Isnin, 4 November 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2023 kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya | 16 Oktober 2023

16 Oktober 2023, Isnin

SOALAN

YB PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA menyatakan jumlah permohonan dan kelulusan Malaysia My Second Home (MM2H) dan Premium Visa Program (PVIP) sejak Kementerian mengambil alih/mewujudkan penyelarasan program program ini. Apakah status terkini penyemakan semula syarat-syarat MM2H dan PVIP.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Program Malaysia My Second Home (MM2H) semasa di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), bagi tempoh November 2021 sehingga 30 September 2023 telah merekodkan sejumlah 2,164 permohonan yang diterima. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,905 permohonan telah diluluskan. Di samping itu, bagi menjadikan Program MM2H lebih menarik dan berdaya saing, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama-sama Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sentiasa menyemak semula syarat-syarat sedia ada program ini.

Manakala, bagi Premium Visa Program (PVIP), ia adalah di bawah bidang kuasa dan pemantauan KDN dan JIM. Justeru itu, berdasarkan rekod JIM, sejak bermulanya PVIP pada 1 Oktober 2022 sehingga 30 September 2023, sebanyak 57 permohonan telah diproses di mana 28 permohonan telah diluluskan dan 29 permohonan telah diperakukan untuk kelulusan.

Sekian, terima kasih.