Jumaat, 1 November 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2023 kepada Menteri Kesihatan | 27 Februari 2023

 27 Februari 2023, Isnin


SOALAN 

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan apakah langkah-langkah Kementerian untuk mengatasi masalah kekurangan doktor dan jururawat di hospital awam dan swasta.

JAWAPAN 
Tuan Yang di-Pertua, 

1. Kementerian Kesihatan dari tahun ke tahun telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan lagi bilangan Pegawai Perubatan di Hospital kerajaan. Selain bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan, pertambahan bilangan Pegawai Perubatan juga dibuat bagi memenuhi sasaran satu (1) Pegawai Perubatan kepada 400 penduduk menjelang tahun 2025 selaras dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). 

2. Kementerian Kesihatan turut mengambil kira kepentingan perkhidmatan Jururawat bagi memperkukuh serta memantapkan tadbir urus klinikal dan penggubalan dasar berkaitan kesihatan. Perkembangan profesion kejururawatan perlu dinamik ekoran kehendak perkhidmatan semasa, skop tugas yang luas dan kompleks dalam menangani perubahan drastik yang berlaku dalam sistem kesihatan negara. 

3. Peningkatan bilangan Pegawai Perubatan di sektor awam serta swasta dapat dilihatkan berdasarkan nisbah kepada penduduk pada tahun 2021, iaitu 1:420 berbanding 1:554 pada tahun 2017. Manakala bagi Jururawat pula, nisbah Jururawat kepada penduduk pada tahun 2021 adalah 1:283 berbanding 1:302 pada tahun 2017. 

4. Sehingga 31 Disember 2022, terdapat seramai 6,985 Pakar Perubatan, 52,666 Pegawai Perubatan dan 69,608 Jururawat sedang berkhidmat di fasiliti kesihatan kementerian. 

5. Bagi meningkatkan bilangan Pegawai Perubatan di negara ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif antaranya adalah dengan: 

(i) menyegerakan proses lantikan graduan perubatan melalui pelantikan secara kontrak tanpa perlu melalui proses temuduga oleh SPA;

(ii) meningkatkan slot latihan siswazah di KKM daripada 10,835 pada tahun 2013 kepada 12,228 pada tahun 2022; 
 
(iii) menggalakkan lebih ramai Pegawai Perubatan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kepakaran; 

(iv) meningkatan peluang latihan kepakaran perubatan supaya lebih ramai doktor pakar dihasilkan melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway (dengan izin) di Kementerian Kesihatan; 
 
(v) melantik semula Pegawai Perubatan Pakar yang telah tamat kontrak untuk berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan mengikut keperluan; 

(vi) melantik semula secara kontrak Pegawai Perubatan Pakar warganegara yang telah bersara wajib untuk berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan mengikut keperluan dan bidang kritikal; 

(vii) mendapatkan perkhidmatan kepakaran luar untuk berkhidmat secara sessional (dengan izin); dan

(viii) menggalakkan Pakar Perubatan warganegara Malaysia yang berkhidmat di luar negara untuk pulang ke tanah air. 

6. Bagi skim perkhidmatan Jururawat di Kementerian Kesihatan, pengisian kekosongan jawatan tetap akan dibuat berdasarkan kepada jumlah keluaran pelatih kejururawatan dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) di seluruh negara. 

7. Selain pengisian kekosongan jawatan tetap sedia ada, Kementerian Kesihatan turut membuat pelantikan secara kontrak Jururawat bagi memenuhi keperluan segera di fasiliti kesihatan kritikal. Sehingga 31 Disember 2022, seramai 2,336 Jururawat lantikan kontrak berkhidmat di Kementerian Kesihatan. 

Sekian, terima kasih.