SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI KEWANGAN
menyatakan:
(a) apakah dasar perolehan awam berkenaan dengan syarat local
content (peratus kandungan produk atau servis mesti dihasilkan di
Malaysia); dan
(b) adakah audit berkala diadakan untuk memastikan perolehan
perolehan kerajaan memenuhi syarat tersebut.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
a. Kementerian Kewangan telah mewujudkan Pekeliling
Perbendaharaan/Perolehan Kerajaan (PP/PK) 1.4 berhubung
Dasar Bahan, Barangan Dan Perkhidmatan Tempatan Dalam
Perolehan Kerajaan. Dasar barangan tempatan adalah bertujuan
untuk menggalakkan pertumbuhan industri tempatan melalui
penggunaan bahan/barangan tempatan dan penggunaan
perkhidmatan syarikat tempatan. Semua perolehan Kerajaan
termasuk bekalan, perkhidmatan, perunding dan kerja hendaklah
mematuhi dasar barangan tempatan.
Bagi peratusan kandungan produk atau perkhidmatan, mestilah
merujuk kepada agensi yang berkaitan seperti yang telah
dinyatakan dalam PP/PK 1.4 bagi penentuan peratus kandungan
produk atau servis yang mesti dihasilkan di Malaysia.
b. Bahagian Perolehan Kerajaan (BPK) telah menjalankan lawatan
pematuhan naziran secara tahunan bermula tahun 2010 bagi
Kementerian/Agensi yang dipilih. Sebanyak 116 sesi lawatan
naziran telah dilaksanakan di Kementerian/Agensi bagi
memastikan peraturan semasa yang berkuat kuasa dipatuhi
termasuklah syarat berkaitan local content.
Sekian, terima kasih.