulan. Perkhidmatan ini disediakan di 56 hospital KKM di seluruh negara.
b. Pembedahan berkaitan batu karang ginjal, melibatkan prosedur Percutaneous Nephrolithotomy (PCNL) dan Retrograde Intrarenal Surgery (RIRS)
Seramai 2,661 pesakit dalam senarai menunggu dengan purata tempoh menunggu adalah 11 bulan. Perkhidmatan ini disediakan di 13 hospital KKM dengan residen pakar pembedahan Urologi.
c. Pembedahan kardiotorasik
Seramai 2,293 pesakit yang sedang menunggu. Purata menunggu bagi prosedur utama seperti pembedahan Coronary Artery Bypass Graft (CABG) dan pembedahan injap jantung adalah 7 bulan. Bagi pembedahan kardiotorasik pediatrik, terdapat 603 kes elektif yang sedang menunggu dengan purata masa menunggu adalah 21 bulan. Perkhidmatan ini disediakan di tujuh (7) hospital KKM yang menyediakan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik. Pembedahan kardiotorasik kanak-kanak buat masa ini dilakukan oleh pakar pembedahan kardiotorasik dewasa selain dirujuk ke Institut Jantung Negara Sdn. Bhd. kerana pakar pembedahan kardiotorasik kanak-kanak masih dalam latihan.
2. Bagi mengurangkan tempoh menunggu bagi prosedur pembedahan, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk peluasan konsep hospital kluster, penempatan pakar pembedahan ke lebih banyak hospital tanpa residen pakar bagi memulakan perkhidmatan.
3. Selain daripada itu, kolaborasi antara agensi dan program kerjasama awam swasta turut dilaksanakan bagi mengurangkan masa menunggu pembedahan. Ini seperti penubuhan Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang iaitu salah satu kejayaan usahasama antara pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan KKM bagi mengurangkan waktu menunggu pembedahan katarak dan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Perubatan (HSOP). Usaha-usaha ini dijangka dapat meningkatkan akses dan mempercepatkan tempoh rawatan pembedahan kepada pesakit yang memerlukan.
Sekian, terima kasih.