Jumaat, 1 November 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Kesihatan | 5 Mac 2024

5 Mac 2024, Selasa

SOALAN 

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan jumlah graduan perubatan setiap tahun : 

(a) berapakah yang mendapat jawatan house officer (HO) di hospital-hospital kerajaan; dan 

(b) jumlah graduan perubatan yang memilih untuk mendapat kerja di luar negara setiap tahun dari 2010 hingga sekarang. Apakah trennya.

JAWAPAN 

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Pada masa ini, sebanyak 12,198 slot latihan siswazah perubatan telah disediakan. Setakat 31 Disember 2023, sebanyak 6,480 daripada slot ini telah diisi dan bakinya akan diisi menerusi urusan pengambilan kontrak pada tahun 2024. 

2. Daripada jumlah tersebut, seramai 6,082 pegawai menjalani latihan siswazah perubatan di hospital Kementerian Kesihatan, manakala 398 orang lagi di tiga (3) Hospital Pengajar Universiti Awam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. 

3. Buat masa ini, Kementerian Kesihatan melalui Majlis Perubatan Malaysia tidak mempunyai maklumat berhubung graduan perubatan yang mengambil keputusan untuk bekerja di luar negara. Justeru, Kementerian tidak dapat menyediakan trend graduan perubatan yang memilih untuk bekerja di luar negara. 

Sekian, terima kasih.