SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI DALAM NEGERI
menyatakan jumlah permohonan dan kelulusan Malaysia My Second Home
(MM2H) dari tahun 2018 ke 2022 dan Premium Visa Program (PVIP) sejak
permulaannya. Adakah Kerajaan akan menyemak semula syarat MM2H.
JAWAPAN
Tuan Yang Di Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan statistik, program
MM2H telah merekodkan sebanyak 5,610 kelulusan bagi tahun 2018 dan
3,929 kelulusan bagi tahun 2019. Ini adalah statistik kelulusan sahaja yang
mana maklumat berkenaan permohonan adalah di bawah Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Manakala bagi tahun 2020, program MM2H telah dibekukan secara
sementara disebabkan penutupan pintu sempadan negara dan bagi
menangani penularan pandemik Covid-19. Seterusnya bermula bulan
Oktober 2021 sehingga penghujung tahun 2022, program ini telah
merekodkan sebanyak 1,468 permohonan kelulusan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pengurusan tertinggi Kementerian
Dalam Negeri telah bersetuju untuk mengkaji semula syarat-syarat program
MM2H seperti pembuktian aset cair, pendapatan (offshore income), dan
deposit simpanan tetap (fixed deposit). Ini bagi meningkatkan kemasukan
peserta Program MM2H dan memastikan program tersebut sentiasa relevan
dengan dasar semasa serta mengutamakan aspek keselamatan dan
kedaulatan negara.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, selepas Program Visa Premium
(PVIP) telah dibuka pada 1 Oktober 2022, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
telah menerima sebanyak 28 permohonan terdiri daripada 14 peserta dan
14 tanggungan. Daripada jumlah tersebut, Kementerian telah meluluskan
dua (2) permohonan penyertaan meliputi satu (1) prinsipal dan satu (1)
tanggungan. Selebihnya, baki permohonan adalah dalam proses semakan
tapisan keselamatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sekian, terima kasih.