Khamis, 31 Julai 2025

Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Ke-15 Tahun 2025 (4)

 31 JULAI 2025 (KHAMIS)

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KERJA RAYA

menyatakan :

a. apakah status sebenar Lebuh Raya MEX II. Adakah kelulusan agensi Kerajaan diperlukan sebelum Maju Group membuat tuntutan. Apakah langkah Kementerian untuk memastikan situasi seperti ini tidak diulangi

b. berapakah dana diperlukan untuk siapkan projek dan adakah tambahan ini akan menyebabkan peningkatan tol.

JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Projek Lebuhraya Putrajaya – KLIA (MEX2) ditanggung sepenuhnya oleh pemaju atau syarikat konsesi secara penswastaan melalui kaedah bina-kendali-pindah (Build-Operate-Transfer / BOT). Sehubungan itu, segala pengesahan kemajuan projek termasuk tuntutan kemajuan (progress claim) adalah disemak dan disahkan antara pihak kontraktor, konsesi, juru perunding pengawasan (supervision consultant/SC) dan juru perunding bebas (independent checking engineer/ICE) yang dikemukakan terus kepada pihak Sukuk. Oleh itu, tuntutan kemajuan projek ini tidak melibatkan kelulusan diperingkat Kerajaan memandangkan ianya melibatkan pembiayaan swasta (private financing).

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Syarikat konsesi bagi Lebuhraya MEX2 ini telah dikeluarkan notis kemungkiran (notice of default) oleh pihak pemegang Sukuk pada Januari 2022. Oleh itu, segala obligasi konsesi telah diserahkan kepada pihak penerima dan pengurus (receivers and managers) yang dilantik oleh pihak pemegang Sukuk untuk menyelesaikan isu kewangan dan seterusnya menyiapkan baki pembinaan projek ini.

Agensi Pusat pada masa kini sedang memuktamadkan perbincangan dengan pihak Receivers & Managers (R&M) untuk mendapatkan kaedah penyelesaian yang terbaik bagi menyiapkan baki keseluruhan projek termasuklah dari aspek kos menyiapkan projek, aliran tunai (cash flow),analisa kajian trafik (traffic impact analysis), kadar tol dan sebagainya bagi memastikan projek ini kekal berdaya maju.

Berhubung dengan perkara tersebut, perancangan dan hala tuju projek MEX2 ini akan diselaraskan oleh Agensi Pusat bersama Kementerian/Agensi yang berkaitan khususnya berkenaan model kewangan dengan mengambil kira parameter-parameter yang bersesuaian dengan penilaian daya maju projek termasuk aspek teknikal dan selanjutnya di angkat kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

Sekian, terima kasih.