PERTANYAAN BERTULIS DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEDUA, PARLIMEN KELIMA BELAS TAHUN 2023
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan senarai purata masa menunggu di bahagian Kemalangan dan Kecemasan (A&E) di setiap hospital besar Kerajaan di Malaysia termasuk Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Pada ketika ini, KKM belum mempunyai data yang lengkap berkenaan tempoh masa menunggu bagi semua hospital KKM di seluruh negara. Namun begitu, satu audit masa menunggu akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar yang lebih tepat berkenaan perkara ini.
2. Jabatan Kecemasan dan Trauma, Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa menumpukan usaha bagi memperkasa pengurusan semua pesakit. Tumpuan utama adalah untuk memberikan rawatan kepada pesakit kecemasan kritikal (zon merah) dan kecemasan separa kritikal (zon kuning) di mana pesakit kritikal akan dirawat serta-merta manakala pesakit separa kritikal akan dirawat dalam tempoh kurang dari 30 minit. Di samping itu, pesakit kecemasan bukan kritikal (zon hijau) akan dirawat dalam tempoh 2 jam.
3. Untuk makluman, masih terdapat kes-kes bukan kecemasan yang hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma di mana sebagai contoh pada tahun 2019, kedatangan pesakit bukan kecemasan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah seramai 1,359,485 orang (16.5%) di seluruh negara.
4. Pada tahun 2019, sebanyak:
(i) 88,622 kes kecemasan bukan kritikal dilaporkan hadir di Hospital Serdang yang mana 17,474 (20%) kes daripadanya adalah kes bukan kecemasan; dan
(ii) 66,134 kes kecemasan bukan kritikal dilaporkan hadir di Hospital Putrajaya yang mana 11,678 (18%) daripadanya adalah kes bukan kecemasan.
Sekian, terima kasih.